in

TV9 Siar Laporan Khas Mangsa Banjir 2014

Penonton Berita TV9 akan dapat menyelami paparan kisah benar mangsa banjir besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah berusaha membina semula kehidupan mereka selepas kemusnahan akibat bencana alam itu.

Menerusi laporan khas bersiri, #PulihkanHarapan, Berita TV9 menghantar wartawan dan krew ke kawasan yang teruk dilanda banjir bagi merakamkan kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula kediaman di perkampungan yang musnah sepenuhnya.

JambatanStelu02

Lebih 100,000 keluarga hilang tempat tinggal dan harta benda apabila banjir luar biasa menenggelami Bandar Kuala Krai dan perkampungan sekitarnya termasuk Manik Urai, Dabong serta daerah lain termasuk Tanah Merah dan Gua Musang di Kelantan pada 26 Disember 2014.

Siri laporan khas ini adalah idea Ketua Pengarang Berita TV9, Wan Sabariah Shikh Ali, selepas mengadakan dua misi bantuan kemanusian membantu mangsa banjir pada Januari dan Mac 2015.

“Laporan ini memberi fokus kepada usaha individu dan berkumpulan yang mempunyai cerita luar biasa dalam membina semula kehidupan mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang. Beratus-ratus keluarga tinggal di dalam khemah yang tidak mempunyai sistem perparitan dan penyelenggaraan kumbahan. Mereka hidup dalam keadaan tidak selesa dan menunggu program pemulihan perumahan sama ada yang dibangunkan menerusi program Pasukan Petugas Khas Pasca Banjir atau oleh kerajaan negeri. Dalam pada itu, mereka sendiri mula mencari jalan membina semula hidup mereka yang musnah,” katanya.

Segmen #PulihkanHarapan mula disiarkan pada 7 Mac 2015 dengan tiga laporan Mohd Fauzi Mad Zin dari Kem Desa Sakinah Kuala Krai. Laporan ini diteruskan lagi oleh wartawan Amin Hayat Abd Rahim dan jurukamera Bakhtiar Benyamin, yang meninjau pedalaman Kuala Krai dan Gua Musang pada 18 hingga 23 Mac lalu.

Laporan khas Aminhayat akan bermula menerusi berita jam 8 malam pada Sabtu 4 April ini, memaparkan kesulitan mangsa banjir mendapatkan bantuan rumah sementara. Disebabkan kebanyakan mangsa tinggal di kawasan setinggan iaitu di tanah milik kerajaan negeri, rizab jalan, sungai dan kereta api, bantuan rumah sementara sukar diberikan.

Misalnya, sembilan keluarga di Tanah Cabang Tiga Manek Urai mendakwa diarah berpindah kerana tanah diduduki mahu diambil kembali kerajaan negeri untuk dibangunkan rumah penempatan semula mangsa banjir. Namun, tiada jaminan keluarga terlibat akan mendapat bantuan rumah itu nanti.

Krew kemudian bersama ikon bencana banjir Raja Shamri & pasukan 3rd Force yang menghulurkan bantuan ke Kg. Bahagia dan Kg Mambong. Bantuan dari segi surau dan jalan di kawasan itu yang dijangka siap sebelum Ramadhan nanti. Selain itu, misi bersama sukarelawan ResQ UPSI membina rumah sementara kepada golongan warga emas, OKU, ibu tunggal dan miskin tegar yang rumah mereka musnah dilanda banjir.

Seorang warga emas dibantu dengan dibina rumah sementara yang bakal siap dalam tempoh 2 minggu. Krew juga ke Kg Karangan yang mana bantuan rumah sementara daripada kerajaan negeri Kedah kepada 53 penduduk sedang dijalankan. Bantuan bukan sahaja kepada pemilik rumah tetapi juga kepada penyewa juga akan diberi bantuan rumah sementara.

Misi juga ke Dabong di pusat penempatan mangsa banjir sementara yang dibina oleh kerajaan negeri Terengganu. Seramai 21 keluarga berlindung di situ sementara bantuan rumah kekal diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab. Mereka menerima bantuan air bersih dan bekalan elektrik. Biar pun terpaksa berkongsi 6 tandas untuk 21 keluarga, mereka masih bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan. Misi seterusnya ke Kg. Kemubu dimana jambatan dan landasan kereta api yang runtuh akibat dipukul arus deras. Penduduk di Kg Kemubu terpaksa menggunakan bot untuk ke seberang. Jika dulu perjalanan ke seberang hanya 5 minit menggunakan jalan khas di tepi landasan kereta api, namun, penduduk terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 30 km dan memakan masa lebih dua jam untuk ke seberang.

Menurut Wan Sabariah, siri laporan khas itu akan diteruskan lagi ke Dungun dan Kemaman di Terengganu pada 25 hingga 28 April. Wartawan dan jurukamera TV9 akan terus meninjau kehidupan penduduk kampong pasca banjir bagi melihat sendiri proses pemulihan dan pembinaan semula.

“Bagi Jabatan Berita dan Hal-Ehwal Semasa TV9, paparan berita bukan hanya ketika sesuatu isu itu masih hangat dan menjadi tumpuan umum, tetapi kita terus melaporkan kisah manusia yang berterusan berjuang untuk membina semula kehidupan yang sudah musnah. Inilah nilai berita yang kadangkala dilupakan,” katanya.

Bagi Aminhayat ,pengalaman membuat liputan ini telah membuka perspektif yang lebih luas mengenai masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir yang tidak banyak diketahui umum.

Antara isu penting yang wajar diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat ialah penyaluran bantuan rumah sementara dan rumah kekal.

“Sepanjang meninjau ke perkampungan terjejas, kami dapati kebanyakan mangsa banjir sudah mula melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Walau pun diuji dengan ujian yang amat besar, mereka masih ceria dan bersemangat. Mereka yang rata-rata bekerja sebagai penoreh getah, telah kembali bekerja.

“Anak-anak sudah kembali ke sekolah walaupun ada yang terpaksa menggunakan bot selepas jambatan runtuh seperti di Kemubu dan juga Pulau Stelu,” kata Aminhayat.

Di Manek Urai Lama, misalnya, Aminhayat dan Bakhtiar dijemput ke sebuah majlis pertunangan penduduk tempatan. Walaupun majlis itu dilangsungkan serba sederhana, mereka tetap bergembira.

Selepas hampir 3 bulan, masih ada lagi kesan kemusnahan akibat bah di kebanyakan perkampungan yang dikunjungi. Ramai mangsa banjir berlindung di khemah sementara dalam keadaan daif.

“Paling memilukan apabila ada seorang warga emas yang merayu kepada saya, agar membantunya mendapatkan bantuan rumah dan berharap ada sesuatu tindakan segera dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Info ringkas
Siri laporan: #PulihkanHarapan
Tarikh siaran: Setiap Sabtu & Ahad, bermula 4 April 2015 (di dalam Berita TV9)
Jumlah laporan: 10 laporan
Wartawan: Amin Hayat Abd Rahim
Jurukamera: Bakhtiar Benyamin

jambatanKemubu01

jambatanKemubu02

JambatanStelu01

JambatanStelu03

KgBertamLama01

KgMambong-Jalan

KgManjur

RajaShamri-3rdForce

RumahKerajaanPusat-manekUrai

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fatiya Latiff & Fattah Amin Dalam Drama Bersiri BENCINTA

Harga Makanan di McDonalds Selepas GST