in ,

Ulasan Konsert UB40 Live in Kuala Lumpur

Pada 9 April 2014 lalu, Budiey berkesempatan untuk menonton persembahan julung kali dari sebuah kumpulan reggae, UB40 di KL Live, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. Seperti yang Budiey coretkan di Instagram, yang datang memenuhi ruang depan pentas adalah generasi kakak-kakak dan abang-abang juga tak ketinggalan pakcik-makcik. Kalau nak kira jumlahnya, kurang dari 500 penonton. Generasi remaja agak jarang sekali kelihatan. Yang hadir juga setengahnya dari pelancong asing.

Mungkin ada yang tak kenal dengan kumpulan UB40 tapi jika dengar lagu mereka pasti tahu bait-bait lagu hitnya. Mungkin ini kesan pergolakan dalaman kumpulan ini. Di mana saat vokalis Ali Campbell yang merupakan pengasas band dari Birmigham, UK yang menarik diri pada tahun 2008 sebab Ali berbalah dengan Robin. Lalu, tempat vokalis digantikan abangnya, Duncan. Mickey kemudian join kembali tahun lalu, diikuti dengan Astro dan mereka bergerak bersama beberapa pemuzik baru. Selain Astro dan Ali, ada seorang lagi ahli asal kumpulan ini iaitu Mickey Virtue.

Kita ketepikan dulu sejarah hitam yang melanda kumpulan ini, apa yang pasti aura mereka tetap membuatkan semua bergerak dan menari semasa mereka mendendangkan lagu pertama sampailah habis konsert. Budiey sifatkan persembahan mereka cukup klasik dan pada malam itu pasti akan dikenang oleh peminat di Malaysia yang merindui selepas 20 tahun UB40 tak beraksi di sini. Dari 16 buah album, rata-rata lagu dipilih untuk mengembalikan segala memori selama lebih 30 tahun memeriahkan persada muzik reggae. KL Live yang sebelum ini menjadi medan muzik pop dan rock bertukar menjadi kelab reggae jadinya.

[pullquote]Untuk info pembaca, UB40 pernah terbang ke Malaysia untuk buat persembahan pada tahun 1994 menjadikan penyanyi asalnya Ali Campbell dan Astro menggenapkan kehadiran untuk kali kedua.[/pullquote]

Tanpa ada opening act, saat jarum jam terletak di jam 9 malam, konsert mereka digegarkan dengan lagu pembukaan yang diambil dari album solo Ali iaitu Flying High, mereka hangatkan rentak reggae dalam sebuah lagu cover oleh Al Green berjudul Here I Am. Lagu Homely Girl kemudian mengambil tempat menjadikan peminat terus layan muzik dan bersorak memanggil nama vokalis terkenal itu.

Apa yang Budiey perasan, vokalis mereka tidak banyak berkomunikasi dengan penonton. Tidak banyak cakap. Dari lagu ke lagu, mereka menyajikan muzik dan irama segar yang nostalgik. Muzik reggae bukan mudah kerana ia memerlukan kombinasi muzik dari pemain saxophone, klarinet, trumpert dan keyboard di mana muzik ini bersatu bercantum menjadi satu irama yang ceria, rancak dan cukup layan.

Tidak perlu apa-apa gimik yang mengarut, persembahan UB40 cukup bersahaja. Begitu juga dengan set pentas yang cukup sederhana dengan latar hitam, serasi dengan pemakaian semua ahli kumpulan yang sempoi dari segi pemakaiannya. Astro yang berambut dreadlock tampil serba hitam turut mendapat tepukan gemuruh.

Lagu Way You Do dan lagu popular UB40 berjudul Folitician nyanyian Astro bergema saat penonton tidak berganjak sampai habis. Faktor usia juga mungkin membuatkan mereka tak banyak bergerak lincah. Cukup sekadar memberikan persembahan muzik dan vokal terbaik itu cukup penting. Penarinya, adalah penonton yang datang. Ya, penonton cukup santai pada malam itu kerana yang datang sekadar mahu berhibur dan berseronok walaupun konsert diadakan pada hari bekerja.

Antara lagu lain yang berkumandang, “Stick By Me” , “1 In 10” , “Love Reggae Music” , “Groovin’ ” , “Would I Lie” , “Impossible Love”, “Hold Me Tight” , “Cherry Oh Baby” , “Rat in Me Kitchen” , “Please Don’t Make Me Cry”, “Silhoutte” dan Maybe Tommorow. Ali membuktikan suara otainya masih berbisa dan masih lagi menjadi dambaan peminat.

Konsert berdurasi dua jam lebih ini sudah tentu tidak dirasakan lama buat penonton yang merindui kehadiran UB40. Pentas diakhiri dengan lagu “Purple Rain” dan “Cant Help Falling”. Namun, tidak sah jika mereka kembali ke pentas untuk selingan terakhir dengan persembahan encore dengan dua buah lagu yang cukup klasik, “Kingston Town” dan “Red Red Wine”. Lagu-lagu ini memang seleksi wajib untuk penonton membawa pulang serangkai kenangan.

Budiey tidaklah membesar dengan lagu-lagu reggae namun, apa yang boleh Budiey katakan, muzik reggae ada keistimewaan tersendiri di mana rentaknya membuatkan kita sendiri rasa mahu gerak-gerakkan badan. Rata-rata yang hadir bersetuju UB40 masih lagi menjadi band reggae yang legend buat mereka.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Budiey | 15

Pengalaman Bertemu dengan Pasukan MERCEDES AMG PETRONAS Nico Rosberg & Lewis Hamilton

Sinopsis Novel Sonata Cinta Afro