in , ,

TV AlHijrah Lancar Kempen Jom Vaksin Untuk Memerangi Wabak Covid-19

Pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 pada ketika ini termasuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Jun lalu.

Malangnya, usaha pihak kerajaan ini sedikit terbatas gara-gara tindakan segelintir individu yang masih ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin setelah dimomokkan oleh pelbagai salah tanggapan,salah faham serta teori konspirasi yang tersebar luas di media sosial.

Cakna akan peri pentingnya mewujudkan imuniti kelompok sebagai usaha memerangi wabak Covid-19, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab penuh membantu usaha pihak berwajib dengan melancarkan Kempen Jom Vaksin menerusi platform-platform siarannya.

Kempen Jom Vaksin telah dilaksanakan bermula 26 Mei 2021 yang lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Jun 2021.

Kempen Vaksin

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, “Kempen Jom Vaksin adalah kempen kesedaran yang bertujuan menjernihkan salah tanggap masyarakat serta menyeru mereka terutamanya warga emas untuk hadir ke temujanji suntikan vaksin Covid-19. Insyaallah kita akan lanjutkan kempen ini ke bulan seterusnya sekiranya ia memberi impak positif kepada masyarakat.

“Menggunakan tema Jom Vaksin: Ikhtiar dan Tawakal, kempen ini bersifat memujuk serta memberi ilmu kepada orang ramai terutamanya warga emas dan mereka yang berada di luar bandar untuk tidak mensia-siakan peluang suntikan vaksin.

“Anda telah mendaftar, maka ayuh sama-sama pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Menurut Namanzee, TV AlHijrah percaya bahawa suntikan vaksin Covid-19 ini adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan Maqasid Syariah serta selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

“Oleh yang demikian, Kempen Jom Vaksin dilaksanakan secara holistik dan bersifat 360 darjah. Dua inisiatif utama akan digunakan bagi mendokong inisiatif kempen sepanjang sebulan ianya berlangsung.

“Inisiatif pertama adalah menerusi program-program istimewa yang disiarkan di platform televisyen. TV AlHijrah membariskan pelbagai program istimewa yang mempunyai DNA penting iaitu peringatan buat masyarakat untuk hadir ke temujanji vaksinasi. 

Ustazah Asma dihadapan bangunan TVAlhijrah

“Antara program-program tersebut adalah Analisis, My #Qurantime, E-Kaunter Netizen Versi PKP, Al-Istibyan, Dengar, Assalamualaikum, Kapsul Wabak, Keluarga dan Berita AlHijrah,” jelas Namanzee.

Selain itu, TV AlHijrah juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyiarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), rerayap, dan video pendek tentang program vaksinasi ini.

Menurut Namanzee. kempen ini mendapat sokongan beberapa pendakwah tempatan yang berbesar hati memberikan kata-kata sokongan dan suntikan semangat agar masyarakat hadir pada sesi vaksinasi bagi mewujudkan imuniti kelompok menjelang penghujung tahun 2021.

Antaranya adalah Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali (Pengerusi Dewan Dakwah), Ustaz Husaini Mahmur (Johan Tilawah Al Quran Remaja), Dato’ Ustaz Badli Shah Bin Alauddin (Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan), Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia), Ustaz Roslan Mohamed (Mantan Pensyarah Kanan di Universiti Malaya) dan Ustazah Asma’ Harun (Pendakwah Bebas).

Kempen Jom Vaksin (1)

Selain itu, Majlis bacaan Yassin, Al Kahfi dan Al Mulk juga dianjurkan oleh TV AlHijrah setiap hari, jam 5.30 pagi dan 4.30 petang bagi mendoakan kesejahteraan negara serta seluruh rakyat Malaysia.

Paling istimewa, TV AlHijrah turut melancarkan lagu tema buat kempen ini. Lagu yang berjudul PadaMu Tuhanku nyanyian kakitangan TV AlHijrah iaitu Norkamal Azhary Ahmad akan dimainkan setiap hari di kaca televisyen sebagai pembakar semangat untuk rakyat Malaysia berjuang melawan Covid-19.

“Inisiatif kedua adalah inisiatif di platform media sosial. Menerusi inisiatif kedua ini, TV AlHijrah memperkemaskan kandungan media sosial seperti Instagram, Facebook, portal AlHijrahnews.com dan portal gaya hidup HBit. 

“Pelbagai poster, artikel serta video seruan dari sudut pandang para agamawan dan pakar perubatan yang memberi penjelasan menyeluruh tentang vaksin Covid-19 akan dimuatnaik setiap hari,” tambah Namanzee.

Jadi ayuh sama-sama kita jadikan TV AlHijrah ladang ilmu sepanjang PKP 3.0 ini dilaksanakan. Jom sama-sama menonton TV AlHijrah untuk informasi terkini mengenai program vaksinasi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program KUALI SEJOLI & CHOCO HUNTER, Program Menarik Terbaharu di TV Okey

Khir Rahman Tampilkan Filem Komedi Arahannya Berjudul ARWAH PAK MAT, LIF & AJK