in , ,

Karier Makin Berkembang, Yonnyboii Kini Pertaruh Versi Terbaharu SALAHKU 3.0

Walaupun kerjaya seninya masih berusia setahun jagung, namun bintang muda Yonnyboii ini berjaya menempa nama dengan pantas.

Ini terbukti apabila tiga buah lagu dendangan dan ciptaannya iaitu Sakit (duet bersama Zyn Akal), Kelabu (duet bersama Azlan Typewriter) dan X Missing You (kolaborasi bersama Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique) berjaya tersenarai di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke 35. Pemilik nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin yang aktif melancarkan lagu demi lagu pada tahun ini, kali terakhir muncul dengan lagu ‘Boleh Bla’ pada September lalu. Kini penyanyi yang mesra disapa sebagai Yonny ini bakal melancarkan versi terbaharu singlenya terdahulu, ‘Salahku’.

Sejak melatari drama ‘Budak Tebing’ yang ditayangkan di Slot Lestary TV3 pada April lalu, single ‘Salahku’ ciptaan dan dendangan penyanyi ini mula menjadi siulan ramai. Sehingga ke hari ini lagu ini masih mendapat sambutan peminat muzik Malaysia. Video lirik rasmi lagu ini yang dimuatnaik sejak April lalu telah mencapai lebih 3.3 juta tontonan.

Manakala video muzik rasmi ‘Salahku’ pula berjaya menjana lebih 6 juta tontonan sejak dilancarkan pada Ogos lalu. Jika dikira dengan jumlah tontonan video persembahan ‘live’dan video tidak rasmi berkaitan lagu ini di saluran-saluran YouTube, lagu ciptaan dan dendangan Yonny ini sebenarnya sudah menjana belasan juta tontonan di YouTube.

Ini tidak termasuk dengan jutaan kali lagunya dimainkan di platform penstriman muzik digital. Bagi mengekalkan kelangsungan lagu ini Yonny mempertaruhkan versi terbaharu lagu ini yang diberi judul sebagai SALAHKU 3.0.

Lagu yang siap dicipta pada Jun 2019 ini, mempunyai dua versi terdahulu; versi demo berdurasi 2 minit yang pernah dikongsikan di media sosial Yonny tahun lepas dan versi penuh berdurasi 4 minit yang dilancarkan pada April tahun ini. Menerusi SALAHKU 3.0 Yonny cuba mempamerkan sisi berbeza dari segi gubahan muzik serta jiwa lagu itu sendiri.

Mengulas tentang versi terbaharu yang berdurasi 3:15 minit ini, Yonny berkata, “Dalam versi terbaharu ini, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar malah lirik lagu ini juga dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza kepada lagu ini. Walaupun perubahannya nampak kecil namun ianya membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba saya sampaikan menerusi versi terbaharu ini.”

Lagu ini diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia. SALAHKU 3.0 boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 6 NOVEMBER 2020.

Manakala video lirik lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia bermula jam 12AM, 6 NOVEMBER 2020.

Yonnyboii

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Rasa Sakit Tak Dapat Solat Bersama Orang Tersayang…” – Aaron Aziz

KAMAL ADLI

Selalu Digosipkan Dengan Uqasha Senrose, Kamal Adli Bongkarkan Hubungan Sebenar