in

Teater Badai Semalam Akan Dipentaskan di Istana Budaya

Badai Semalam di pentas Istana Budaya

NOVEL Badai Semalam sememangnya tidak asing kepada pembaca novel Melayu. Pernah menjadi teks sastera tingkatan enam, Badai Semalam umpama karya sepanjang zaman.

Yang dilahirkan selepas 1970-an boleh menyebut Badai Semalam dan membaca novel itu tanpa ada perkataan ‘ketinggalan zaman’. Hakikatnya, novel Badai Semalam turut mencuri perhatian Istana Budaya. Biar pun jalan ceritanya mudah, bagi Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, ada sesuatu yang istimewa tentang novel tersebut sehingga mencetuskan minat untuk mempersembahkannya dalam bentuk teater.

Poster Teater Badai Semalam

Istana Budaya bakal mementaskan teater yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Khadijah Hashim berjudul Badai Semalam pada 15 hingga 25 Jun ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Keputusan itu, menurut Mohamed Juhari bukan dibuat atas dasar syok sendiri. Sebaliknya tinjauan pendapat dan pandangan pelbagai pihak dituntut. Apatah lagi bagi mengisi kekosongan slot Jun ini apabila teater Salina terpaksa ‘dibatalkan’ lantaran ada masalah mendapat persetujuan penulisnya Datuk A. Samad Said.

”Memang jalan cerita ini agak mudah,” akui Mohamed Johari, namun beliau menyifatkan mudah tidak semestinya tidak menarik. Malah ada kalanya teater menuntut sesuatu yang mudah bagi menolak kepercayaan bahawa seni persembahan itu sarat dengan falsafah dan berselindung di sebalik maksud sebenar.

Ada juga yang berpersepsi teater sukar difahami dan hanya untuk golongan tertentu, sebab itu minat terhadap teater di kalangan rakyat Malaysia masih sederhana. Lantas bagi Mohamed Juhari ada masanya teater tidak boleh berkonflik menerusi jalan cerita yang memerlukan penonton ‘terlalu berfikir’ dan merenung jauh untuk mengetahui maksud tersirat.

Apatah lagi apabila teater bertujuan mengajak penontonnya bersantai dan berhibur sambil tidak melupakan mesej yang hendak disampaikan menerusi novel itu.

Namun seringkas dan semudah mana sekali pun sesebuah novel itu, untuk mengangkatnya ke pentas teater tentunya menuntut kelainan dari sudut skrip dan jalan cerita serta cara ia dipersembahkan.

Kesempatan bertemu Mohamed Johari turut dirisik barisan pelakon yang mungkin membarisi teater tersebut. Erra Fazira, Aaron Aziz dan Fizz Fairuz sedang diusahakan bagi membawa tiga watak utama manakala Ummi Aida difikirkan untuk watak ibu – gabungan mantap yang pasti memberi bayangan sedikit sebanyak bagaimanapun bentuk persembahan teater itu kelak.

“Beberapa nama seperti Erra Fazira dan Lisa Surihani telah dicadangkan untuk memainkan watak utama iaitu watak Mazni tetapi mereka tidak dapat menerimanya kerana mempunyai komitmen lain. Kami dalam proses untuk mencari pelakon wanita lain yang sesuai dengan watak ini, tapi bagi watak hero, pelakon Farid Kamil telah menyatakan persetujuannya untuk memegang watak Karim,” katanya.

Badai Semalam

Khadijah Hashim pengarang Novel Badai Semalam

Pertemuan dengan Khadijah juga telah diatur dua minggu lalu bagi berbincang dan memohon persetujuan supaya hasil karya penulis itu disenaraikan dalam diari Istana Budaya.

”Beliau nampaknya berminat dan Istana Budaya gembira dengan persetujuan tersebut,” kata Mohamed Juhari.

Tentunya ramai yang tidak sabar mahu menonton Badai Semalam di layar teater terutamanya generasi yang pernah hidup dalam dunia Khadijah ketika mana novel itu dijadikan teks kesusasteraan Melayu.

Cabaran kepada Rahimidin Zahari untuk menyusun skrip yang menarik bagi memastikan keindahan Badai Semalam dapat dipindahkan daripada teks ke pentas tanpa ada ruang untuk mana-mana pihak membuat perbandingan.

Pastinya ada unsur-unsur lain mahu diterapkan oleh beliau supaya jalan cerita yang ‘lurus’ dapat dipelbagaikan pendekatannya supaya seni teater itu sendiri dapat dizahirkan untuk mengajak penonton mencintai seni persembahan.

Bagi pencinta seni puisi nama Rahimidin sememangnya tidak asing, mungkin ada garapan keindahan nilai puisi dalam menata bait-bait skrip untuk teater Badai Semalam kelak. Selain barisan pelakon yang sememangnya sudah ternama, Istana Budaya pasti mahu teater tersebut diarahkan oleh nama yang tidak kurang hebat, lantas memilih Khairunazwan Rodzy.

