in ,

Ulasan Filem 1957, HATI MALAYA Lakonan Maya Karin

1957, HATI MALAYA. CUKUP PUAS HATI!

Filem terbaru arahan Shuhaimi Baba, 1957, Hati Malaya merupakan sebuah karya perfileman Melayu yang berupaya mengangkat darjat serta mempunyai pencapaian yang tersendiri. Untuk pertama kalinya, saya ingin memberikan sekalung ucapan tahniah dan penghargaan yang sewayarnya harus diberikan kepada pengarah filem melayu ini.

Hati Malaya bergerak dari jalan cerita berkaitan empat orang rakan, iaitu Salmi, Hali, Ani dan Rafik (Lakonan Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani dan Adlin Aman Ramli) yang bertungkus lumus mendapatkan bahan untuk menerbitkan sebuah memoir kemerdekaan bertajuk 1957, Hati Malaya.

Sepanjang perjalanan skop ini, penonton akan dibawa menyelami apa yang berlaku sepanjang detik awal tanah melayu cuba mendapatkan kemerdekaan dari campur tangan British. Ianya memaparkan segala kesukaran dan susah payah bagaimana kemerdekaan ingin dicapai.

Melalui filem 1957, Hati Malaya, Shuhaimi Baba cuba memaparkan perkara yang berlaku melalui ‘flashback’ sepanjang cerita ini. Sebenarnya, satu pujian harus diberikan. Transisi di antara zaman moden dan ketika peristiwa silam berlaku, cukup lancar. Ianya tidak akan membiarkan penonton tertanya-tanya dan sukar membezakan di antara dua masa itu. Garapan yang cukup baik tanpa mengganggu kelancaran jalan cerita tersebut.

Jika sebelum ini kita melihat kebanyakan produksi filem yang menghasilkan karya parodi seperti ini seolah-olah membuat kerja cincai tanpa mementingkan ketelitian, tetapi di dalam Hati Malaya keperincian sesuatu set, busana dan prop amat tinggi dititik-beratkan. Ini kerana set dan prop yang teliti ini dapat memberikan perasaan realisme kepada penonton, untuk menghayati sesuatu filem. Tahniah kepada tenaga produksi.

Watak Faktor Utama
Sebenarnya, di dalam Hati Malaya, saya tertarik kepada satu perkara. Perkara yang menjadi faktor utama dalam sesebuah filem. Watak. Bagi watak lakonan Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani dan Adlin Aman Ramli, tidak perlu saya sentuh di sini. Watak mereka sama seperti lakonan mereka dalam penerbitan sebelum ini. Tetapi, dua watak utama yang cukup menonjolkan dan memberikan kesan ialah Tunku Abdul Rahman (lakonan Kamarulzaman Taib) dan Onn Jaafar (lakonan Zaefrul Nordin). Saya berani kata, inilah watak yang mampu memberikan emosi kepada penonton.

Jika di Hollywood, bagi watak parodi seperti ini, mereka akan memilih pelakon yang hampir serupa dan dengan teknik mekap khas, pelakon tersebut akan menyerupai seperti watak asal. Di sini mungkin teknologi kesan khas itu agak sukar didapati, tetapi Shuhaimi Baba dan tenaga produksi cukup berjaya memberikan hasil yang sama kepada penonton sinema Malaysia.

Jika sebelum ini, filem-filem keluaran tempatan tidak mampu memberikan impak seperti filem dari Hollywood, tetapi filem Hati Malaya berjaya memberikan perasaan itu. Inilah, filem Melayu pertama yang dapat memberikan kesan yang cukup mendalam. Saya amat tertarik ketika ‘scene’ di dalam dewan cina di Melaka. Ucapan Tunku yang cukup menyentuh hati. Di sinilah, Kamarulzaman cukup berjaya menghayati watak dan memberikan ekspresi wajah yang berjaya menyentuh hati penonton. Saya kira penonton dapat merasakan bagaimana perasaan mereka yang ada di dalam dewan tersebut. Amat menakjubkan!

Apa Yang Kurang?
Dalam Hati Malaya ini, mungkin ada serba sedikit kekurangan yang boleh diperbetulkan Shuhaimi Baba pada masa akan datang. Penggunaan ‘blue screen’ dan CGI dalam memaparkan prop dan suasana yang agak kasar, bagi saya boleh dimaafkan. Mungkin, pada masa akan datang, dengan peruntukkan yang lebih sedikit, bagi kesan khas persekitaran, bolehlah di buat secara ‘real’ dan prop-prop bangunan, mungkin boleh dibuat secara ‘miniture’ bagi menampakkan kesan yang lebih realistik.

Di kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada Shuhaimi Baba. Ketika pengeluar filem yang lain berlumba-lumba mengeluarkan filem genre cinta, Shuhaimi berjaya menerbitkan filem bertemakan kemerdekaan yang cukup memberikan kesan. Mungkin ada juga mesej cinta yang cuba diketengahkan, tetapi ianya tidak memberikan gangguan kepada tema utama Hati Malaya. Semangat patriotisme membara selepas menonton filem ini.

Untuk Hati Malaya, secara keseluruhan, saya berani memberikan empat (4) bintang. Satu gred yang cukup tinggi bagi filem tempatan. Kesan khas, prop, kamera yang cukup teliti, 4 bintang. Jalan cerita, 4.5 bintang. Penghayatan watak, 4 bintang. Tahniah kepada Shuhaimi Baba dan tenaga produksi 1957, Hati Malaya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Synopsis The Last Breath

Ulasan Muzik-Muzik Separuh Akhir Kategori Balada