in , , ,

Tuju & Tyco Bergabung dengan Ustaz Kazim Elias dalam Lagu SALAWAT 1442

Sempena sambutan Maulidurasul pada 29 Oktober 2020 ini, Imaan Music, merupakan sebuah label muzik berteraskan lagu- lagu Islamik kontemporari melancarkan karya terbaharunya berjudul “Salawat 1442” pada 27 Oktober (Selasa) di YouTube Imaan Music jam 10 malam.

Selepas 5 tahun, Imaan Music kini kembali menggabungkan nama-nama besar iaitu Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE), pendakwah bebas terkenal, TUJU, rapper berpengaruh daripada kumpulan K-Clique, dan TYCO, yang merupakan lagenda penyanyi rap dalam “Salawat 1442”. Objektif lagu ini adalah bertujuan untuk membawa kelainan dalam muzik dakwah yang mana konsepnya disifatkan sebagai “relaxing style”. 

Dilihat sebagai sebuah rilisan eksklusif terbitan Imaan Music, bersama komposer dan penulis lirik Tuju, Neo, dan Almanjawi, buat pertama kalinya, orang ramai dapat mendengar suara Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE) menyanyi secara profesional dari dalam studio rakaman. Lagu ini juga diselitkan dengan unsur rap yang dikendalikan oleh TUJU dan TYCO.

Pertama kali mengambil bahagian dalam proses rakaman lagu, Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE) turut berkongsi, 

“Ramai yang tahu saya memang suka menyanyi ketika melaksanakan ceramah. Alhamdulillah, saya bersyukur dan hargai kepercayaan yang diberikan oleh Dato’ Norman Abdul Halim untuk merakamkan sebuah lagu sempena Maulidurasul bersama dua ahli rap terkemuka, iaitu,TUJU dan TYCO.

Salawat 1442″ ini, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif dalam menempuh rona kehidupan. Tidak lupa juga, elemen rap yang diselitkan dalam lagu ini, bertujuan untuk membuatkan golongan anak muda lebih tertarik untuk mendalami maksud di sebalik sambutan Maulidurasul.”

– Dato’ Ustaz Kazim Elias (DUKE)
Tuju & Tyco Bergabung dengan Dato' Ustaz Kazim Elias dalam Lagu Salawat 1442

Memetik kata-kata daripada TUJU berkenaan “Salawat 1442”, 

“Pembikinan lirik lagu rap yang dinyanyikan oleh saya dalam lagu ini adalah sesuatu yang belum pernah saya luahkan lagi dalam mana-mana karya sebelum ini.

Melalui “Salawat 1442”, saya berupaya untuk meluahkan perasaan saya dengan lebih jelas sekaligus berkongsi cerita tentang perjalanan hidup saya yang dulu hingga kini, dalam usaha saya menjadi Insan yang lebih baik.

Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam banyak-banyak penglibatan saya dalam menghasilkan muzik, ini adalah kali pertama saya memberanikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar.

Terima kasih Imaan Music kerana memberi peluang dan ruang untuk saya berkarya dalam lagu ini.

Diharapkan mesej yang saya cuba untuk sampaikan dalam “Salawat 1442″ dapat difahami dan diterima oleh semua.”

– TUJU

Dalam pada itu, TYCO yang turut menjadi sebahagian daripada barisan yang melengkapkan karya “Salawat 1442” meluahkan, 

“Setelah 12 tahun berdiam diri, entiti TYCO bakal membuat kemunculan kembali di mata orang ramai.

Kali terakhir saya membuat penampilan adalah dalam filem Cicakman 2 iaitu pada tahun 2008.

Walaupun konsep lagu yang dibawakan kali ini berbeza berbanding dengan karya-karya TYCO terdahulu, saya tetap mengharapkan agar karya kali ini dapat memberi impak kepada para pendengar.”

– TYCO

Saksikan lirik video lagu “Salawat 1442” bermula 27 Oktober di saluran rasmi YouTube Imaan Music bermula jam 10 malam. Lagu “Salawat 1442” juga boleh didengarkan dan dimuat turun di semua pelantar muzik digital selain dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. Ikuti akaun-akaun sosial media Imaan Music untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai Imaan Music.

Jangan lupa! Luangkan masa bersama Dato’ Norman Abdul Halim, Tuju dan Duke di TikTok LIVE pada 27 Oktober jam 8 malam di aplikasi TikTok @KRU.Music. Juga, saksikan persembahan istimewa DUKE, TUJU dan TYCO dalam rancangan hiburan No.1 Malaysia, MeleTOP, Astro Ria pada jam 9 malam.

LIRIK LAGU SALAWAT 1442

LAGU: SALAWAT 1442
ARTIS: DUKE, Tuju, Tyco
SYARIKAT RAKAMAN: Imaan Music

KOMPOSER: Tuju, Neo, Almanjawi, Public Domain
LIRIK: Tuju, Neo, Almanjawi, Public Domain

Sallallahu Ala Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Sallallahu Ala Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

Lakaran sejarah di buku hidup,
Pengalaman dalam nota, bertemu noktah sebelum penutup,

Salah tafsir satu dua alif bata,
Cinta terukir di bintang, mengikut harapan meniup,

Ku terus ke depan, depan
Berjalan setiap langkah dengan bekalan lafaz syukur,

Untuk masa depan, depan
Ku tanam semua warna warna hidup yang telah luntur,

Dunia yang fanah penuh dugaan,
Ku relakan jiwa setiap kali menempuh,
Tujuan di betulkan, sebelum terlambat,
Berhasrat berjuang untuk senyum hingga penamat,

Berhasrat berjuang untuk senyum hingga penamat,

Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam
Sallallahu Ala Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam
Dunia ini penuh pancaroba,
Ikut jalan lurus biar susah ku tetap mencuba,

Ku lihat luka di kenangan hidup,

Ku khayal ketika ku melakar sesal ku hirup,

Siapa yang sempurna kau pun tahu,

Siapa yang sempurna kau pun tahu,

Di sebalik dugaan ku belajar balik, Mencari hidup,

Dan yang menjaga ku kanan kiri
Tahu dan mengerti catatkan aku di dalaman dan

Bukan yang nyata pada kenalan
Ku hanya satu pandangan

Mereka olah sendiri
Aku yang dalam kenangan
Aku yang tak kenal diri tentang kehidupan

Aku hanyut dalam air yang ku salami

Alhamdullilah, tanganku tadah

Kerana tanpa pedoman,
Pastiku hilang arah
Kitab diwahyukan jadi pegangan 2, 4, 4, 3, 4…

Ketenangan

Ya Rabbi, segala-gala yang terpuji,

Limpah ruahkan rahmatmu ke atas Nabi Ya Rasulullah, damailah disana
Semoga kau sambut diriku di akhir masa

Sallallahu Ala Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Sallallahu Ala Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

Ya Rasulallah
Kau Kekasih Allah
Ya Rasulallah
Kau memimpin manusia
Jalan menuju pintu keredhaannya

Pimpin tanganku untuk bersama

Amin Ya Rabbal Alamin

Tentang Imaan Music

Imaan Music, merupakan sebuah label muzik berteraskan lagu-lagu Islamik kontemporari dengan nilai-nilai positif sebagai aspirasi kehidupan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Saya Mempercayai Orang Yang Salah,” Tiba-Tiba Elizabeth Tan Menangis Teresak-Esak

YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram