in ,

Sharnaaz Ahmad Kenal Siapa Kawan, Siapa Lawan Saat Dilanda Kemurungan

Bintang filem Juvana, Sharnaaz Ahmad, 34, mendedahkan mengalami ‘kemurungan’ apabila rumah tangga dibina bersama Noor Nabila Mohd Noor diuji, setahun lalu.

Sharnaaz yang mendirikan rumah tangga dengan kakak kepada selebriti dan pengacara popular, Neelofa pada 31 Mac 2017 itu berkata, kesan kemelut rumah tangga, dia mengalami penyusutan berat badan ketara hingga ditegur beberapa teman rapat. Pelakon yang menempa populariti menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Lelakimu Yang Dulu itu berkata, disebabkan ujian yang dilalui, ada juga di kalangan teman yang menjauhkan diri.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur memiliki teman yang setia seperti Shukri Yahaya yang tidak pernah meninggalkannya pada saat dirinya hampir rebah.

“Saya baru kenal siapa kawan dan lawan. Rakan masa susah memang tak ramai. Mereka yang ada hari ini adalah teman setia yang tidak pernah lari. Shukri, tidak lari meninggalkan saya. Daripada hari pertama saya ‘teruk’, dia sentiasa berada di belakang saya,”

– Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz Ahmad ditemu media ketika ditemui pada majlis pelancaran kedai minuman miliknya, Bubble Bee di Danau Kota, Setapak, baru-baru ini.

Selain Shukri, dedah Sharnaaz, seorang pelakon yang sentiasa berada di sisinya ketika sedang bertarung dengan kemelut rumah tangga adalah Datuk Fizz Fairuz.

“Fizz, seorang lagi teman yang tidak pernah menjauhkan diri. Dia tahu macam mana sengsaranya hati berdepan dengan ujian rumah tangga. Saya banyak menghabiskan masa di gimnasium sama ada pagi, tengah hari dan malam. Saya akan menghabiskan masa bersenam untuk melupakan kesakitan.

“Saya banyak melakukan perkara yang disukai termasuk berdiet. Fizz risau dan menegur keadaan tubuh saya yang semakin kurus. Saat menghadapi ujian, saya sebenarnya lebih suka menyendiri.

Dalam laman sosial, orang mungkin nampak saya gembira dan ketawa, tetapi mereka tidak tahu apa yang saya alami.

“Waktu tengah ‘sengsara’, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Saya dekatkan diri dengan Allah dan memperbaiki rohani. