Seperti cinta berbalas, penghibur tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza berbesar hati menerima pelawaan penyanyi terkenal Indonesia, Mahalini yang menyuarakan hasrat mahu berduet bersamanya pada masa akan datang.
Siti berkata pelawaan tersebut merupakan antara berita gembira yang diterima usai mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.
“Masya-Allah, dapat khabar indah selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah.
“Sudah pasti kita boleh berkolaborasi sama ya Mahalini,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Siti bagaimanapun tidak berkongsi secara terperinci mengenai kerjasama yang akan dijalinkan antara mereka berdua kelak.
Sebelum ini, Mahalini yang popular menerusi lagu Sisa Rasa itu memasang impian untuk bekerjasama dan mahu mencipta lagu untuk Siti Nurhaliza.
Dia bagaimanapun tidak meletakkan sebarang harapan tinggi mengenai perkara tersebut memandangkan Siti merupakan seorang penyanyi ternama dan turut popular di Indonesia.