in

Siti Khadijah Dedah Isu Telekung Vietnam Tiruan

Siti Khadijah Dedah Isu “Telekung Vietnam” Selepas Terima Ribuan Maklum Balas

Buat pertama kalinya, pihak Siti Khadijah Holding Sdn Bhd (SKHSB) tampil memberi keterangan rasmi di majlis berbuka puasa Siti Khadijah mengenai isu telekung tiruan buatan Vietnam yang menggunakan trademark dan rekaan Siti Khadijah sewenang-wenangnya. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group CEO), Siti Khadijah Holding Sdn Bhd (SKHSB), Sahar bin Sahad, pihak mereka menerima ribuan panggilan dan maklum balas berkenaan telekung tiruan yang ternyata jauh berbeza dari segi kualiti dan konsistensi.

“Kami terpanggil untuk mengadakan sidang media ini kerana transaksi penjualan telekung tiruan yang menggunakan trademark dan rekaan kami semakin menjadi-jadi. Lebih kritikal lagi apabila logo dan cara bungkusan ditiru bulat-bulat dan amat mengelirukan pengguna. Impaknya terhadap konsumer, rakan niaga, ekonomi negara dan imej kami sebagai pengeluar telekung premium harus dihebahkan supaya pelanggan tidak rasa tertipu memiliki telekung tiruan yang dianggap asli,” jelas Sahar.

Untuk mengelak kekeliruan pengguna, Sahar menegaskan bahawa telekung jenama Siti Khadijah yang asli hanya dijual di lebih 28 butik Siti Khadijah di seluruh negara, di laman web rasmi www.sitikhadijah.com, tiga sosial media rasmi Siti Khadijah; Facebook, Instagram dan Twitter dan saluran marketplace sah iaitu Lazada, Shopee, FashionValet dan Astro Go Shop. “Kami tidak pernah melantik mana-mana ejen jualan dalam talian mahupun individu dan tidak pernah mempunyai kilang di Vietnam,” tambah Sahar lagi.

Kilang Siti Khadijah yang berlokasi di Bangi, Selangor dijalankan oleh 98% pekerja warganegara dan bumiputera untuk menyokong industri tempatan dan menggalakkan aliran wang dalam negara, sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurut Sahar, Siti Khadijah merupakan jenama berdaftar di bawah MyIPO dan segala trademark dan rekaan yang ditiru boleh diambil tindakan undang-undang. Rekaan Telekung Siti Khadijah Klasik dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 sejak 7 Januari 2011. Berikutan informasi mengenai penjual telekung tiruan Siti Khadijah yang diterima, laporan telah dibuat kepada pihak berwajib seperti KPDNKK. Beberapa serbuan besar-besaran telah dilakukan melibatkan rampasan beribu-ribu telekung tiruan yang menggunakan logo Siti Khadijah.

Pihak Siti Khadijah menyarankan agar pengguna merujuk kepada butik sah Siti Khadijah dan laman web rasmi www.sitikhadijah.com untuk memastikan jenis, koleksi, harga dan warna yang ditawarkan adalah asli. Telekung premium Siti Khadijah dijual pada harga dari RM139 – RM287.

“Follow” di Instagram: @telekung.sitikhadijah dan
“Like” Facebook Telekung Siti Khadijah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

We Are What We Watch: Raya Lessons With Netflix

Siti Khadijah Lancar Telekung & Baju Kurung Bertatahkan Swarovski