in ,

KamiSempoi Golden Award 2024 Tambah Kategori Baharu & Perkukuh Pengaruh

Lebih Banyak Kategori, Lebih Ramai Pemenang Dan Lebih Meriah

Tahun 2024 bakal menyaksikan KamiSempoi Golden Award 2024 tampil lebih gah dengan memperkenalkan tiga kategori baharu khas untuk mengiktiraf pencapaian live host berkaliber di rantau Asia Tenggara. Acara yang kian mendapat tempat ini bukan sekadar anugerah kosong, tapi cerminan kepada perjalanan penuh warna-warni dunia live streaming di Malaysia, Indonesia, dan Singapura.

Peningkatan Jumlah Kategori Tanda Kepercayaan

Menurut Pengasas KamiSempoi International Agency (KSIA), Pak Chin Swee, penganjuran kali ini menyaksikan lonjakan besar kategori, iaitu 12 kategori diperuntukkan kepada rakan niaga dan 15 kategori untuk live host. “Jumlah live host di bawah naungan KSIA mencatat pertumbuhan luar biasa, dengan 3,100 di Malaysia, 1,400 di Indonesia, dan 100 di Singapura,” ujar Pak Chin Swee dengan penuh bangga. Berbanding tahun lalu, angka ini melonjak naik kerana pada 2023, hanya 1,300 di Malaysia, 550 di Indonesia, dan 100 di Singapura yang berada dalam keluarga besar KSIA.

Beliau turut berkongsi, “Tahun ini, kami tambah kategori Top Host KamiSempoi Malaysia, Indonesia, dan Singapura 2024 bagi membakar semangat daya saing. Seorang daripada pemenang ini akan dinobatkan sebagai Top Host KamiSempoi of The Year 2024 – gelaran yang pastinya jadi rebutan!”

Sokongan Selebriti, Pengaruh Semakin Luas

Menariknya, Riezman Khuzaimi sekali lagi tampil sebagai duta rasmi KSIA untuk tahun kelima berturut-turut. “Saya komited menyokong KSIA, terutama dari segi pemasaran, supaya lebih ramai yakin dengan jenama ini,” katanya. Riezman menambah, beliau percaya KSIA bakal terus kukuh sebagai agensi platinum nombor satu di Malaysia, malah mempunyai potensi besar untuk melangkah ke Top 5 Asia Tenggara.

Langkah Strategik Melalui Muzik

KSIA bukan main-main dalam memperluas pengaruh mereka. Tahun ini, mereka bakal melancarkan label muzik rasmi, satu langkah berani yang jarang dilihat dalam dunia agensi live streaming. Tambah menarik, KSIA bakal bekerjasama dengan Miaw Music untuk menerbitkan lagu berjudul Kami Sempoi, ciptaan Kimchi Kacak dari pihak pengurusan KSIA, yang akan dinyanyikan oleh Bulan Asyraff khas untuk meraikan malam gilang-gemilang itu.

Malam Anugerah Penuh Gemerlapan Di Kuala Lumpur

Jangan lupa, KamiSempoi Golden Award 2024 bakal berlangsung pada 12 Mei ini, jam 8 malam di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur. Acara ini bukan sekadar penyampaian anugerah, tetapi juga akan dimeriahkan dengan karpet merah yang dijangka menarik perhatian peminat, media, dan para penggiat industri.

Apa Kata Budiey?

Secara peribadi, Budiey melihat KamiSempoi Golden Award 2024 bukan sekadar pesta anugerah, tapi lambang bagaimana dunia digital, khususnya live streaming, sudah menjadi sebahagian daripada budaya kita hari ini. KSIA bijak membaca pasaran dengan memperkenalkan kategori mengikut negara dan melancarkan label muzik – satu langkah yang patut dipuji. Namun, cabaran sebenar ialah memastikan kualiti bakat yang diiktiraf itu terus berkembang, bukan hanya sekadar populariti sementara. Mungkin selepas ini, KSIA boleh mula memikirkan kategori untuk bakat baharu atau live host muda bagi mengasah permata tersembunyi yang ramai belum kenal. Kita tunggu dan lihat sejauh mana KSIA mampu melonjak ke pentas Asia!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Anugerah Seni BOH Cameronian ke-20 Rai Sambutan Dua Dekad Legasi Seni