in , ,

Drama Bersiri Nenek Bongkok Tiga Lakonan Meerqeen, Hun Haqeem

Pelakon akan menjalani sesi jelajah bagi mempromosi siri ini, termasuk ke Kuantan, Johor Bahru dan Jakarta, Indonesia.

Viu membuka tirai 2023 dengan siri Viu Original terbaru berjudul Nenek Bongkok Tiga menampilkan pelakon-pelakon berbakat yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim, selepas kejayaan besar beliau dalam siri Seribu Nina dan She Was Pretty pada tahun 2022, Nenek Bongkok Tiga akan menjadi siri Viu Original pertama dengan siri jelajah di dua negara. 

Nenek Bongkok Tiga

Selepas tayangan perdana di Kuala Lumpur pada hari ini, para pelakon siri ini akan ke Kuantan pada 10 Februari, Johor Bahru pada 17 Februari dan Jakarta pada 8 Mac. Setiap lokasi akan mengadakan sesi tayangan perdana, pemberian hadiah dan peraduan media sosial yang menawarkan peluang kepada peserta untuk memenangi baucar Prism+ TV bernilai RM3,299. Maklumat lanjut mengenai acara-acara ini akan diumumkan di akaun media sosial Viu Malaysia.

Nenek Bongkok Tiga

Encik Kingsley Warner, Pengurus Negara, Viu Malaysia, berkata, “Siri ini merupakan satu permulaan 2023 yang baik untuk Viu Original di Malaysia, dan ia terus mengukuhkan lagi momentum yang telah dibina selepas kami mengeluarkan lima siri daripada pelbagai genre pada tahun lepas. Dengan bakat-bakat baru yang mantap dan pelakon lama yang berpengalaman bersama-sama menjayakan siri ini, Nenek Bongkok Tiga pastinya menjadi kegemaran para peminat fantasi seram!”

NENEK BONGKOK TIGA

Nenek Bongkok Tiga akan menjadi Viu Original Malaysia yang pertama dengan sesi jelajah, melibatkan lawatan sehingga ke Jakarta, Indonesia. Kami percaya siri ini mempunyai potensi di kedua-dua pasaran Malaysia dan Indonesia berikutan jumlah pengikut yang ramai dan populariti para pelakon yang membintangi siri ini di Indonesia,” tambah Warner.

Penggambaran Nenek Bongkok Tiga ini mengambil masa 10 minggu di pelbagai lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor. Siri ini mengetengahkan banyak hasil kerja skrin hijau, yang diambil di Iskandar Malaysia Studios di Johor dan beberapa set penggambaran yang dibina sendiri untuk mewujudkan gambaran luar biasa dalam dunia fantasi Nenek Bongkok Tiga.

NENEK BONGKOK TIGA

Siri ini membawakan semula pengarah Yusry Abdul Halim dan penerbit Zurina Ramli, yang sebelum ini menghasilkan siri adaptasi She Was Pretty untuk Viu Malaysia, yang memenangi dua anugerah kebangsaan di Anugerah Akademi Kreatif Asia 2022.

Nenek Bongkok Tiga mengetengahkan orang baru dan lama dalam bidang lakonan di negara ini, termasuklah Hun Haqeem, Meerqeen, Sara Ali, Syafie Naswip, Syazwan Zulkifly, Ashraf Muslim, Fimie Don, Sara Mack Lubis, Rykarl Iskandar dan ikon lakonan diminati ramai Sherie Merlis dan Datin Sofia Jane.

Nenek Bongkok Tiga

Dua episod untuk kisah seram fantasi seram ini akan ditayangkan di platform Viu pada 9 Februari, diikuti dengan satu episod baru setiap minggu pada setiap hari Khamis.

Penonton Viu yang meminati kisah fantasi seram Malaysia boleh menonton Nenek Bongkok Tiga di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store, Google Play, Huawei App Gallery dan TV pintar terpilih, serta laman web www.viu.com.  

NENEK BONGKOK TIGA

RINGKASAN CERITA DAN MAKLUMAT PELAKON

Dalam kisah fantasi seram ini, lapan orang telah diculik dan dijadikan tebusan dalam sebuah rumah agam di Hutan Bukit Luruh, yang cukup dikenali sebagai lokasi  orang hilang. Satu-satunya penghuni rumah agam tersebut, Nenek menuduh sekumpulan ini menceroboh kawasan yang dimiliki oleh satu entiti yang dikenali sebagai Tuan Tanah. Untuk keluar daripada rumah agam tersebut, mereka perlu melakukan beberapa cabaran. Pada awalnya, kumpulan ini saling bekerjasama, tetapi cabaran yang ditetapkan oleh Tuan Tanah misteri kemudiannya memaksa mereka untuk mengkhianati satu sama lain untuk terus hidup. Sedikit demi sedikit, misteri Bukit Luruh mula terungkai, dan niat tersembunyi Nenek didedahkan.

Hun Haqeem memegang watak Zamir, seorang pendaki yang menyalahkan diri sendiri atas kehilangan adiknya, Zaid di hutan misteri Bukit Luruh. Hun cukup dikenali dengan pelbagai watak dalam drama seperti Cari Aku Di Syurga, Kampung People, Sihir dan telefilem Tentang Alif. Beliau juga merupakan salah seorang pengacara Gempak di Astro Ria.

