in , ,

Telefilem SINAR YANG DINANTI Uji Kesabaran Beto Kusyairy

Watak Hafiz menerusi telefilem “Sinar Yang Dinanti” lakonan Beto Kusyairy mengajak anda semua menghargai pengorbanan seorang abang sulong dalam keluarga mendepani kerenah dan kesukaran dalam menggalas tanggungjawab tersebut. Apatahlagi bila dalam keluarga telah kehilangan ayah dan lagi besar dan cabaran menanti.

Dengan kerenah adik-adik yang meningkat remaja, Hafiz meskipun rasa terbeban masih cuba menjalankan tugas memantau si adik menyebabkannya berdepan tekanan menyebabkan dirinya menjadi pemarah dan dibenci adik-adik.

Turut dibantu lakonan mantap Tiz Zaqyah, Zul Helmy, Normah Damanhuri, Naza Manas dan Lia Natalia, telefilem ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. 

Kisahnya tentang Rizal dibelasah teruk oleh Hafiz kerana berkawan dengan Jefri, budak nakal dalam kampung mereka. Mujur muncul Hamidah, ibu mereka yang membuka ikatan Rizal sambil memarahi Hafiz. 

Setiap hari Hafiz merasakan beban yang ditanggungnya secara terpaksa itu sangat berat. Perasaan tidak puas hati atas nasib yang menimpanya yang membuatkan dia memberontak dan menjadi seorang pembengis dengan adik-adik, termasuk ibunya. Hamidah cuba menasihati tetapi tidak pernah diendahkan oleh Hafiz. 

Sebagai remaja yang sedang meningkat dewasa, Rizal sering menimbulkan kemarahan pada Hafiz dan sering berakhir dengan pergaduhan. Rizal sangat bencikan Hafiz dan ia menjadi lebih kuat apabila dia merasakan Hafiz menyukai kawan baiknya, Nissa.

Suatu hari, Sofea seorang gadis asal kampung itu yang sudah lama menghilang pulang ke kampung semula. Kepulangan Sofea menimbulkan kekecohan di kampung. Kecantikan Sofea membuatkan semua pemuda di kampung itu jatuh hati padanya. Tetapi kebanyakan orang tua tidak menyukai Sofea kerana imejnya yang agak seksi dan berita buruk yang tersebar mengenainya. 

Hafiz dan Sofea sebenarnya pernah bercinta semasa di sekolah dulu. Hamidah puas menasihatkan Hafiz supaya menjauhi Sofea tetapi Hafiz tidak mempedulikan nasihat ibunya itu. Semasa di kampung, Sofea merasakan kepulangannya tidak diterima. Setelah Jefri menceroboh masuk ke rumahnya dan fitnah orang kampung, Sofea membuat keputusan untuk pulang semula ke bandar. Hafiz yang sangat marahkan Jefri menangkap dan memukul Jefri dengan teruk. Ketika sedang membelasah Jefri, Rizal datang membantu dan berlaku pergelutan antara Hafiz dan Jefri. Dalam pergelutan, Hafiz hampir menikam Rizal.

Merasakan dia perlukan ruang untuk meredakan kemarahannya, Hafiz membawa diri keluar dari rumah dan mengikut Sofea ke bandar. Di bandar, Hafiz berkahwin dengan Sofea dan cuba memulakan hidup yang baru.

Pemergian Hafiz membuatkan ibunya sangat dukacita dan menambahkan kebencian Rizal kepada Hafiz. Kini, segala tanggungjawab sebagai ketua keluarga terletak di bahu Rizal. Rizal memikul tanggungjawab itu dengan rela dan dengan pemergian Hafiz.

Suatu hari, Hafiz pulang ke kampung seorang diri dengan tiba-tiba. Kepulangan Hafiz disambut dengan air mata gembira oleh Hamidah, tetapi tidak oleh Rizal. Rizal yang kini sudah dewasa sangat membenci Hafiz dan berdendam dengannya. Rizal sudah berkahwin dengan Nissa dan Nissa kini sedang mengandung.  

Apakah yang berlaku pada Sofea? Dan mengapa pula Hafiz tiba-tiba pulang semula ke kampung? Bagaimana pula penerimaan Rizal dan keluarganya? Ikuti kesudahannya dalam telefilem ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pitahati Meriliskan Bintang Biru Kristal Salju Deluxe & Remastered

Sinopsis Drama LOVE, ELSA Lakonan Julung Kali Zul Ariffin Bersama Uyaina Arshad