in ,

Peacemaker Tampil Lebih Ganas & Lebih Konflik di Musim Kedua

Kembali Dengan Misi Baharu, Peacemaker Tampil Lebih Ganas, Lebih Mendalam Dan Penuh Konflik Jiwa

Berita baik buat peminat dunia adiwira DC, musim kedua siri Peacemaker akhirnya bakal menemui penonton pada 22 Ogos 2025 menerusi platform penstriman Max! Diterbitkan oleh DC Studios bersama Warner Bros. Television, musim terbaharu ini masih mengekalkan gaya bercerita yang sinikal, lucu, ganas dan emosional hasil tangan James Gunn, yang kembali sebagai pencipta dan penulis kesemua lapan episod.

Musim kedua ini membawa kita menyelami lebih dalam perjalanan Christopher “Chris” Smith, atau lebih dikenali sebagai Peacemaker, seorang vigilante adiwira yang sering terperangkap antara niat baik dan tindakan ganas yang sering mencetuskan persoalan moral. Dalam musim baharu ini, Chris masih cuba menebus dosa silamnya sambil meneruskan perjuangan memburu ‘penjahat’ dengan prinsip “damai walau apa cara sekalipun”.

John Cena Masih Menjadi Teraju Utama Bersama Barisan Pelakon Mantap

John Cena kembali melakonkan watak utama, dan kali ini dia dikelilingi oleh pelakon yang sudah dikenali dari musim pertama seperti Danielle Brooks, Jennifer Holland, Freddie Stroma, Steve Agee, dan Robert Patrick. Tidak cukup dengan itu, musim ini diserikan dengan kemunculan pelakon baharu seperti Frank Grillo, David Denman, Sol Rodriguez, dan Tim Meadows, yang dijangka membawa dinamika baharu dan lebih mendalam kepada jalan cerita.

James Gunn bukan sahaja menulis kesemua episod, tetapi juga mengarahkan tiga episod termasuk episod pertama. Siri ini turut menyenaraikan Peter Safran dan John Cena sebagai penerbit eksekutif, manakala Greg Mottola, Peter Sollett, dan Althea Jones turut duduk di kerusi pengarah untuk beberapa episod lain.

Peacemaker Musim Kedua Tayang 22 Ogos Di Max

Diterbitkan Dengan Gaya Sinematik Oleh Nama-Nama Besar Dalam Industri

Peacemaker musim kedua diterbitkan oleh syarikat Troll Court Entertainment milik James Gunn bersama The Safran Company, dengan kerjasama Warner Bros. Television. Siri ini berdasarkan watak-watak dari dunia komik DC, dan seperti musim pertama, kita boleh jangka campuran aksi ganas, humor gelap, dan emosi mendalam akan terus menjadi ‘signature’ utama naskhah ini.

Cara Untuk Menonton Peacemaker Musim Kedua Di Malaysia

Penonton di Malaysia boleh stream musim kedua Peacemaker bermula 22 Ogos 2025 eksklusif di Max. Langgan Max secara terus di www.max.com atau melalui Apple App Store dan Google Play Store dengan harga serendah RM34.90 sebulan atau RM279.90 setahun. Untuk pengalaman yang lebih lancar, Max juga boleh ditonton melalui Astro dan Unifi TV.

Apa Kata Budiey?

Musim pertama Peacemaker telah mencipta impak besar dengan gabungan aksi dan drama yang unik, disulami jenaka sinikal yang segar dan tidak klise. Musim kedua ini jelas menjanjikan satu perjalanan yang lebih kompleks dari segi emosi dan moral. Dengan kembalinya James Gunn di posisi kreatif dan John Cena yang semakin selesa dengan wataknya,

Budiey yakin musim baharu ini akan merangsang perbualan hangat dalam kalangan peminat DC. Tak sabar nak tengok macam mana watak Peacemaker berdepan dengan dilema antara dendam dan damai — adakah dia akan terus kekal sebagai ‘hero’ yang menyakitkan, atau akhirnya sedar tentang harga sebenar keamanan?

Sama-sama kita nantikan, 22 Ogos ini di Max!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gemini Bakal Tiba di Galaxy Watch & Buds: Gaya Hidup Pintar Lebih Mudah

Baucar RM500,000 Untuk Dimenangi Dalam Kempen The Golden Ticket