Turut membintangi siri ini ialah Meerqeen, yang memegang watak Adi, seorang penyendiri yang mempunyai cip di bahu disebabkan insiden ketika zaman kanak-kanaknya. Setelah memainkan watak hebat dalam drama Angkara Cinta pada tahun 2020, Meerqeen semakin dikenali dalam drama-drama tempatan seperti Me Senorita, Melur Untuk Firdaus, drama Indonesia Modus Operandi, dan siri realiti Viu, Runaway in Seoul. Selain daripada berlakon, Meerqeen juga telah mengeluarkan lagu bertajuk Menunggu pada tahun 2021.

Nenek Bongkok Tiga

Sara Ali memegang watak Alis, seorang wanita jalanan yang melarikan diri setelah gagal dalam rompakan. Pemenang Pelakon Wanita Paling Popular dalam Anugerah Skrin 2015, Sara dikenali dengan watak-watak yang dimainkan beliau dalam filem Songlap, Juvana dan Air Force the Movie: Selagi Bernyawa. Beliau juga aktif berlakon drama seperti Hak, Lockdown dan telefilem seperti Ghairah dan Sumpahan Orang Putih.

Bekas pelakon remaja popular, Syafie Naswip memegang watak Sani, seorang yang terpisah daripada dunia sosial kerana dihantui oleh bayangan teman wanitanya yang telah meninggal dunia. Beliau mula menempa nama dalam filem Mukhsin, dan terus memainkan pelbagai watak lain yang mengagumkan dalam filem seperti Talentime, Songlap dan Polis Evo 2. Kehebatan lakonan beliau turut ditampilkan dalam drama seperti  Sayap Jibril, The Gadis dan Remang, dan juga telefilem seperti Hajat, Demi Tuhan Aku Bersaksi dan Anak Lorong. Syafie juga pemenang pelbagai anugerah, termasuk tiga Anugerah Skrin dan tiga anugerah dari Festival Filem Malaysia.

Seorang lagi pelakon yang cukup dikenali di kalangan peminat drama tempatan ialah Fimie Don yang memegang watak Mior, seorang pembuli yang secara tidak sengaja telah membunuh pelajar lain, namun itu bukanlah perkara besar yang dilakukannya. Fimie Don telah membintangi beberapa siri drama yang berjaya seperti  Diari Seorang Suami, Titian Takdir dan filem yang memenangi anugerah, Magika pada tahun 2010.

Bintang Juvana, Syazwan Zulkifly memegang watak Salim, seorang lelaki yang sentiasa berfikiran positif dan bersifat seperti seorang abang, yang memiliki rasa bersalah yang cukup menebal sehingga memakan diri. Beliau juga dikenali dalam pelbagai watak dalam drama seperti Jangan Ambil Padang Kami, Soffiya, dan Karlos. Syazwan turut membintangi Gamatisme dan, Suamiku, Encik Perfect 10.

Ashraf Muslim memegang watak Haikal, seorang ahli agama yang percaya bahawa Bukit Luruh mempunyai rahsia yang melangkaui logik akal dan hanya kepercayaan kepada tuhan mampu menyelamatkan diri seseorang. Ashraf sebelum ini membintangi siri seperti Ada Apa Dengan Dosa, Cinta Hati Batu and Biar Aku Jadi Penunggu. Beliau menerima anugerah Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik dalam Anugerah Telenovela 2017 dan dicalonkan untuk Pelakon Lelaki TV Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017.

Sara Mack Lubis memainkan watak Malia, seorang pempengaruh media sosial yang telah menyebabkan kematian seorang lelaki. Beliau pernah memegang watak dalam siri Viu Original, Seribu Nina. Sara juga membintangi Love In Lockdown, Kabus dan Can You Love Me Most? yang memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik di Festival Filem Malaysia 2022.

Bekas pelakon kanak-kanak, Rykarl Iskandar memegang watak yang lebih berat dalam Nenek Bongkok Tiga sebagai Zaid, adik Zamir yang mana penampakannya di hutan tersebut menjadi satu seksaan yang cukup berat buat diri Zamir. Rykarl dikenali dalam Strawberi & Karipap Series dan Elly & Epit. Bakat lakonan beliau diiktiraf setelah memenangi anugerah Pelakon Kanak-kanak Terbaik dalam Festival Filem Malaysia selama dua tahun berturut-turut.

Nenek Bongkok Tiga

Sherie Merlis pula memegang watak sebagai Nenek misteri, penjaga rumah agam. Walaupun pada awalnya kelihatan mesra, kelapan-lapan orang tahanan tersebut akhirnya mendapat tahu bahawa Nenek bukanlah seperti yang disangka. Tercalon untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2018, Sherie cukup dikenali dengan watak yang dimainkan beliau dalam Talbis Iblis, I-Tanggang: Mother of All Lies, Pendosa Ingin Ke Syurga dan Di Telapak Kaki Bonda.

Melengkapkan lagi siri ini adalah pelakon lagenda Sofia Jane yang memegang watak Samira, satu-satunya orang yang berjaya melarikan diri daripada kengerian di Bukit Luruh, namun mengetahui ada lagi perkara yang dia tidak boleh lari daripadanya. Beliau cukup dikenali dalam watak yang dimainkan beliau dalam filem seperti Harry Boy, Kekasih Awal dan Akhir, Perempuan, Isteri dan…, dan Sayang Salmah. Sofia pernah menerima anugerah Artis Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1993.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nafi Bertunang, Aiman Tino & Syarah Haifa Rancang Nikah Pada April Ini

IMAGINUR

Peraduan Premiere With Budiey Menonton Filem IMAGINUR