in , ,

Sophia Liana Berhenti Menoleh Ke Belakang, Cipta Lagu DULU Yang Bersifat Peribadi

Sophia Liana bukanlah suatu nama asing dalam persada seni Malaysia. Penyanyi rap wanita yang mesra disapa sebagai Sophia mula bertapak dalam industri muzik Malaysia sejak tahun 2015 menerusi debutnya sebagai salah seorang anggota kumpulan wanita terkenal, De Fam.

Seorang anak seni yang mempunyai kekuatan dan hala tuju muziknya tersendiri, Sophia mula bergerak sendiri sebagai penyanyi solo dan pernah berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan sejak tahun 2018.

Sejak menjuarai program Dansa Dan Sing (DDS) terbitan Astro pada Januari lalu, Sophia berjaya membina jenamanya sendiri. Usai mempamerkan bakat nyanyian dan tariannya di pentas DDS, Sophia muncul pula dengan single debut solonya berjudul ‘Ngam’ yang dilancarkan pada Mac lalu.

Sophia Liana

Single ‘Ngam’ dihasilkan untuk projek khas Joox Originals yang dibawakan platform penstriman muzik serantau Joox.  

Video rasmi ‘Ngam’ yang turut menampilkan kru tariannya dalam DDS iaitu Budak Ngam, berjaya mencapai hampir 600 ribu tontonan sejak dimuatnaik pada Julai lalu. 

Dulu Lain, Sekarang Lain, Sophia Liana Tampil Berbeza Dengan DULU

Tidak hanya berbakat dalam rap, menyanyi dan menari,  Sophia juga berkemampuan menulis lagunya sendiri. Sejak single pertama De Fam ‘Supergirls’, Sophia sudah mula menulis bait-bait liriknya sendiri. Namun sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Sophia mula menggilap bakatnya dalam penciptaan lagu pula. Bersama adiknya Fadzril Asyraf, Sophia pernah menghasilkan beberapa lagu ‘freestyle rap’ seperti Assalamualaikum (2018) dan Mulut (2018) yang dikongsikan di saluran YouTube miliknya.

Malah Sophia dan adiknya juga pernah menghasilkan lagu #pastiCLEAR sebagai lagu kempen pengiklanan rangkaian produk syampu CLEAR.

Terbaharu, lagu ‘Ngam’ yang dilancarkan pada Mac lalu juga telah dihasilkan pasangan komposer adik beradik ini bersama komposer-komposer tersohor Faizal Tahir, Mambang dan Navigator.

Bagi mengukuhkan lagi namanya sebagai penyanyi solo dan mempamerkan lagi bakatnya sebagai pencipta lagu, Sophia bakal muncul dengan single terbaharunya berjudul DULU yang dicipta sepenuhnya oleh Sophia dan Fadzril Asyraf.

Lagu yang dipersembahkan secara ‘sing rap ini’ cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka. DULU membawa mesej tentang pentingnya mencintai diri sendiri dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak maju ke hadapan. 

Sophia Liana

Mengulas tentang single terbaharunya, Sophia berkata, 

“Dalam DULU saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza dari apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Bukan sahaja penyampaian yang berbeza, malah ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dulu dan sekarang.

Lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past.” 

Saya berharap lagu Dulu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu.

Yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,”

Sophia Liana

Lagu terbitan bersama Sophia Liana, Lion Music Group dan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 9 OKTOBER 2020

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sindiket ‘Cuci Duit’, KPN Minta Kerjasama Polis

Keistimewaan Kek Lapis Sarawak Dalam Telemovie LAPIS LAPIS CINTA