Dalam suasana penuh kehangatan dan semangat Hari Raya, Klook, sebuah platform pelancongan dan pengalaman terkemuka di Asia, telah melancarkan kempen jenama global pertamanya di Malaysia bertajuk The Best You, yang menyasarkan pemahaman baharu tentang erti sebenar perjalanan — bukan sekadar melancong, tetapi sebagai satu bentuk penemuan diri yang mendalam.
Majlis pelancaran yang berlangsung di ROM 8 Studio by Metal Bees ini telah berjaya menghimpunkan lebih 75 orang tetamu, termasuk pengamal media, KOLs, dan komuniti Klook Kreators dalam satu sambutan Rumah Terbuka Raya yang meriah dan berwarna-warni. Di samping menjamu selera dan menyambut perayaan, para tetamu turut disajikan dengan tayangan eksklusif filem jenama rasmi The Best You, serta kandungan unik yang menampilkan Marie Kondo – tokoh ikonik yang sinonim dengan falsafah “spark joy”.
The Best You: Sebuah Seruan Untuk Kembali Menemui Diri Sendiri
Menurut Sarah Wan, Pengurus Besar Klook bagi Indonesia, Malaysia dan Singapura, kempen ini bukan sekadar satu inisiatif pemasaran biasa, tetapi satu perubahan minda yang lebih dalam.
“The Best You bukan sekadar kempen, ia adalah satu perubahan cara kita melihat perjalanan.Pelancong hari ini tidak lagi hanya mengejar destinasi. Mereka inginkan pembaharuan, kegembiraan, dan hubungan yang lebih mendalam — sama seperti nilai-nilai yang kita rayakan sempena Hari Raya,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Klook melihat bahawa 64% pelancong global kini menjadikan perjalanan sebagai alat untuk memperkukuh keyakinan diri, serta menghubungkan semula dengan sisi terbaik dalam diri mereka. Maka, kempen ini mahu membingkai semula erti perjalanan sebagai satu pengalaman emosional yang menyentuh jiwa, bukan sekadar aktiviti pelancongan yang biasa.
Kekuatan Cerita Dan Simbolik Perjalanan Dalam Filem The Best You
Filem pendek The Best You yang dipertontonkan pada malam tersebut membawa penonton meneroka pelbagai sisi dalam diri — dari keberanian di New Zealand, ke keceriaan di Tokyo, sehinggalah ke keheningan jiwa di Ubud. Setiap lokasi menjadi simbol kepada sisi peribadi yang wujud dalam setiap insan. Perjalanan bukan sahaja tentang tempat, tetapi juga tentang menemui kembali siapa kita sebenarnya.
Kolaborasi Eksklusif Dengan Marie Kondo: Daripada Rumah Ke Dunia
Yang mencuri perhatian ramai ialah penglibatan Marie Kondo, ikon gaya hidup dan penulis terkenal, yang kini membuka lembaran baharu dalam hidupnya dengan menelusuri kegembiraan dalam perjalanan dan spontaniti.
Dalam siri kandungan eksklusif bersama Klook, Marie Kondo berkongsi perjalanan peribadinya mencipta semula makna kehidupan selepas fasa ‘mengemas rumah’. Kini, beliau mendakap erti kehadiran sepenuhnya dalam pengalaman, dan percaya bahawa perjalanan juga mampu ‘mencetuskan kegembiraan’ — sama seperti rumah yang kemas dan teratur.
Klook Kreators: Suara Perjalanan Yang Menyentuh Jiwa
Malam istimewa itu turut diserikan dengan perkongsian Klook Kreator tempatan, Za (Merantau Dunia), yang menceritakan bagaimana perjalanan bersama Klook telah memberi impak besar kepada proses transformasi peribadinya.
“Setiap pengalaman bersama Klook adalah detik penemuan baru buat diri saya. Ia bukan hanya sekadar melancong, tetapi satu proses pembelajaran dan refleksi,” ujar Za dalam sesi perkongsiannya yang penuh emosi dan inspirasi.
Melonjakkan Pelancongan Domestik Dengan Sentuhan Personal Dan Relevan
Sebagai menyahut pertumbuhan pelancongan domestik, Klook turut mengumumkan bahawa kempen ini akan disokong dengan itinerari bertema dan kandungan kreatif hasil kolaborasi bersama pencipta kandungan tempatan. Fokus utama adalah untuk memperkenalkan pengalaman berasaskan tarikan tempatan, makanan, kesihatan, mobiliti dan warisan budaya.
Antara inisiatif menarik yang diperkenalkan adalah kuiz personaliti dalam talian berdasarkan Myers-Briggs Type Indicator (MBTI), di mana pengguna boleh mengenalpasti jenis pelancong mereka dan menerima cadangan pengalaman Klook yang disesuaikan dengan karakter masing-masing.
Klook Menawarkan Lebih Daripada Sekadar Tempahan Perjalanan
Dengan pendekatan holistik yang merangkumi kandungan video, kuiz interaktif dan pengalaman yang bersifat mendalam, Klook menampilkan dirinya bukan sekadar platform pelancongan, tetapi sebagai rakan perjalanan spiritual dan emosi yang membantu anda menemui versi terbaik dalam diri sendiri.
Orang ramai kini boleh menonton filem pendek The Best You dan mencuba kuiz personaliti di www.experiencethebestyou.com untuk memulakan perjalanan penemuan diri mereka.
Apa Kata Budiey?
Sebagai seorang pengembara yang pernah menjejakkan kaki ke pelbagai tempat, Budi dapat merasai sendiri betapa pentingnya makna di sebalik perjalanan — bukan sekadar gambar cantik di Instagram, tetapi momen yang mencorakkan jiwa dan minda. Kempen The Best You ini sememangnya kena pada waktunya. Di saat ramai yang mencari ‘escapism’ daripada tekanan harian, Klook tampil dengan pendekatan yang lebih personal, reflektif dan bermakna. Kempen ini bukan sahaja mampu menarik minat pelancong, malah ia mengajak kita semua mendekati kembali diri sendiri, satu langkah demi satu perjalanan.
Kalau selama ni korang travel hanya untuk ‘check-in’, mungkin dah sampai masa untuk travel untuk ‘check-in hati’ pula. Jadi, tunggu apa lagi? Mulakan perjalanan hati korang di experiencethebestyou.com sekarang.