Badai Semalam

Pengarah Artistik Irwan Ismadi

Beliau yang juga Penolong Pengarah teater Natrah bakal menjadi ‘peneraju’ untuk menentukan ‘di mana’ dan bagaimana bentuk Badai Semalam apabila dipentaskan. Bagi Mohamed Juhari, mengetengahkan nama-nama baru tetapi berbakat dalam seni persembahan dan pengarahan amat penting bagi membolehkan Istana Budaya melahirkan pelapis dalam industri.

”Dengan memberi peluang kepada orang yang kita tahu berbakat dan sememangnya dunia mereka adalah teater umpama menyambung nyawa dalam bidang seni persembahan,” katanya.

Badai Semalam

Sinopsis Teater Badai Semalam

Mazni anak seorang pembantu rumah membesar bersama ibunya yang tua dan uzur di sebuah banglo milik Encik Haris dan Puan Rohana. Mazni membesar di dalam rumah tersebut dengan penuh kesederhanaan kerana menyedari diri dan ibunya hanya menumpang berteduh di situ.

Walaupun majikan ibunya amat berbesar hati membenarkan mereka tinggal disitu, tetapi pandangan jiran tetangga amat buruk dan negatif terhadap mereka. Mereka berasa irihati dan cemburu dengan kecantikan dan kebijaksanaan Mazni apatah lagi apabila Karim, anak Encik Haris dan Puan Rohana mula jatuh hati kepada gadis tersebut. Pada mulanya Mazni hanya menganggap Karim sebagai abangnya sahaja.

Dari perasaan kasih jatuh kepada cinta. Karim berjaya menambat hati Mazni untuk bercinta dengannya. Walaupun Mazni tahu latar belakang Karim yang suka berfoya-foya dan tidak mempunyai komitmen dalam menjalinkan hubungan, telah mula berubah laku selepas di timpa musibah kemalangan yang berjaya menginsafkan dirinya. Layanan mesra oleh Mazni membuatkan Karim beria ingin memperisterikan Mazni. Walau banyak tentangan dan fitnah yang dilemparkan, tetapi Karim nekad memperisterikan Mazni. Puan Rohana, ibu Karim tidak bersetuju jika anaknya ingin menyunting Mazni, anak bekas orang gaji mereka. Malu kerana orang luar mula memperkatakan maruah keluarga nanti.

Mazni sedar akan dirinya itu yang tidak mempunyai apa-apa. Dia nekad untuk berkahwin dengan Karim lantaran kasihnya mula bersemi pada lelaki itu. Walaupun Mazni diminati oleh Zaki, tetapi hatinya terlebih dahulu diserahkan kepada Karim. Ibu Mazni amat kecewa apabila mendengar tohmahan dan fitnah tentang Mazni yang berkelakuan tidak senonoh itu. Di saat Mazni memerlukan sokongan, ibunya meninggal dunia. Tinggallah Mazni berdua dengan Karim sebagai suami isteri.

Dalam pada masa yang sama Mazni menyambung pelajaran di sebelah malam. Hari berganti hari, terlalu banyak dugaan yang mendatang. Mazni terpaksa membahagikan masa dengan pelajarannya. Sedikit sebanyak, Mazni terpaksa mengenepikan kehendak Karim. Mazni berasa kecewa dengan sikap Karim yang mula berubah laku selepas mendirikan rumahtangga.

Karim kembali dengan perangai lamanya yang suka berfoya-foya kerana merasakan Mazni telah mengabaikannya dan sibuk dengan buku-bukunya. Apakah kesudahan hidup Mazni? Berjayakah Mazni mencapai cita-citanya? Zaki yang tidak pernah jemu-jemu menagih kasih pada Mazni masih belum berputus harap. Siapakah yang setia di sisinya?

MAKLUMAT PERSEMBAHAN

Tajuk Persembahan Teater Badai Semalam
Tarikh Persembahan : 15 – 25 Jun 2011
Masa Persembahan: 8.30 malam
Tempat Persembahan: Panggung Sari, Istana Budaya

Harga Tiket : RM30, RM50, RM70, RM100, RM150, RM300
Diskaun 20% – Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan pelajar

RM20 – Pelajar berkumpulan (minima 20 orang)

Harga tiket tidak termasuk cukai perkhidmatan

Tempahan Tiket Maklumat Lanjut:
Box Office, Istana Budaya
Jalan Tun Razak,
50694 Kuala Lumpur
03 – 4026 5558

Waktu Operasi Istana Budaya:
Isnin-Jumaat: 9.30am-6.00pm
Sabtu: 9.30am -1.00pm
Ahad/Cuti Umum: Tutup Waktu Operasi
(semasa persembahan):

Isnin-Jumaat: 9.30am-9.00pm
Sabtu/Ahad/Cuti Umum: 2.00pm-9.00pm
Pembelian Online: www.ticket2u.biz
03 – 4147 8600
Laman Sesawang: www.istanabudaya.gov.my

Badai Semalam

Khadijah Hashim

Badai Semalam

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Sinopsis Poster Filem Berani Punya Budak

Senarai Nama Peserta Calon Imam Muda 2