in , ,

Video Muzik PERTAMA KALI Shaa Trending Nombor 3 di Saluran Youtube Malaysia

Pemilik nama Juzratul Nisha Johari atau nama pentasnya Shaa semakin mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanahair. Dengan lagu yang diberi judul PERTAMA KALI, Shaa berjaya menempatkan dirinya dalam industri muzik tempatan sebaris dengan penyanyi-penyanyi baru popular yang lain seperti Aiman Tino, Ara AF, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Tajul dan Wany Hasrita.

https://youtu.be/yx15Per-dSk

Video Muzik Rasmi PERTAMA KALI Shaa Trending Nombor 3 di Saluran Youtube Malaysia

Video muzik rasmi “Pertama Kali” Shaa berjaya menduduki tangga #3 video paling ‘trending’ di YouTube Malaysia pada 20hb. Ogos 2017, 2 hari selepas tayangan perdana eksklusif video tersebut yang bersiaran di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari Jumaat lalu, 18hb. Ogos 2017. Video muzik rasmi “Pertama Kali” Shaa kini telah pun mencatat tontonan mencecah 300 ribu di YouTube dan melihat kepada pergerakannya mampu mencapai tontonan melebihi 1 juta tidak lama lagi.

Lagu yang diberi judul “Pertama Kali” melonjakkan nama Shaa dalam sekelip mata apabila dikeluarkan lebih kurang 4 bulan yang lalu di bawah syarikat rakaman Nova Music. Selepas hanya 4 minggu dikeluarkan, lagu tersebut telah berjaya menjuarai carta radio ‘Hits Gegar’ dan mengekalkan kejuaraan selama sejumlah 6 minggu! Lagu tersebut juga telah menjuarai carta ‘Manis 17’ sejumlah 10 minggu dan carta ‘Hits Tempatan’ Joox; dan mencapai kedudukan Top 10 di carta ‘era 40’ dan Top 30 di carta ‘Hot fm 30’ setakat ini. “Pertama Kali” juga tinggi di strim di pelbagai pelantar striming muzik seperti Spotify, Joox, Yonder dan Apple Music.

Shaa bermula sebagai penyanyi jalanan bersama kumpulan Darulaman Buskers yang berasal dari Alor Setar, Kedah. Persembahan Shaa mendendangkan lagu-lagu yang bernada tinggi sering kali menambat hati penonton. Apalagi bila Shaa gemar membawa lagu-lagu popular nyanyian penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Shaa mula mendapat perhatian syarikat-syarikat rakaman apabila rakaman video beliau menyanyikan lagu “Putus Terpaksa” Ziana Zain menjadi viral di laman media sosial. Malah, banyak syarikat rakaman berebut untuk mendapatkan tandatangan Shaa sebagai artis mereka tetapi beliau akhirnya membuat keputusan untuk bersama Nova Music setelah disunting oleh komposer tidak asing lagi, Eddie Hamid yang bertugas sebagai Pengarah A&R Nova Music.

Setelah sah menjadi artis rakaman mereka, Nova Music telah membuat keputusan untuk merakam “Pertama Kali, lagu ciptaan Shaa sendiri yang ditulis semasa dia berumur 15 tahun.

Menariknya, lagu tersebut yang dimuat naik ke YouTube dengan judul ‘untukmu sayang (pertama kali)’ pada awal tahun 2015 menampilkan hanya nyanyian dan lirik tanpa sebarang muzik mencatat tontonan lebih daripada 700,000 ketika itu. Kini video lirik lagu “Pertama Kali” telah pun mencatat tontonan lebih daripada 8.7 juta di YouTube setakat ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

5 Kelebihan Perdagangan Elektronik (E-COMMERCE) – UBER

Apa Yang Uniknya PRISON BREAKOUT RUN di Shah Alam Extreme Park