in , , ,

Tahniah! Shiro Juara Maharaja Lawak Mega 2018

Yeay! Kami juara! Begitulah kata-kata yang terlontar dari mulut kumpulan Shiro apabila dinobatkan menjadi juara untuk program lawak popular Maharaja Lawak Mega 2018. Ini merupakan kali pertama kumpulan ini melakar kemenangan dalam program terbitan Astro ini. Tahniah Budiey ucapkan.

Setelah berentap selama 11 minggu dengan menyahut 13 cabaran persembahan lawak pelbagai tema dan melepasi lapan sesi penyingkiran, malam tadi adalah penentu siapa di antara lima peserta Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) yang dinobatkan sebagai juara pada musim ini. Ternyata nasib menyebelahi kumpulan Shiro! Sekalung tahniah!

Shiro Juara Maharaja Lawak Mega 2018

Peserta akhir MLM 2018 terdiri daripada kumpulan Bocey, Zero, Shiro, Puteh dan Taman. Untuk rekod, Bocey telah dua kali dinobatkan selaku juara Maharaja Lawak Mega iaitu pada tahun 2016 dan 2017, manakala Zero pula merupakan juara pada edisi 2014.

Kumpulan Shiro yang cukup sinonim dengan persembahan lawak yang diselit pengajaran ialah naib juara MLM 2017. Malam tadi, persembahan Shiro telah menggamit dan menawan hati juri dengan mengumpulkan markah sebanyak 74%.

shiro juara
Shahrul Shiro kelihatan menangis tanda gembira sebab menang juara

Kumpulan baharu pada musim ini iaitu Taman yang menyaksikan gandingan dua pelawak berpengalaman, Tauke dan Man, merupakan antara peserta yang berjaya mempamerkan persembahan cemerlang setiap minggu. 

Ternyata, barisan finalis pada musim ini bukan calang-calang.

VIDEO PENUH Komen Juri Remy Ishak, Tya, Scha & Douglas di Sidang Media FINAL MAHARAJA LAWAK MEGA 2018

Penantian Shiro untuk bergelar juara berakhir semalam setelah diumumkan sebagai pemenang nombor satu program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM2018) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi. Wow! Banyak tu, kasi la sini sikit.

Dengan tema bebas dan muzikal komedi, Shiro yang dianggotai oleh Ajak dan Shahrol menampilkan dua persembahan bertenaga serta menerima pujian daripada juri.

Dari segi keputusan markah Shiro meraih 74 peratus diikuti Bocey (67.29 peratus), Zero (66.93 peratus), Puteh (62.58 peratus) dan Taman (62.13 peratus).

Sebelum ini, kumpulan Shiro hanya pernah menang tempat kedua pada tahun 2013 dan 2017.

Selain bergelar juara, Shiro juga diumumkan sebagai pemenang Oppo Punchline Machine.

Semasa di sidang media sejurus selepas pertandingan, Ketua Juri, Douglas Lim berkata, kemenangan Shiro tidak perlu dipertikai apabila melihat jumlah markah mereka jauh mendahului peserta lain.

“Mereka menunjukkan konsisten dari minggu pertama sehingga minggu ke-12. Pada semi final sebelum ini mereka agak kurang pada persembahan pertama dan mereka mengakuinya kerana mungkin tak cukup latihan,”

– Douglas Lim

Ujarnya, dari aspek kematangan komedi iaitu kualiti jenaka dengan kepelbagaian lawak selain penggunaan seperti props, baju dan ‘sound effect’ menjadi suatu benda yang dibanggakan pada persembahan kelima peserta di final MLM 2018.

Semalam, duo gandingan Ajak dan Sharol ini mempamerkan persembahan mencuit hati dengan diselitkan pengajaran.

Naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Bocey dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Sementara itu, kumpulan Zero pula berjaya mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Kumpulan Puteh dan Taman pula masing-masing mampu berpuas hati di tempat keempat dan kelima.

Puteh membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi manakala Taman pula membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi. Puteh pernah menduduki tempat ketiga pada MLM 2016 dan tempat kelima pada MLM 2017. 

Selain itu, kumpulan Shiro juga memenangi anugerah Punchline Machine dan menerima plak penghargaan.

MLM2018 menggunakan format pemarkahan sebanyak 70 peratus daripada juri manakala 30 peratus daripada jumlah undian penonton melalui aplikasi TikTok.

Hadiah kesemua pemenang disampaikan Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh bersama pelakon popular, Wan Maimunah.  

Selain persembahan finalis, penonton juga dihiburkan dengan persembahan hebat oleh Azharina Azhar.

MLM2018 dihoskan oleh Datuk AC Mizal serta dibarisi juri terdiri daripada Douglas Lim, Remy Ishak, Scha Alyahya dan Tya Arifin.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Melly Goeslaw Garap Drama Seram Berjudul NAWANGSIH

Segalanya Yang Anda Perlu Tahu Tentang Anugerah Juara Lagu 33