in

Vokalis Fotograf Shamrin Join Alibi Music

SHAMRIN KINI BERSAMA ALIBI MUSIC

Alibi Music berjaya menyunting seorang penyanyi rock 90-an Shamrin untuk menjadi keluarga syarikat ini. Bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi hasil ciptaan anggota kumpulan Nitrus (Syed).

Menurut Shamrin “Saya berasa amat bertuah kerana Alibi Music masih percayakan bakat yang saya ada dengan mengambil saya sebagai artis baru dibawah naungan mereka. Dengan single ini, saya berharap dapat mengubat kerinduan peminat-peminat saya dan kumpulan Fotograf sendiri”.

Menurutnya lagi, single pertama ini akan mendapat sentuhan penulis lirik baru dimana Alibi Music membuka peluang kepada penulis-penulis lirik diluar sana untuk mencuba nasib menulis lirik kepada single ini.

Shamrin

Ujarnya “Alibi Music membuka peluang kepada semua penulis lirik baru yang ingin menyumbangkan lirik kepada single pertama saya ini, mereka membuat lirik berdasarkan melodi yang telah kami letakkan pada laman web rasmi Alibi Music”.

Bercakap tentang peraduan menulis lirik ini, KC Ismail, ketua Unit Muzik, Alibi Music menyifatkan peraduan ini memberi peluang kepada penulis lirik baru untuk mencuba dalam menghasilkan lirik.

“Ia terbuka kepada rakyat Malaysia yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, lirik harus ditulis dalam bahasa Malaysia, dan tema kepada lagu tersebut ialah kesedihan didalam percintaan dan sadis.”

Kepada yang berminat boleh menghantar karya ke Alibi Music Sdn Bhd Level 1 Suite 1C Podium Menara KLK, No 1 Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor atau email kepada [email protected].

Tarikh tutup peraduan ialah pada 1 November 2010. Untuk keterangan lanjut anda boleh layari web www.metamobile.com.my.

Ditanya tentang harapan kepada single pertama ini, penyanyi yang meminati Amy Search, Jay Jay dan Jatt ini mengharapkan sokongan peminat tidak akan terhenti. Memohon agar single terbarunya ini akan mendapat sambutan oleh para pendengar dan menjadi batu loncatan buatnya untuk menghasilkan lagu-lagu baru dimasa akan datang. Diakhir perbualan Shamrin menyimpan hasrat agar lagu-lagu kumpulan Fotograf dapat dirakamkan semula, diberi nafas baru dan menjadi album kompilasi hadiah buat peminat yang menjadi tulang belakang kepada kerjayanya.

21 Tahun Di dalam Bidang Seni

Jika ditebar sejarah diskografi penyanyi yang kini berusia 43 tahun ini, telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.

Setelah kejayaan album itu mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan 5 buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Antara lagu-lagu kumpulan ini yang telah mendapat sambutan yang hangat dikalangan pendengar ketika itu ialah Nafas Kekasih, Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan, Di Alam Fana Cintamu – duet Sharifah Aini (Pernah memenangi Lagu Terbaik Kategori Rock di Juara Lagu 1992 dan juga Anugerah Khas Muzik-Muzik) dan Luka Seribu Rindu.

Setelah album terakhir pada tahun 1997, kumpulan ini dibubarkan dan masing-masing telah membuat haluan sendiri. Namun minat dan kecintaannya kepada lapangan nyanyian dan muzik, Shamrin bergerak secara solo.

Membulat tekad Shamrin telah muncul dengan single pertama Dewi Sanubari pada tahun 2002. Kemudian pada tahun 2006 turut muncul secara solo dengan berkolaberasi bersama vokalis-vokalis rock popular Nash, Mus dan Jat dalam album Semangat Zaman menampilkan Shamrin menyanyikan 3 buah lagu di dalam album itu.

Gembira dengan sambutan peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan kepadanya pada tahun 2007 Fotograf telah bersatu untuk mengadakan persembahan di Planet Hollywood dan terhasilnya album Live At Planet Hollywood.

Bukan itu sahaja, dia juga turut terlibat bersama-sama didalam albumTribute to JFK (2008) dan Klasik Rock 1 & 2 (2009).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

3.2 Juta Penonton Majlis Persandingan Sheikh Muszaphar

Bang Bang Boom Musim Baru Banyak Kejutan