in

Teater Tradisional Mek Mulung Dewa Muda

Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) bakal menutup kegemilangan musim konsert 09/10 Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan pementasan unik teater tradisional Mek Mulung Dewa Muda pada 30 dan 31 Julai serta 1 Ogos ini, jam 8.30 malam.

Teater tradisional ini adalah usaha berterusan Petronas dalam memelihara seni budaya bangsa. Ia adalah kelangsungan daripada persembahan tradisional dan drama tari hebat yang pernah dipersembahkan KSPP di pentas DFP.

Menurut Eksekutif Perhubungan Media DFP, Harry Abdul Jalil, ini adalah kali ketiga Mek Mulung dipersembahkan KSPP susulan kejayaan Mek Mulung Cahaya Bulan pada 2002 dan Mek Mulung Malim Bongsu pada 2007, semuanya dipersembahkan di DFP.

“Teater tradisional yang berasal dari Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah ini menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dan dipercayai berusia lebih 500 tahun.

“Mek Mulung Dewa Muda mengisahkan kembara cinta Dewa Muda dalam usahanya menjadikan Puteri Ratna Emas sebagai pasangan hidup. Dewa Muda terpana terhadap Puteri walaupun sebelum mereka bertemu di kayangan,” katanya. Teater tradisional ini bakal diarahkan Roslee Mansor manakala A Sam Palal sebagai koreografer dan Abdul Rohni Mat Noor sebagai pengarah muzik. Seramai 65 orang artis budaya dan pemuzik KSPP akan terbabit dalam pementasan ini di bawah terbitan Hartini Abdullah.

Media prebiu teater ini akan diadakan pada 20 Julai 2010, hari Selasa depan jam 3 petang.

Tiket untuk menyaksikan persembahan berharga RM60, RM50, RM30 dan RM15 boleh ditempah melalui Box Office di talian 03- 2051 7007 atau faks 03- 2051 7077 atau email [email protected]

Datanglah beramai-ramai menyaksikan keistimewaan pementasan ini di DFP. Ia bakal menjanjikan kepelbagaian warna teater yang sedia ada di Malaysia hari ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Movie Day Out Pembaca Sensasi Selebriti Filem Knight and Day

Fringe Kembali Untuk Musim Kedua