in ,

Ulasan Konsert Infinite One Great Step in Malaysia

Kumpulan idola k-pop, Infinite telah berjaya mengadakan konsert World Tour pertama mereka di Stadium Negara semalam (19 Oktober 2013). Konsert yang dinamakan sebagai “Infinite ‘One Great Step’ Concert in Malaysia” ini ternyata memberi kepuasan terhadap semua Inspirits (gelaran peminat mereka) yang hadir.

Konsert dimulakan dengan persembahan lagu terbaru mereka iaitu ‘Destiny’ seawal jam 7.30pm. Kemeriahan di stadium dapat dirasa dengan persembahan bertenaga mereka ditambah lagi dengan laungan ‘fanchant’ dan lambaian ‘lightstick’ berwarna emas daripada peminat mereka. Stadium menjadi lebih gamat apabila ahli kumpulan Infinite membuat gimik ‘silhoutte stripping’ sebagai persediaan untuk mereka mempersembahkan lagu ‘Paradise’. Ini ternyata menggamit kenangan para Inspirits semasa kedatangan mereka kali pertama awal tahun ini untuk Golden Disk Award 2013.

[pullquote align=”right”]Sebanyak 26 lagu telah dipersembahkan sepanjang konsert yang berlangsung selama hampir 3 jam itu termasuklah lagu-lagu hits mereka seperti Can U Smile, Nothing’s Over, Be Mine, BTD, Man In Love dan The Chaser.[/pullquote]

Konsert tersebut diserikan lagi dengan persembahan solo dari setiap ahli Infinite. Sungjong dan Sungyeol bergabung tenaga membuat persembahan bersama manakala Infinite H, subunit Infinite yang disertai oleh Hoya dan Dongwoo mempersembahkan lagu hit mereka iaitu ‘Special Girl’. L mempersembahkan lagu solonya yang berjudul ‘Love U Like You’ yang juga merupakan lagu untuk drama yang pernah dibintanginya sendiri iaitu ‘Shut Up Flower Boyband’. Woohyun dan Sunggyu masing-masing mempersembahkan lagu solo mereka iaitu ‘Beautiful’ dan ‘60 Seconds’.

Infinite mendekatkan diri lagi dengan para peminat Malaysia dengan hanya berbahasa dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sepanjang konsert ini berlangsung. Walaupun terdapat beberapa perkataan yang kurang jelas dari mereka, tetapi para peminat tetap tersentuh dengan usaha keras mereka untuk berkomunikasi dengan Inspirits yang hadir.

Perkataan-perkataan seperti “Saya Cintamu”, “Kamu Inspirits… Saya Punya”, “Kamu Semua Sangat Cantik”, “Manis Seperti Madu” ini akan sentiasa melekat didalam hati para Inspirits Malaysia yang hadir. Para Inspirits semakin tersentuh apabila Infinite membuat kejutan dengan menyanyi serangkap lagu ‘Rasa Sayang’ dan tambah meriah lagi apabila para peminat turut menyanyikan lagu ini bersama-sama dengan mereka.

Selepas persembahan lagu terakhir, para peminat masih lagi tidak berganjak dari tempat duduk dan melaungkan perkataan “encore” dengan harapan Infinite akan muncul kembali untuk menyambung persembahan mereka. Ternyata harapan para peminat tidak dibiarkan begitu sahaja apabila Infinite muncul kembali diatas pentas untuk ‘Encore Stage’ mereka yang dimulakan dengan lagu Come Back Again dan diakhiri dengan lagu With. Sewaktu persembahan lagu ‘With’, para Inspirits beramai-ramai mengangkat slogan yang tertulis “Let’s Walk Together Till The End” dalam tulisan hangul.

Selepas membuat ucapan terima kasih kepada semua peminat yang hadir, mereka bergerak sekeliling pentas untuk membuat tunduk hormat kepada peminat dan berjanji akan kembali lagi membuat konsert di Malaysia satu hari nanti.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kerjasama Maxis & Spotify Beri Nafas Baru Industri Muzik

Uqasha Senrose Nafi Skandal Dengan Sharnaaz