in

Telemovie Lukisan Kasih Lakonan Safura Yaacob

Kegigihan Seorang Wanita Menyuntik Kejayaan Anak OKU Dalam Telemovie “Lukisan Kasih” Di TVi

Amran dilahirkan cacat kerana tidak mempunyai kedua-dua belah tangan dan Puan Hasnah, ibunya telah mengambil alih tugas suaminya yang meninggal lapan tahun yang lalu. Oleh kerana, Amran sering jatuh sakit dan pendapatan yang tidak seberapa, Hasnah terpaksa meminjam duit daripada jiran-jirannya untuk menghantar ke klinik.

Kisah memgenai cabaran, pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya bakal mewarnai telemovie Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk Lukisan Kasih menemui penonton pada 30 Mac 2013 (Sabtu), jam 12.00 tengah hari menerusi saluran TVi.

Dibarisi pelakon Safura Yaacob, Zulkifli Ariffin, adik Mohd Azhari, Delimawati, Ridzuan Hashim dan Azhar Sulaiman, telemovie ini mengetengahkan plot cerita mengenai kegigihan dan kesabaran Puan Hasnah dalam menghadapi liku-liku kehidupannya tanpa seorang suami.

Walaupun hasil pendapatannya tidak seberapa tetapi Puan Hasnah tidak mengendahkannya asalkan Amran sentiasa sihat. Amran adalah seorang anak yang pendiam dan gemar memerhatikan para pelajar lain apabila ada aktiviti melukis.

Cikgu Bakhtiar, guru lukisan disekolahnya perasan akan kehadiran Amran dan telah menghadiahkannya satu set peralatan melukis. Bermula dari situ, Amran telah menghasilkan satu lukisan yang amat menarik perhatian Cikgu Bakhtiar sehingga mengambil keputusan untuk mengajarnya dengan teknik yang betul. Disebabkan oleh peningkatan dan perkembangan dalam lukisannya, Cikgu Bakhtiar telah menggantung lukisannya di bilik guru untuk dijadikan paparan kepada para pelajar lain.

Cikgu Bakhtiar telah mencadangkan kepada Puan Hasnah untuk menghantar Amran ke sekolah pendidikan khas dan memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana masa depannya akan lebih terjamin.

Puan Hasnah bersetuju dengan cadangannya dan Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah datang untuk melihat keadaan kehidupan Puan Hasnah. Amran gembira apabila dibenarkan bersekolah di sekolah pendidikan khas kanak-kanak cacat dan Puan Hasnah pula menerima bantuan dari pihak kebajikan masyarakat sebanyak RM 300 sebulan untuk menampung persekolahan Amran.

Dua tahun kemudian, Puan Hasnah telah membuka perusahaan sendiri dengan membuat makanan sejuk beku yang telah mendapat tempahan dari pasaran Malaysia dan luar negara. Saksikan kecekalan, kegigihan serta kesabaran seorang ibu tunggal dalam menyara kehidupan anaknya yang cacat serta mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik hanya di TVi.

DRAMA LUKISAN KASIH

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Cinta Gadis Igal-Igal Lakonan Shahrizal Jaszle & Nabila Huda

Drama Bersiri Tanah Merah Lakonan Zara Zya