in ,

Telemovie Komedi Ala P Ramlee Kampung Semarah Padi

Telemovie Komedi Ala P.Ramlee : “Kampung Semarah Padi” Tayangan Hari Raya Pertama Di TV1

“Kampung Semarah Padi” … mendengar sahaja tajuknya sudah menunjukkan ada keistimewaan yang bakal ditonjolkan dalam drama yang bakal disiarkan Raya Pertama ini arahan Melissa Saila menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Membawa tontonan penonton kembali ke sekitar tahun 50an, telemovie komedi ala-ala P.Ramlee, Kampung Semarah Padi yang disiarkan pada 19 Ogos 2012, jam 6.00 petang mengisi slot Panggung Raya di TV1 ini meninggalkan bukan sedikit impaknya kerana selain menonjolkan plot cerita yang lari daripada kebiasaan, ia turut menampilkan gandingan pelakon Beto Kusyairi, Pekin, Shera Aiyob, Sheila Mambo dan Sabri Yunus juga penampilan khas Melissa Saila dan Amran Tompel.

babak dalam Kampung Semarah padi

Mungkin ada yang beranggapan jalan ceritanya ada kaitan dengan filem Semerah Padi lakonan Tan Sri P.Ramlee, namun hakikatnya berbeza kerana pusingan cerita berlatarkan kisah yang berlaku di sebuah kampung bernama Kampung Se’marah’ Padi sekitar tahun 50an yang menyaksikan seluruh penduduknya hidup dalam keadaan marah semarah-marahnya akibat terkena sumpahan seorang gadis bernama Musalmah.

Musalmah telah dijatuhkan hukuman mati akibat termakan buah cempedak milik penghulu Siak. Sebelum mati Musalmah telah membuat sumpahan bahawa penghulu Siak serta seluruh penduduk kampung akan menjadi marah selama tujuh keturunan.

Sejak itu hiduplah penduduk Kampung Se’marah’ Padi dalam kemarahan dari segi tutur kata mereka, perilaku mereka dalam keadaan marah semata mata. Itulah cara hidup penduduk Kampung Semarah Padi. Selepas terkena sumpahan, penduduk kampung Se’marah’ Padi masih lagi hidup dalam keadaan marah.

Pada suatu hari penduduk kampung telah menyelamatkan Kasim yang terdampar di tepi sungai. Kasim yang berasal dari kampung lain telah dibawa ke rumah penghulu Siak.

Sejak itu Kasim dirawat oleh Penghulu Siak, isterinya Tanjung dan anaknya Meriam. Setelah sembuh Kasim menjadi hairan dengan penduduk kampung Se’marah’ Padi, walaupun hati dan perbuatan mereka baik tetapi percakapan mereka sentiasa kasar dan dalam keadaan marah.

Oleh kerana terhutang budi kerana telah diselamatkan, Kasim berniat untuk berbakti kepada penduduk kampung Semarah Padi dan mengajar mereka untuk bertutur secara normal dan mengawal kemarahan mereka. Kasim membuka kelas mengawal kemarahan(anger management) bagi penduduk kampung.

Tercapaikah hasrat Kasim mahu membuang sumpahan Musalmah dan mengembalikan penduduk kampung seperti norma asalnya? Saksikan drama arahan Melissa Saila ini khas tayangan lebaran yang mulia hanya di TV1.

Sheira Ayob dan Sheila Mambo ... Kampung Semarah Padi

Sakit ... watak Kasim diselamatkan oleh sebuah keluarga di situ

Pekin ... muncul antara watak utama

Beto Kusyairi ... penyelamat penduduk Kampung Semarah Padi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Sitkom Small Mission Enterprise ntv7

Senarai Program Muzikal Hari Raya Di TV2