Penyanyi, hos TikTok, dan bekas pemuzik jalanan, Bulan Asyraff, bakal menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul KamiSempoi. Lebih menarik, lagu ini adalah projek sulung beliau bersama label muzik KSIA, yang kini sedang rancak memperkenalkan diri dalam dunia hiburan.
Single ini dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 12 Mei 2025 sempena acara KamiSempoi Golden Award 2024 yang akan berlangsung megah di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur.
KamiSempoi bukan sekadar lagu biasa. Lagu ini adalah hasil ciptaan Kimchi Kacak, salah seorang figura penting dalam pengurusan KamiSempoi. Untuk menghasilkan bunyi yang mantap dan segar, lagu ini turut mendapat sentuhan kreatif daripada Miaw Music sebagai rakan penerbitan. Menariknya, lagu ini membawa mesej semangat, keyakinan diri dan gaya santai generasi muda, selaras dengan persona Bulan Asyraff yang dikenali sebagai seorang yang ceria, bersahaja, dan mudah didekati.
Dari Jalanan Ke Pentas Besar: Perjalanan Bulan Asyraff
Kalau dulu nama Bulan Asyraff hanya bergema di jalanan sebagai pemuzik dan hos siaran langsung di TikTok, kini namanya melonjak naik selepas muncul dalam rancangan realiti Gimme The Mic dan berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan Dalam The Six. Bagi Budiey, ini bukan kisah tipikal ‘dari zero ke hero’, tapi lebih kepada bukti bahawa bakat asli akan sentiasa menemukan jalannya ke pentas yang lebih besar.
Visi KSIA: Mengangkat Bakat Tempatan Ke Tahap Antarabangsa
Menurut Pengasas KSIA, To Chin Swee atau lebih mesra dikenali sebagai Pakcik Chin Swee, pemilihan Bulan Asyraff sebagai artis pertama label itu adalah langkah strategik yang penuh makna.
“Bulan Asyraff adalah bukti bahawa jika seseorang diberi peluang dan ruang untuk berkembang, mereka mampu menyinar. Kami yakin KamiSempoi akan menjadi permulaan yang kuat bukan sahaja untuk beliau, tetapi juga untuk label KSIA secara keseluruhan.”
– Pakcik Chin Swee
Tidak cukup dengan itu, Pakcik Chin Swee juga berkongsi bahawa penubuhan label muzik ini adalah sebahagian daripada misi besar KSIA untuk membina ekosistem seni yang lebih menyeluruh dan mampan. Fokus mereka bukan sekadar kepada hiburan semata-mata, tetapi juga kepada pembangunan bakat di rantau Asia Tenggara, satu visi yang cukup berani dalam industri yang sering dipenuhi persaingan sengit.
Bersedia Di Semua Platform Digital
Buat peminat yang tak sabar nak dengar, KamiSempoi akan tersedia di semua platform digital selepas pelancaran rasmi pada 12 Mei 2025. Jadi, sediakan telinga dan hati untuk menikmati karya penuh jiwa ini — satu lagu yang dijangka bukan saja jadi siulan di radio, tapi juga trending di media sosial.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, ini adalah satu langkah yang berani dan penuh harapan. Industri muzik kita selalu lapar dengan bakat baharu yang bukan sekadar sensasi TikTok, tapi punya kredibiliti dan kemampuan sebenar di pentas nyata. KSIA nampaknya tidak hanya mahu ‘ikut trend’, tetapi mahu membentuk trend itu sendiri. Budiey berharap agar label ini konsisten dalam mencari, memupuk dan memasarkan bakat tempatan supaya tidak hanya dikenali di sini, tapi juga mampu menembusi pasaran serantau. Dan untuk Bulan Asyraff, semoga lagu ini jadi pemula kepada perjalanan muzik yang panjang dan penuh warna!