in ,

Sinopsis Drama Komedi Kelas Sebelah

Sitkom Terbaru RTM : “Kelas Sebelah”, Komedi Ringan Tekankan Aspek Bahasa di TV1

[dropcap]P[/dropcap]elbagai masalah sosial remaja dipaparkan dalam bentuk komedi selain menekankan aspek bahasa dalam pengisiannya melatari sitkom terbaharu terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Kelas Sebelah” yang telah pun mula menemui penonton 3 April lalu.

Memberikan fokus kepada penggunaan Bahasa Malaysia dengan tepat sebagai tema utamanya, sitkom menghiburkan penonton setiap Rabu, jam 9.00 malam menerusi saluran TV1 menampilkan pelakon seperti Jaafar Onn, Mya Matahari, Fimie Don, Afiq, Dotty dan Zizan Nin.

SITKOM KELAS SEBELAH DI TV1

Pengarah siri berkenaan, Norsahlawani Mohd Salleh (Unit Drama TV RTM) berkata, perkara itu dititikberatkan selepas menyedari golongan muda pada ketika ini lebih cenderung menggunakan bahasa ‘rojak’ dalam percakapan seharian.

Semasa sidang media program itu di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri pada 28 Mac lalu, beliau menjelaskan:

“Adalah menjadi satu kebimbangan apabila bahasa Malaysia semakin terhakis kerana penggunaan bahasa ‘rojak” yang berleluasa di kalangan masyarakat terutamanya golongan muda. Menerusi drama komedi ini selain dapat berhibur pada masa sama kita dapat mempelajari penggunaan bahasa kebangsaan itu dengan tepat.”

Musim pertama Kelas Sebelah akan bersiaran sebanyak 13 episod menyasarkan 95 peratus penonton dari golongan pelajar dan berharap mesej yang ingin disampaikan tercapai.

“Walaupun ia berbentuk ilmiah tetapi unsur komedi diyakini dapat membantu menarik perhatian penonton,” katanya.

Kelas Sebelah mengisahkan mengenai pelajar kelas 4 Harapan yang mempunyai pelbagai masalah sehingga tampil seorang guru baru iaitu Cikgu Azman (Zizan Nin) yang berjaya membantu mereka meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Kisahnya berkisar tentang sekumpulan pelajar remaja yang ditempatkan di sebuah kelas khas kerana masalah akademik yang dihadapi mereka. Istilah ‘Kelas Sebelah’ yang berkonotasi negatif ini seringkali digunakan oleh pelajar cemerlang di sekolah untuk merujuk kepada mereka yang ‘kurang cerdik’ dan bermasalah.

Akibat cemuhan yang diterima, para pelajar di Kelas Sebelah mempunyai keyakinan diri yang agak rendah. Keadaan ini menimbulkan banyak masalah sampingan yang lain. Di kala semua pihak hamper berputus asa dengan para pelajar ini, tampil seorang guru ganti bernama Cikgu Azam yang memahami liku dan ranjau hidup yang dilalui mereka. Berkat kesabaran dan dedikasi, secara beransur-ansur beliau berjaya meningkatkan prestasi dan kepercayaan diri para pelajar ini.

Sepanjang siri komedi ini, penonton bukan sahaja akan berkenalan dengan pelbagai ragam dan kerenah menghiburkan di kalangan para pelajar di Kelas Sebelah, secara tidak langsung, permasalahan dan senario sosial remaja pada hari ini seperti tekanan rakan sebaya, kekuatan mental dan fizikal, kesan penggunaan teknologi, semangat patriotism dan banyak lagi turut diselitkan dalam sitkom ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bersiri Ujang Baran Lakonan Sari Yanti & Norman Hakim

Drama Maskara Bakal Jadi Fenomena di TV1