in

Siapa Gitaris Kumpulan Rock Dua Beradik Disyaki Penyamun

Dua beradik pemain gitar kumpulan rock terkenal tahun 90-an bersama seorang lagi adik lelaki mereka dan seorang wanita, ditahan polis di sebuah flat di Taman Selayang, di sini, awal pagi semalam kerana disyaki terbabit dengan kegiatan jenayah.

Tiga beradik lelaki dan wanita berusia antara 35 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 pagi untuk siasatan lanjut berhubung pembabitan mereka dalam jenayah samun, curi kenderaan dan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, hasil pemeriksaan terhadap rumah yang dihuni empat individu terbabit, polis menemui tiga parang, satu cota besi, lima jam tangan pelbagai jenama, kamera, dua telefon bimbit dan 40 kad Touch n Go.

“Polis turut menemui kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang diletakkan di tempat letak kenderaan dan semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di ibu kota tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemantauan berterusan terhadap mereka yang pernah ditahan polis beberapa tahun lalu atas kesalahan dadah.

“Malah, seorang daripada mereka dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes samun bersenjata di Taman Melawati, Ampang pada 31 Oktober lalu,” katanya.

Rosly berkata, keempat-empat suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan ujian saringan awal air kencing turut mendapati mereka positif mengambil dadah.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 November ini mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama kami masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan samun dilakukan keempat-empat suspek,” katanya.

Kumpulan rock yang dianggotai dua beradik itu popular pada tahun 90an ketika mereka masih di peringkat usia remaja, namun kini sudah berpecah, terutama selepas vokalis mereka meninggalkan kumpulan itu dan merakamkan album secara solo.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Majlis Resepsi Datuk Lee Chong Wei & Datin Wong Mew Choo

Gambar Tasha Shila di Anugerah Skrin 2012