in ,

10 Kematian Dilaporkan, Vaksin Covid-19 Fasa Pertama Dijangka Tiba 26 Februari Ini

Alhamdulilah. Bilangan kes baharu positif Covid-19 di Malaysia hari ini mencatat penurunan berbanding semalam dengan 4,214 kes dilaporkan.

Daripada jumlah kes baharu itu, sembilan merupakan kes import yang mendapat jangkitan daripada luar negara, manakala sebanyak 4,205 kes adalah penularan dalam negara.

Kemas kini terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini ialah sebanyak 219,173 kes.

Kes aktif pula pula ialah sebanyak 48,074 kes dan jumlah kematian baru pada hari ini ialah sebanyak 10 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah sebanyak 770 kes.

Lagi perkembangan terkini mengenai Covid-19, vaksin fasa pertama daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di negara ini pada 26 Februari depan.

Vaksin ini akan diagihkan ke negeri-negeri secara berperingkat sebelum ia disuntik kepada penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan agihan vaksin itu akan selesai dalam tempoh dua minggu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19.

“Permohonan yang menggalakkan itu menyebabkan kita terpaksa membuat pemilihan dan tapisan berdasarkan kelayakan tertentu.

“Kita mahu 3,000 sukarelawan, tetapi yang mohon ramai, jadi kita akan pilih dan setakat ini, lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini,”

– Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Sebelum ini, Malaysia pada 24 November tahun lalu mengumumkan negara akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Dalam pada itu Harian Metro melaporkan, Dr Noor Hisham berkata, KKM masih menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang ketika ini masih dalam proses untuk pindaan.

“Akta 324 ini masih digunakan, tetapi kita guna Ordinan Darurat untuk membantu pelaksanaan Akta 342.

“Sebagai contoh, daripada segi sijil amalan yang mana kita khususkan doktor atau jururawat di sesuatu tempat dan ketika ini, kita gunakan Ordinan Darurat yang membenarkan jururawat dan doktor berkhidmat di tempat-tempat lain sama ada awam atau swasta bergantung kepada keperluan,”

– Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Terdahulu, KKM menyerahkan draf pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Peguam Negara bagi mengkaji semula kadar kompaun ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Pindaan Akta 342 diperlukan berikutan jumlah kompaun maksimum yang diperuntukkan adalah RM1,000 dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan perlu dinaikkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pengisian Program Tanya Doktor Musim Kelima Lebih Segar & Interaktif

Dua Tahun Putus Sahabat, Ramai Tumpang Gembira Hubungan Fathia & Zarina Kembali Jernih