in , ,

Ulasan Ringkas Konsert Solo THIS IS Misha Omar di DFP

Lagi tiga tahun untuk menggenapkan usia dua dekad menjadi penglipur lara jelata rakyat malaysia, malam tadi Misha Omar telah melakar satu lagi sejarah dalam portfolio seni ni apabila telah melunaskan janji untuk menjayakan THIS IS MISHA LIVE AT DFP.

Seakan tidak percaya lebih satu jam peminat dibawa menyelusuri bersama emosi penyanyi kelahiran negeri Cik siti Wan Kembang ini dengan rangkaian lagu tersohor kini dari awal pembabitannya di arena seni hingga kini. Misha berjaya menukar persepsi penonton yang hadir di Dewan Filharmonik PETRONAS sebagai platform untuk dia ‘berdating’ seperti orang tengah bercinta layaknya dengan peminatnya.

Membuka tirai pentas dengan lagu CINTA ADAM & HAWA dan SEMBUNYI nukilan terakhir saudara Loloq, nyanyian Misha terus meresap dalam setiap peminat. Ramai yang terpaku dengan lenggok suara dan kemantapan vokal Misha. Tak kurang ada yang turut sama-sama menyanyi dan ada juga mengoyangkan bahu dengan lagu lagu yang pastinya sering menjadi siulan satu masa dulu.

Konsert Misha Omar at DFP

Selain medley: Cinta Adam & Hawa / Sembunyi, Misha juga turut menyampaikan lagu yang diminati ramai iaitu Sampai Bila, Medley: Pulangkan / Ku Seru, Nafas Cahaya, Dedebu Cinta, Jawapanmu, Medley: Semoga Abadi / Riwayat Cinta dan diakhiri dengan Bunga – Bunga Cinta sebagai penutup.

Garapan muzik dari magis Datuk Ramli M.S menjadi gabungan muzik juga emosi di konsert ini sesuatu yang gah kerana Misha dan Datuk Ramli M.S juga pernah bekerjasama dalam menerbitkan album beliau.

Bagi Budiey, THIS IS MISHA OMAR adalah sebuah konsert ‘teaser’ yang meninggalkan kenangan manis buat peminat. Penyampaian keseluruhan lagu sangat sempurna, kemas dengan pukulan vokal diheret bersama penghayatan yang sarat dengan jiwa dan rasa ditambah dengan interaksi yang cukup lengkap bersama penonton. 

Itulah Misha Omar… dia tak pernah gagal dalam membawa penonton terbuai hanyut jauh lalu larut dalam ruh setiap lagu yang didendangkan.

Rangkaian lagu-lagu yang dipilih juga terbaik. Setiap lagu punya kisah tersendiri. Segala ceritera dicanang dengan nada bersahaja tapi kelakar, cukup membuatkan kami ketawa dan terhibur. 

Paling melekat apabila Misha buka kisah tentang apa yang peminat rindukan. Keluarlah suara-suara lantang mengatakan mereka rindukan hentakan kaki Misha. Buat peminat Misha, sudah pasti tahu apa yang dimaksudkan dengan hentakan kaki. Kelakar sekali bila ada menyahut, rindu pada gigi Misha yang dulu. Aduyai… tak kurang melekat semasa Misha bercerita tentang kisah cintanya yang dicerita kepada Cat Farish dan juga kisah bertemu dengan dua orang budak di supermarket. 

Konsert Misha Omar at DFP

Rasanya ramai yang menangis semasa Misha menyampaikan lagu RIWAYAT CINTA bersama iringan piano yang dirangkum dalam sebuah rendisi berbeza yang meruntun jiwa di mana hanya vokal Misha jelas menerjah rasa cinta yang ditinggalkan sepi.

OMG! Airmata keluar tanpa dipaksa. Lama tak nangis masa konsert. Adehhh. Semua pulang dengan hati cair dan larut malam tadi. Semua balik dengan rasa tak puas sebab banyak lagi lagu tak dilagukan.

Persembahan satu jam untuk perjalanan seni 17 tahun, empat album dengan puluhan lagu yang meletop adalah tidak cukup sama sekali. Pastinya, konsert berskala besar bakal menyusul tidak lama lagi.

Terima kasih Dewan Filharmonik Petronas sudi mengundang Budiey Channel.

Konsert Misha Omar at DFP
Konsert Misha Omar at DFP
Konsert Misha Omar at DFP
Konsert Misha Omar at DFP
Konsert Misha Omar at DFP

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Lamar Wann Jadi Peserta Gegar Vaganza Musim Ke-6?

Yang Anda Perlu Tahu Tentang Filem KRON