Satu kejutan yang cukup mengujakan bakal menggegar pentas muzik di Singapura apabila dua nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia muzik tanah air, Exists dan Slam, akan bergabung tenaga dalam sebuah konsert istimewa yang pastinya meninggalkan memori manis buat para peminat mereka.
Konsert yang dinamakan Exists X Slam Live In Singapore ini akan berlangsung pada 29 November 2025, bertempat di The Star Theatre, Singapura. Acara yang cukup istimewa ini akan membuktikan bahawa muzik legenda tidak pernah lapuk ditelan zaman, malah terus relevan meskipun kumpulan-kumpulan generasi baharu terus bermunculan dalam industri.
Gabungan Ikonik Yang Tak Pernah Disangka-Sangka
Dibawakan khas oleh penganjur tersohor Shiraz Projects, konsert ini bukanlah sekadar acara hiburan biasa. Ia merupakan satu penghormatan buat dua kumpulan muzik yang telah mewarnai dunia muzik Nusantara sejak awal tahun 90-an.
Menurut Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shiraz, penganjuran konsert ini bukanlah kerana Exists dan Slam tidak mampu mengisi venue secara individu, tetapi lebih kepada menghargai warisan muzik dan pengaruh besar yang masih dimiliki oleh kedua-dua kumpulan ini.
“Ada yang bertanya kenapa Exists X Slam? Kenapa tidak? Bukan kerana mereka tidak boleh berdiri sendiri atau menarik penonton masing-masing. Tapi kami di Shiraz Projects mahu menghargai Exists dan Slam menerusi konsert yang sangat istimewa ini kerana melihat karya-karya mereka tetap digemari dan sangat berpengaruh meskipun sudah lebih dua dekad dalam industri,”
– Shiraz
Beliau turut menambah bahawa kesempatan untuk menggabungkan dua kumpulan lagenda ini tidak wajar dilepaskan memandangkan kedua-duanya telah bersetuju. “Rugi jika kami melepaskan peluang ini selepas mereka bersetuju, kerana Exists dan Slam terlalu istimewa dengan sejarah mereka masing-masing,” ujarnya lagi.
Perjalanan Muzik Penuh Warna Dan Semangat
Apa yang menjadikan Exists X Slam benar-benar unik dan berbeza adalah kisah perjuangan dan perjalanan muzik mereka yang penuh jatuh bangun. Kedua-dua kumpulan ini pernah melalui proses perubahan barisan anggota termasuk vokalis, namun tetap mampu mempertahankan identiti muzik dan populariti mereka berkat sokongan padu peminat setia.
Siapa yang tidak kenal dengan lagu “Mengintai Dari Tirai Kamar” atau “Gerimis Mengundang”? Lagu-lagu ini bukan sahaja melekat dalam ingatan, malah menjadi ikon muzik yang mampu dikenali sejurus sahaja intro berkumandang. “Sekali dengar, peminat sudah tahu lagu itu milik Exists atau Slam. Ciri khas muzik mereka sangat kuat,” tambah Shiraz.
Lagu-Lagu Ikonik Akan Dihidupkan Semula Di Pentas
Konsert Exists X Slam bakal menjadi medan buat para peminat untuk menikmati kembali lagu-lagu kegemaran mereka secara langsung, bukan lagi sekadar dari corong radio atau platform digital. Ezad dari Exists bakal mendendangkan lagu seperti “Oh Ibu”, “Jesnita” dan “Julia”, manakala vokalis tersohor Zamani dari Slam akan memukau dengan lagu-lagu hebat seperti “Tak Mungkin Berpaling”, “Kembali Terjalin” dan “Rindiani”.
Lebih menarik, persembahan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi akan membawa penonton mengembara ke masa lalu, menyelami semula detik-detik indah yang mungkin pernah dilalui sambil mendengar lagu-lagu malar segar ini.
Tiada Janji Bulan Dan Bintang, Hanya Kenangan Terindah
Konsert ini bukan tentang janji kosong atau gimik berlebihan. Menurut Along, mewakili kedua-dua kumpulan, apa yang mereka mahu adalah memberikan sesuatu yang bermakna dan tulus buat para peminat.
“Yang penting buat kami sebagai penghibur adalah melihat peminat berpuas hati, menyanyi bersama dan pulang dengan kenangan terbaik dari Exists X Slam di The Star Theatre pada 29 November nanti,” katanya dengan penuh semangat.
Tiket Sudah Mula Dijual – Jangan Lepaskan Peluang!
Bagi yang ingin menjadi sebahagian daripada malam yang penuh nostalgia ini, tiket telah mula dijual bermula 26 Mac 2025. Terdapat pelbagai kategori untuk dipilih mengikut bajet dan keutamaan:
- Meet & Greet – SGD258
- Diamond – SGD168
- Platinum – SGD148
- Gold – SGD128
- Gold Restricted View – SGD108
- Silver – SGD108
- Silver Restricted View – SGD88
Pembelian boleh dilakukan secara atas talian melalui www.sistic.com.sg atau hubungi terus talian hotline +65 6348 5555. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi www.shirazprojects.com atau ikuti media sosial rasmi mereka di Facebook dan Instagram dengan nama pengguna shirazprojects dan shirazprojects.sg.
Apa Kata Budiey?
Gabungan Exists dan Slam dalam satu pentas bukan sahaja satu impian yang menjadi kenyataan buat peminat setia mereka, malah membuktikan bahawa muzik berkualiti akan sentiasa mendapat tempat di hati khalayak, tanpa mengira zaman.
Budiey melihat konsert ini sebagai satu peluang keemasan untuk meraikan muzik legenda dalam suasana moden, dengan produksi yang lebih gah dan pengalaman yang lebih imersif.
Jadi, jangan tunggu lama-lama, pastikan anda jadi antara yang pertama mendapatkan tiket dan bersedia untuk menyanyi bersama-sama dalam malam penuh magis ini. Sampai jumpa di The Star Theatre, Singapura!