in , ,

Konsert Meletop TVS Gegarkan Miri Dengan Persembahan Penuh Berprestij

Gabungan Hiburan, Budaya Dan Emosi Yang Menjadikan Miri Nadi Baharu Dunia Muzik Borneo

MIRI, SARAWAK – Buat julung kalinya, bandaraya Miri diangkat sebagai pentas utama bagi konsert mega yang cukup dinanti-nantikan – Konsert MeleTOP TVS, membawakan tema yang cukup bersemangat, “Nang Champiyen, Nang Legend”. Stadium Tertutup Miri berubah menjadi medan magis apabila ribuan peminat dari seluruh pelusuk Borneo – termasuk Brunei dan Kalimantan – berkumpul demi sebuah malam yang penuh dengan muzik, emosi dan semangat kebanggaan.

Konsert ini bukan calang-calang, kerana ia merupakan hasil usahasama dua nama besar dunia hiburan Malaysia, iaitu Astro dan TVS (TV Sarawak). Menariknya, ini juga adalah kali pertama Konsert MeleTOP diadakan di luar Lembah Klang, sekali gus menobatkan Miri sebagai lokasi sulung, satu pencapaian yang pastinya bakal menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran acara hiburan berkelas nasional di bumi Borneo.

Konsert Meletop TVS Gegarkan Miri Dengan Persembahan Penuh Berprestij

Barisan Bintang Gah, Persembahan Penuh Energi

Malam penuh gegaran ini disiarkan secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka. Hadir sama memeriahkan malam adalah Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, yang menyambut baik kehadiran konsert besar ini ke kotanya.

Persembahan dimulakan dengan irama etnik moden yang memukau oleh Sada Borneo dan Dion Das, membawa penonton menghayati budaya Borneo dalam nafas kontemporari. Kemudian, pentas dibakar semangat dengan persembahan bertenaga dari dua penyanyi wanita yang tak perlu diperkenalkan lagi – Mimifly dan Stacy, yang masing-masing membawakan lagu “Abracadabra”, “Menyala”, dan “Angkat”.

Kemunculan Wani Kayrie bersama Noki dengan lagu-lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us” menyerlahkan semangat lokal yang menyatu dengan mesej kebanggaan terhadap identiti anak Borneo.

Konsert Meletop TVS Gegarkan Miri Dengan Persembahan Penuh Berprestij

Anugerah Istimewa Buat Ikon Sarawak

Namun, detik paling menyentuh hati malam itu pastinya apabila Dayang Nurfaizah, permata dari Sarawak, menerima “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” – satu penghormatan yang disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Ini adalah satu pengiktirafan besar buat anak jati Sarawak yang berjaya membawa nama negeri dan rantau Borneo ke puncak industri muzik Malaysia.

Konsert Meletop TVS Gegarkan Miri Dengan Persembahan Penuh Berprestij

Saya sangat tersentuh dan berbangga menerima anugerah ini di hadapan rakyat Sarawak sendiri. Inilah rumah saya, inilah jiwa saya, dan saya akan terus membawa nama Sarawak ke mana sahaja saya pergi.” – ujar Dayang penuh emosi.

Beliau turut mendendangkan lagu “Seandainya Masih Ada Cinta”, diikuti satu duet ikonik bersama Hael Husainimenerusi “Haram” – sebuah persembahan yang benar-benar menggetarkan emosi setiap penonton.

Konsert Meletop TVS Gegarkan Miri Dengan Persembahan Penuh Berprestij

Sorotan Bakat Tempatan Yang Tak Kurang Hebat

Bintang lain turut menyinar seperti Marsha Milan, Hairee Francis, dan Nadeera, penyanyi muda yang kini semakin meniti populariti selepas kejayaannya di AJL39. Malam kemuncak pula ditutup dengan penuh semangat oleh Dolla, yang membuat penonton bangkit menari dengan persembahan memukau yang sarat elemen glam dan tarikan visual.

Gandingan hos yang menghiburkan seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana, dan Sherry Alhadad, bersama barisan hos TVS seperti Cheryl Toh, Fattah Bolh, dan Ghaz Zawawi, berjaya memastikan rentak konsert kekal menghibur dari awal hingga ke penghujung.

Konsert Berkat Gawai-Kaamatan Bakal Gegar Sekali Lagi

Belum sempat reda kehangatan konsert MeleTOP, TVS sudah merencana sebuah lagi malam istimewa – Konsert Berkat Gawai-Kaamatan, sempena sambutan dua perayaan besar komuniti Borneo. Acara ini bakal berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7.30 malam di Stadium Tertutup Miri.

Apa yang menjadikan konsert ini lebih hangat adalah kemunculan ratu rock negara, Ella sebagai artis utama, bersama barisan hebat seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan wakil Kalimantan, Marina Jara!

Tiket percuma untuk konsert ini telah habis ditempah dalam masa singkat, namun peminat masih boleh mencuba nasib dengan mendapatkan tiket secara terus melalui laman web rasmi tvsarawak.my atau terus di pintu masuk konsert, selagi stok masih ada.

Miri – Hab Baru Budaya, Muzik & Pelancongan

Menurut En. Mohamad Sardon Zainal, pemilihan Miri sebagai lokasi utama adalah sangat strategik:

Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan sangat dekat dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Sempena ulang tahun ke-20 bandaraya ini, kami mahu raikan komuniti kita dan budaya Borneo secara besar-besaran dan inklusif.

Gabungan Percuma & Berkualiti: Resipi Hiburan Bertaraf Dunia

Konsert-konsert sebegini bukan sahaja mendekatkan artis dengan peminat, malah menjadi medan penting dalam menyemarakkan identiti budaya dan bakat tempatan. Akses percuma yang diberikan membuka pintu untuk lebih ramai pengunjung termasuk pelancong luar negara menikmati hiburan bertaraf antarabangsa di tanah Borneo. Ini adalah contoh terbaik bagaimana muzik dan seni boleh menyatukan pelbagai komuniti merentas sempadan.

Apa Kata Budiey?

Budiey rasa ini barulah dinamakan seni dan hiburan yang berpaksikan rakyat. Bukan sekadar glam dan sorakan, tetapi membina legasi dan jati diri. Tahniah buat TVS dan Astro kerana berjaya mengubah landskap hiburan nasional dengan memperluaskan pentas ke Sarawak. Harapnya, selepas ini lebih banyak lokasi luar bandar turut diangkat sebagai nadi budaya hiburan tempatan. Dari Borneo untuk dunia – itulah semangatnya.

Untuk info lanjut dan perkembangan konsert seterusnya, korang boleh terus ke laman rasmi TVS di www.tvsarawak.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Malam Mendengar Nadin Amizah, Tak Hanya Didengar Tapi Dirasa