in

Syamin Jasmi Dari Jururawat Lelaki Kini Penyanyi

Sebutir lagi bintang dalam bidang nyanyian ditemui bagi memeriahkan lagi persada industri muzik tanah air kita. SYAMIN JASMI anak jati kelahiran Kuching, Sarawak mula berjinak-jinak menyanyi di usia semuda tujuh tahun. Syamin memberanikan diri memasuki pertandingan di peringkat kampung dan daerah. Ibu nya pula merupakan sumber inspirasi utama yang membuatkan Syamin ingin pergi lebih jauh lagi dalam bidang ini.

‘Sewaktu saya kecil, bila berada di pentas, ibulah yang memberikan sokongan yang begitu padu. Ini membuatkan saya ingin membuktikan pada ibu yang saya mampu bergelar penyanyi rakaman suatu hari nanti’, ujar Syamin apabila ditanya siapakah pendorong utamanya.

Syamin menambah lagi, apabila meningkat usia remaja dan sehingga kini, penyanyi yang menjadi rujukannya untuk menambahkan ilmu dan ‘skill’ dalam nyanyian adalah seperti Bruno Mars, Sammy Simorangkir dan Afgan. Syamin juga gemar memuatkan nyanyian-nyanyian nya di laman Youtube kerana ingin mendapatkan komen daripada pendengar. Cara ini juga dapat memberikan Syamin panduan dalam meningkatkan lagi usaha mengembangkan bakatnya.

Syamin Jasmi

Syamin mengorak langkah setapak lagi, dengan memasuki sebuah pertandingan nyanyian di peringkat negeri Sarawak. Tidak sempat meneruskan perjuangan di peringkat akhir disebabkan komitmen kerja, namun Syamin berpuas hati dapat menimba ilmu.

Kejituan semangat dan usaha yang ada pada anak muda ini, sekali lagi memberikannya rezeki apabila dipertemukan dengan Ajai di Kuala Lumpur. Setelah sesi ujibakat dijalankan di studio Wake The Baby pada awal tahun 2014, Syamin kini mampu tersenyum dan membawa pulang hadiah yang cukup bermakna kepada ibunya. Kini Syamin telah bergelar seorang artis rakaman dan dalam proses menyiapkan album mini yang pertama ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.

Single pertama Syamin berjudul LAGI DAN LAGI merupakan sebuah lagu balada menjadi taruhan untuk para pendengar.

‘Syamin mempunyai kuasa vokal yang baik. Sebagai artis baru, saya melihat bakat dan juga kesungguhan yang ada dalam dirinya. Insyaallah, jika dia di landasan yang betul, dan dengan usaha dan rezeki dari Allah, dia mampu pergi jauh’, ujar Ajai selaku penerbit album Syamin.

Profesion dirinya kini yang bertugas sepenuh masa sebagai seorang jururawat lelaki di hospital kerajaan di Kuching, tidak akan menghalangnya untuk bergerak aktif dalam mempromosikan diri dan lagu terbarunya. Di pertengahan Ogos ini, selesai umat Islam pulang bercuti menyambut Aidilfitri, Syamin sudah selesai merangka aktiviti-aktiviti promosi. Di bawah jagaan CQ Music Sdn Bhd dan Wake The Baby Records, Syamin akan diterbangkan dari Kuching selama dua minggu untuk berada di Kuala Lumpur bagi melaksanakan urusan promosi fasa pertama.

Sebagai muka baru, Syamin akan di bawa melawat ke stesen-stesen radio di daerah Lembah Kelang dan juga utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

Syamin juga beruntung kerana mendapat jemputan beberapa media yang bakal mengadakan rumah terbuka Aidilfitri mereka. Ini merupakan pengalaman baru untuk Syamin bersama para media. Jalinan seumpama ini penting bagi melengkapkan perjalanan seninya.

Single LAGI DAN LAGI dan album mini Syamin kelak akan berada dibawah edaran Sony Music (M) Sdn Bhd.

Ikuti perkembangan SYAMIN JASMI di Instgaram & FB fan page : syaminjasmi.

Muat turun nada dering Lagi dan Lagi :
Maxis Caller Ringtones : Dial *131*# dan tekan call/send
Celcom Call Me Tones : Dial *888*# dan tekan call/send
DiGi Caller Tunes : Dial *233*# dan tekan call/send
U Mobile Colour Tones : Dial *118*5*2*# dan tekan call/send

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Warner Music Malaysia & KKBox IPT Tour 2014

Peluang Untuk Anda Menang Samsung GALAXY Note 4