in , ,

Watak Gadis Bisu Noorkhiriah Dalam Telemovie QASEH TANPA SUARA

Menemui penonton RTM pada 16 Mac ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1, perjalanan konflik dalam telemovie ini hakikatnya terjadi dalam realiti kehidupan masyarakat masa kini yang lebih mementingkan mencapai cita-cita daripada apa sahaja tanpa memikirkan kesan di kemudian hari.

Menampilkan gandingan mantap nama-nama pelakon Nadia Aqilah, Noorkhiriah, Nadiya Nisaa dan turut dibantu oleh Izzy Reef dan Rafie Sumantri, telemovie kekeluargaan dijanjikan tayangannya oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk QASEH TANPA SUARA antara drama kekeluargaan yang mampu menjentik rasa penonton bahawa nilai kasih sayang sesama insan yang tidak boleh dinilai dan diukur dengan wang ringgit.

Watak Gadis Bisu Noorkhiriah Dalam Telemovie “Qaseh Tanpa Suara” Di TV1

Dibawakan watak utamanya oleh Noorkhiriah sebagai Qaseh pastinya mengubat rindu peminat setia terhadap pelakon ini dalam memainkan watak berkesan dan menyentuh perasaan. Kali ini Noorkhiriah melakonkan watak sebagai seorang wanita bisu dalam sebuah keluarga nelayan. 

Kehidupan mereka sekeluarga dihambat kemiskinan. Cuba untuk mengorak langkah menamatkan penderitaan mereka, adiknya, Budi nekad berhijrah ke bandar. Niatnya satu untuk membela nasib keluarga mereka agar tidak terus hidup miskin dan serba kekurangan. 

Takdir Allah mendahului segalanya. Budi meninggal dunia selepas keluar berhijrah dari kampung untuk mencari pekerjaan yang lebih terjamin bagi mengubah nasib mereka. Perginya tanpa mendapat restu ayahnya, Pak Husin. 

Ketika itu muncul Mastura, isteri Budi pulang menemui Qaseh dan ayahnya di kampung. Selepas kematian suaminya Budi, Mastura hilang arah dan tempat bergantung hidup. Dia buntu memikirkan cara mahu meneruskan kehidupan apatahlagi perlu menyara anak tunggalnya, Alif yang kini menjadi anak yatim.

Dengan berat hati Mastura terpaksa meminta Qaseh memelihara anaknya Alif untuk tempoh sebulan. Dia berjanji akan kembali mendapatkan anaknya itu apabila keadaan sudah stabil. Qaseh dan ayahnya menerima dengan hati terbuka kehadiran Alif tinggal bersama-sama mereka. 

Begitu pun masa berlalu dan Mastura tidak pernah kembali semula. Apatahlagi bagi memenuhi janjinya untuk mengambil semula Alif. Qaseh memelihara Alif seperti anak sendiri sehingga usianya hampir 10 tahun. Meskipun dengan kekurangan yang dimilikinya, Qaseh sabar dalam menunaikan tanggungjawabnya terhadap Alif.

Tiba-tiba tanpa diduga, Mastura kembali ke kampung dan berhasrat untuk mengambil semula Alif. Qaseh sukar menerima situasi itu apatahlagi hubungan mereka begitu rapat bagai anak dan ibu kandung. 

Qaseh amat berat hati untuk melepaskan Alif pulang kepada Mastura. Dengan bantuan seorang peguam wanita lakonan Nadiya Nisaa, Qaseh dibantu untuk mempertahankan haknya terhadap Alif. Alif juga tidak sanggup berpisah dengan mak cik yang banyak berkorban untuk dirinya sejak kecil.

Namun akhirnya Qaseh terpaksa akur dengan perintah mahkamah yang memberi hak kepada Mastura sebagai ibu kandung. Apatahlagi dengan kemampuannya untuk menyara Alif berbanding Qaseh yang serba kekurangan. 

Mereka menerima ketentuan takdir. Alif berpindah tinggal dengan ibu kandungnya, Mastura. Alif dan Qaseh saling merindui dan akhirnya Mastura memahami situasi tersebut dan menemukan mereka berdua semula. Namun adakah peluang untuk mereka tinggal bersama-sama semula?

watak utama telemovie Qaseh Tanpa Suara

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lazada Siar Konsert Dua Lipa Sempena Ulangtahun Ke-7 di Jakarta Secara Langsung

Trailer Boboiboy The Movie 2 Cecah 1.5 Juta Tontonan