Setelah mencipta fenomena sebagai juara Famili Duo musim keempat, Shiha Zikir dan kakaknya, Ieda Zikir kembali dengan buah tangan istimewa buat peminat sempena Syawal tahun ini! Mereka berdua melancarkan lagu raya baharu bertajuk “Tum Tum Raya” – sebuah karya yang bukan sahaja menghidupkan semangat Hari Raya tetapi juga penuh dengan elemen keceriaan, komedi, dan tarian yang menghiburkan.
Proses Kreatif Yang Unik & Tajuk Lagu Yang Sering Bertukar
Dihasilkan oleh Ajay Amai, Napie Hassan, dan Shiha sendiri, lagu ini melalui pelbagai proses kreatif yang menarik. Pada awalnya, lagu ini diberi tajuk “Dendang Raya”, kemudian ditukar kepada “Terpaling Raya”, sebelum akhirnya Shiha dan pasukannya mendapat ilham untuk memilih nama “Tum Tum Raya” selepas mendengar bahagian ‘tum tum’ dalam melodi lagu yang dirasakan lebih melekat di telinga dan unik.
Bukan sekadar nama, Shiha juga menyuntik unsur komedi dan fun dalam lagu ini dengan memasukkan rap serta elemen klasik yang diinspirasikan daripada imej biduanita terkenal, Puan Sri Saloma. Beliau mahu memastikan pendengar benar-benar terhibur dengan variasi vokal dan gaya nyanyian yang digunakan.
“Saya galakkan peminat untuk tonton video muzik dulu sebelum dengar lagu ini supaya mereka boleh faham bagaimana nyanyian saya berubah-ubah mengikut karakter yang saya cuba bawakan,” kata Shiha.
Gabungan Dua Adik-Beradik: Chemistry Shiha & Ieda Yang Mengujakan
Shiha mengambil kesempatan ini untuk menghargai kakaknya, Ieda, yang telah banyak membimbingnya dalam bidang nyanyian sejak kecil. Menurut Shiha, ini adalah masa terbaik untuk mereka berdua merakamkan lagu duet sebagai tanda kasih sayang dan kenangan manis bersama.
Dalam video muzik, perbezaan personaliti kedua-duanya jelas terpancar. Ieda tampil dengan gaya lebih lemah lembut dan sopan, manakala Shiha seperti biasa menceriakan suasana dengan gaya happy-go-lucky.
Bagi Ieda sendiri, pengalaman merakam lagu dan video muzik ini sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan.
“Saya pada mulanya diberi masa untuk fikir sama ada mahu buat lagu ini atau tidak. Bila saya bersetuju, makin banyak idea luar kotak yang Shiha beri!
– Ieda
Mulanya ingat sudah boleh berehat selepas rakaman lagu siap, rupanya banyak lagi kejutan untuk video muzik,”
Video Muzik Penuh Energi, Tarian, & Kos Pembikinan Yang Bukan Biasa-Biasa
Bagi memastikan lagu ini lebih menyerlah, Shiha mendapatkan khidmat koreografer profesional, Ezra Tham, yang sebelum ini pernah bekerja dengannya dalam lagu “Irama & Kalam”. Namun, kali ini cabarannya lebih besar kerana Shiha mahu elemen komedi dimasukkan dalam tarian agar lebih menghiburkan.
Pembikinan video muzik ini juga bukan sesuatu yang mudah. Dengan pelbagai set penggambaran, perubahan pakaian yang kerap, serta tenaga kerja yang ramai, ia menelan kos yang agak tinggi.
“Kami menyewa studio selama tiga hari – hari pertama untuk mengecat, hari kedua untuk penggambaran, dan hari ketiga untuk mengecat semula ke warna asal!
– Shiha
Kru, penari, semua bekerja keras dari jam 8 pagi hingga 6 pagi keesokannya. Saya sangat terharu dengan komitmen mereka,”
Nasib baik, projek ini mendapat sokongan daripada penaja utama Giant Malaysia serta penaja bersama Kimball dan produk biskut SF, yang turut membantu menjayakan penggambaran dengan lancar.
Sokongan Giant Malaysia & Kempen Istimewa Sempena Raya
Menurut Encik Andre Lim, Ketua Pemasaran Giant Malaysia, mereka memilih untuk menaja lagu ini kerana percaya bahawa muzik dan perayaan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat.
“Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa mesej kebahagiaan yang sejajar dengan nilai-nilai Giant Malaysia. Kami mahu menyebarkan kemeriahan dan kegembiraan sempena Syawal ini,” katanya.
Selain menaja lagu ini, Giant Malaysia turut melancarkan dua kempen istimewa:
1. Kempen Pemberian Motosikal Percuma – Pelanggan yang berbelanja RM100 di mana-mana cawangan Giant berpeluang memenangi motosikal menarik! Semakin banyak anda membeli, semakin tinggi peluang untuk menang.
2. Kempen Jom Sedekah – Pelanggan boleh menyumbang barangan keperluan atau dana kepada golongan yang memerlukan, sebagai tanda kemurahan hati di bulan mulia ini.
“Di Giant, anda bukan sahaja boleh berjimat, tetapi juga berpeluang menang hadiah hebat serta berbuat amal kebajikan!” tambahnya.
Harapan & Impian Shiha & Ieda Untuk “Tum Tum Raya”
Shiha dan Ieda meletakkan harapan yang tinggi agar lagu ini diterima baik oleh peminat dan menjadi antara lagu raya yang akan dikenang sepanjang zaman.
“Saya harap orang ramai suka dan boleh dengar lagu ini berulang kali. Bila tonton video muzik, mereka akan nampak usaha gigih yang kami curahkan,” kata Shiha penuh semangat.
Ieda pula menutup bicara dengan doa dan harapan:
“Kami semua sudah buat sehabis baik, saya harap lagu ini dihargai dan dapat menyuntik semangat positif kepada pendengar. Semoga Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dan diberkati Allah SWT.”
Bagi yang ingin menikmati lagu ini, anda boleh tonton video muzik “Tum Tum Raya” di YouTube:
Jangan lupa untuk ikuti Shiha & Ieda Zikir di media sosial:
Instagram: @shihazikir | @iedazikir_official
TikTok: @shihazikir | @iedazikir
APA KATA BUDIEY?
Lagu raya merupakan antara elemen penting yang memeriahkan sambutan Aidilfitri. Dengan kehadiran “Tum Tum Raya”, Shiha dan Ieda berjaya mencipta lagu yang segar, unik, dan penuh elemen hiburan.
Budiey percaya bahawa gabungan melodi ceria, lirik yang mudah diingati, serta video muzik yang kreatif akan menjadikan lagu ini pilihan ramai. Ditambah pula dengan fenomena cabaran tarian di media sosial, tidak mustahil “Tum Tum Raya” bakal menjadi salah satu lagu raya paling popular tahun ini!
Jadi, apa pendapat anda? Adakah lagu ini mampu mencipta fenomena seperti lagu-lagu raya klasik sebelum ini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen!