in ,

Sinopsis Filem Dampak

[dropcap]M[/dropcap]isi mencari Afran yang hilang merupakan titik permulaan pengembaraan Idrus bersama adik-beradik angkatnya iaitu Giran, Hana dan Qyra untuk menyelidik sejarah Tok Long yang dirahsiakan. Kecacatan dan parut pada muka Tok Long merupakan dorongan utama untuk kesemua anak-anak angkatnya membalas dendam, tetapi Tok Long sentiasa menghalang dengan keras hasrat mereka itu tanpa memberi alasan yang jelas.

Tatu merah yang ada pada pergelangan tangan Tok Long juga menjadikan dorongan mereka untuk terus curiga. Perasaan ingin membalas dendam untuk Tok Long terus membara, tambahan pula dengan ilmu mempertahan diri yang penuh di dada, yang diturunkan sendiri oleh ayah angkat mereka.

Kesempatan untuk meninggalkan kampung demi misi mencari Afran disalahgunakan oleh kesemua adik-beradik angkat itu. Selepas menjumpai Afran di awal misi, mereka meneruskan penjelajahan untuk menyelidik sejarah Tok Long.

Aaron Aziz Dampak

Pertembungan dengan Botak merupakan titik peralihan utama kepada pengembaraan mereka. Perkataan ‘Lambang Merah’ yang terkeluar daripada mulut botak semasa dia dipukul oleh orang-orang Man menarik perhatian Idrus dan adik-beradiknya. Akhirnya, Idrus dan adik beradik-angkatnya itu berjaya menyelamatkan Botak dan sebagai ganjaran, Botak menyediakan tempat tinggal dan kabel pekerjaan.

Botak membawa mereka ke Joni Hitam. Joni Hitam merupakan orang kanan yang berpengaruh, yang berkhidmat dibawah payungan sebuah kumpulan gelap yang masyhur bernama Lambang Merah. Aksi daripada Girandan Afran sudah cukup untuk meyakinkan Joni Hitam untuk mengambil kesemua adik-beradik angkat itu berada dibawah naungannya. Idrus terus bersetuju demi matlamat utamanya iaitu untuk mengbongkar rahsia yang terbenam di dada Tok Long.

Akibat potensi dan kerja tangan mereka, mereka akhirnya dihadapkan ke Tiger Lang iaitu Kepala kumpulan Lambang Merah. Tiger Lang mempelawa untuk terus duduk dibawah payungannya, mereka juga akan diberikan kemewahan yang tidak mungkin mereka dapat ditempat lain. Idrus mula berasa was-was akan kumpulan itu kerana dikhuatiri dapat menyesatkan mereka, tetapi demi matlamat utamanya, dia tetap bersetuju. Tambahan pula dengan desakan keras daripada Giran yang semakin gilakan harta dan sudah mula lali dengan persekitaran yang gelap. Jauh didalam hati Idrus, dia sudah dapat merasakan bahang akibat mengingkari arahan Tok Long tetapi tetap meneruskan pengembaraannya demi hati yang curiga.

Tetapi, apa yang dirancang Idrus tidak menjadi. Akibat ditaburi kemewahan dan bergelumang dengan kejahatan, misi utama Idrus kelihatan semakin kelam kerana mereka semua sudah mulai lalai. Ternyata kerja-kerja haram dan gelap mampu mengaburi mata manusia. Ternyata cinta mampu membutakan perjalanan. Yang disangka teman, rupanya bukan. Demi kemewahan, mereka juga sanggup berbunuhan. Cinta dan dusta tidak dapat mereka bezakan kerana memilih kehidupan yang sedemikian.

Hubungan diantara adik-beradik itu juga mula bergolak. Pengembaraan untuk mencari rahsia Tok Long terus pudar. Persoalan yang timbul bukan sahaja kemampuan mereka untuk membongkar rahsia Tok long, tetapi mampukah mereka kembali bersatu.

Filem Dampak bakal menemui penonton di pawagam mulai 19 September 2013

Dampak Poster

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Konsert Mega Bintang Trinity All-Star

Kemewahan Bali di Nusa Dua Beach Hotel & Spa