in , ,

Telemovie BURUNG KERTAS Lakonan Nadia Nisaa dan Beto Khusyairi

Hilang harapan dan putus asa. Situasi ini seringkali menghantui seseorang yang disahkan menderitai apa jua penyakit. Apatahlagi bila berdepan situasi menghidap penyakit yang sukar diubati termasuklah kanser. Di dalam fikiran terbayang masih adakah harapan untuk pesakit kanser menjalani kehidupan seperti orang normal yang lain?

Tapi ramai juga pesakit kanser yang berjaya melawan penyakitnya hingga kembali sihat seperti biasa. Harapan dalam diri dan sokongan orang sekeliling adalah kunci untuk pesakit-pesakit ini melawan takdir yang menimpa mereka.

Telemovie BURUNG KERTAS

Harapan Pesakit Kanser Lakonan Nadia Nisaa dan Beto Khusyairi Dalam Telemovie BURUNG KERTAS di TV2

Mengangkat kisah menyuntik motivasi diri seorang pesakit kanser yang gigih berjuang melawan takdir ditentukan Allah kepadanya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie bertajuk “Burung Kertas” mengisi slot Citra di TV2 pada 10 November ini, pukul 9.30 malam.

Dibawakan watak utamanya oleh Nadia Nisaa yang ‘menghidupkan’ watak gadis cekal bernama Fira, telemovie arahan Fairuz Loy ini turut menampilkan pelakon Beto Khusyairy, Roslan Salleh, Jay Iswazir dan Rozie Othman.

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Azrol, seorang pelajar jurusan pengurusan hotel di sebuah IPTA, di Kuala Lumpur yang mengikuti latihan amali di sebuah resort di Pulau Perhentian, Terengganu. Dia memilih menjalani latihan amali di pulau tersebut kerana mahu mencari ketenangan setelah putus hubungan dengan teman wanitanya.

Semasa di Pulau Perhentian, Azrol terpikat dengan Fira, gadis tempatan pekerja di sebuah kedai cenderahati. Hubungan mereka pada mulanya tidak disenangi oleh Faiz, rakan sekampung Fira yang juga menaruh hati terhadap Fira namun apabila melihat kesungguhan Azrol, Faiz mengalah dan akhirnya mereka menjadi sahabat.

Ketika melewati musim percintaan, setiap kali bertemu Fira, Azrol pasti akan menghadiahkan seekor burung kertas Origami sebagai tanda pertemuan mereka. Kesemua burung kertas itu akan digantung oleh Fira di biliknya. Ia menjadi simbolik lambang percintaan mereka.

Masa berlalu dan Azrol kembali ke Kuala Lumpur menyambung pengajiannya. Hubungan mereka terhenti setakat itu namun mereka berjanji untuk menyambung semula hubungan cinta tersebut setelah Azrol tamat pengajian. Walaupun masing-masing berat hati dengan keputusan itu, keduanya terpaksa akur dengan keadaan.
Setelah sekian lama tidak bertemu Fira, Azrol kembali ke pulau itu seperti yang dijanjikan setelah tamat menyambung pengajiannya. Hatinya begitu gembira sekali untuk bertemu semula dengan Fira.

Namun takdir Allah tidak siapa pun yang dapat menduga. Fira sebenarnya telah lama menyembunyikan penyakit kanser yang dideritainya daripada pengetahuan orang lain termasuklah Azrol. Masihkan ada jodoh di antara keduanya?

Telemovie BURUNG KERTAS

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Telemovie BURUNG KERTAS

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selebriti Perkenal Keistimewaan Negeri Kelahiran Dalam DESTINASI SELEBRITI

Cabaran Ingin Menunaikan Haji Dalam Telemovie KE PINTU KAABAH