Bagi anda yang sedang mencari tablet bajet berkualiti untuk kegunaan harian seperti menonton video, membaca berita atau pembelajaran anak-anak, kini ada satu pilihan terbaru di pasaran – Lenovo Tab One. Dengan harga hanya RM549, tablet ini dilihat sebagai antara peranti paling berbaloi dalam kategori bajet, khas untuk pengguna yang perlukan peranti mudah alih yang ringan, kompak dan berfungsi dengan lancar untuk tugasan asas.
Saiz Skrin Kompak Tetapi Cukup Luas Untuk Pengalaman Multimedia
Lenovo Tab One dilengkapi dengan skrin bersaiz 8.7 inci, menggunakan panel LCD dengan resolusi 1340×800 piksel, kadar segar semula standard 60Hz, dan kecerahan puncak 480 nits. Walaupun bukan paparan berdefinisi tinggi seperti tablet kelas premium, tetapi untuk harga bawah RM600, kualiti skrin ini masih cukup memadai untuk tontonan YouTube, Netflix atau sesi Google Meet bersama anak-anak.
Dengan berat hanya 320 gram, tablet ini sememangnya mudah digenggam dan senang dibawa ke mana-mana, menjadikannya pilihan sesuai untuk pelajar sekolah rendah atau pengguna dewasa yang mahukan peranti ringkas dalam beg mereka.
Prestasi Yang Memadai Dengan Cipset Helio G85
Dari segi spesifikasi dalaman, tablet ini dikuasakan oleh cipset MediaTek Helio G85, yang merupakan cip bajet tetapi cukup mantap untuk tugasan harian dan permainan kasual. Ia dipadankan dengan 4GB RAM dan 64GB storan dalaman, serta slot kad microSD untuk tambahan ruang sehingga 1TB — cukup besar untuk simpan aplikasi, video, buku elektronik dan fail kerja.
Tablet ini juga menjalankan Android 15, sistem operasi terkini, dan dijamin menerima kemas kini selama dua tahun, satu langkah yang sangat dihargai bagi pengguna bajet yang mahukan ketahanan jangka masa panjang.
Bateri Tahan Lama Dan Ciri Audio Yang Lengkap
Dari segi ketahanan, Lenovo Tab One hadir dengan bateri berkapasiti 5,100mAh, disokong oleh pengecasan 15W, cukup untuk penggunaan seharian. Untuk peminat audio pula, tablet ini dilengkapi dengan pembesar suara stereo yang menjadikan pengalaman menonton lebih imersif.
Tambahan pula, tablet ini menyokong Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.3, cukup baik untuk sambungan internet dan aksesori tanpa wayar. Tidak ketinggalan, ia masih mengekalkan port USB-C 2.0 dan bicu audio 3.5mm – satu ciri yang semakin jarang ditemui, tetapi masih penting untuk ramai pengguna.
Kamera Yang Memadai Untuk Keperluan Asas
Tablet ini mempunyai dua kamera – kamera utama 8MP dan kamera hadapan 2MP. Sudah pasti kamera ini bukan untuk fotografi serius, tetapi masih mencukupi untuk panggilan video, kelas online dan imbas dokumen dengan jelas. Untuk harga sebegini, kombinasi kamera ini dianggap cukup memadai.
Sesuai Untuk Pengguna Muda, Warga Emas Dan Pengguna Baharu
Melihat pada harga, reka bentuk dan fungsi, Lenovo Tab One ini sangat sesuai untuk:
- Pelajar sekolah rendah yang memerlukan tablet pembelajaran asas
- Warga emas yang ingin kekal berhubung dengan anak cucu melalui video call
- Pengguna yang baru berjinak-jinak dengan Android
- Ibu bapa yang mahu tablet kedua untuk tontonan anak-anak
Dengan reka bentuk yang minimalis tetapi praktikal, Lenovo menepati sasaran mereka dalam menghasilkan tablet bajet yang mampu memenuhi keperluan asas tanpa mengorbankan pengalaman pengguna.
Apa Kata Budiey?
Lenovo Tab One mungkin tak akan menggantikan tablet premium untuk kerja profesional atau gaming berat, tapi untuk pengguna biasa yang mahukan peranti mudah alih, ringan, dan tahan lama dengan harga bajet, inilah antara pilihan paling praktikal di pasaran sekarang. Bateri tahan lama, skrin sederhana, spesifikasi mencukupi dan sistem operasi terkini – semuanya dibungkus dalam satu pakej mampu milik bawah RM600. Kalau anda sedang cari tablet untuk anak, ibu ayah atau kegunaan kasual di rumah, Lenovo Tab One ini memang patut masuk dalam wishlist.
Berminat nak tahu lebih banyak info lanjut tentang tablet ini? Jangan lupa layari www.lenovo.com/my untuk semakan harga semasa dan promosi terkini.