in ,

Syurga Cinta Raih RM1.3 Juta Dalam Masa 1 Minggu

Budiey nak ucap tahniah kepada Metrowealth atas kejayaan filem Syurga Cinta mengutip RM1.3 juta dalam masa seminggu! Memang ramai kata filem ini BEST dan ada yang menangis masa menonton. 

Metrowealth (MIG) melalui filemnya yang ke-29 berjudul Syurga Cinta telah mencatat satu lagi sejarah buat syarikat dan juga industri perfileman. Kutipan sebanyak RM1.3 juta dalam tempoh seminggu adalah satu kutipan yang terbaik dicatatkan untuk tempoh lima tahun kebelakangan ini bagi filem bergenre romantik komedi. Syurga Cinta juga mencatat kutipan tertinggi bagi genre sebegini bagi hari pertama melalui 54 pawagam.

Lebih menggembirakan apabila Syurga Cinta mendapat komen dan reaksi yang sangat positif dari penonton dan juga pengkritik-pengkritik filem melalui blog di internet. Filem lakonan Awal Ashaari dan dua orang pelakon yang pertama kali di layar perak iaitu Heliza dan Adik Hadziq ini juga berjaya menarik penonton dari pelbagai lapisan umur. Ramai juga dik kalangan penonton telah menyaksikan Syurga Cinta lebih daripada sekali di pawagam. Kini majoriti penonton masih di kalangan remaja tetapi MIG yakin peratusan keluarga yang akan menonton Syurga Cinta akan meningkat apabila cuti sekolah bermula pada 30 Mei ini.

Lakonan mantap dari Awal Ashaari dan Heliza

Syurga Cinta mengetengahkan sedikit unsur keagamaan di dalam sebuah kisah cinta remaja masa kini. Pada awal pembabitannya, MIG menghasilkan filem pertama berjudul Syukur 21 yang juga sebuah filem berunsur keagamaan. Syurga Cinta yang skripnya dihasilkan oleh Panel Skrip MIG berasaskan konsep oleh David Teo ini diarahkan oleh Ahmad Idham.

Syurga Cinta cuba mengupas kehidupan dua Melayu Islam dengan dua akidah atau pegangan yang jauh berbeza. Pertama yang mengagungkan gaya hidup barat dan seorang lagi yang masih teguh mempertahan keimanan kepada Islam dan nilai-nilai ketimuran. Pertembungan dua gaya hidup inilah yang akan menonjolkan nilai yang akan menyentuh dan menggeletek hati para penonton. Biarpun filem Syurga Cinta ini mengutarakan kisah cinta namun, ia tetap mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri apabila ia akan digarap melalui pendekatan Islamik.

Barisan pelakon yang menjayakan filem Syurga Cinta selain daripada Awal Ashaari, Heliza dan Hadziq, ia turut dijayakan oleh Mustapha Kamal, Dian P. Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam dan Wazata Zain.

Syurga Cinta telah menemui penonton seluruh Malaysia bermula 21 Mei lalu. Metrowealth (MIG) terus mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk penonton dan media bagi meneruskan kesinambungan kejayaan ini untuk mencatat satu lagi sejarah dalam industri perfileman Malaysia.

Perkembangan lain MIG seterusnya akan menampilkan filem komedi seram juga arahan Ahmad Idham berjudul Jangan Pandang Belakang Congkak bermula 4 Jun ini selain dua filem lain iaitu Senario The Movie Episod 2: Beach Boys yang telah siap dan menunggu tarikh tayangan dan Remp-it V3 arahan Farid Kamil yang sedang dalam peringkat post-production. Kini, MIG sekali lagi di lokasi bagi menyiapkan sebuah filem aksi komedi arahan Ahmad Idham berjudul Rempit Nan Sempit dan dalam peringkat pre-production sebuah filem seram terbaru berjudul Santau.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Imran Ajmain di Pelancaran Album PUNCA DAN TINDAKAN

Akon Freedom Beach Concert 2009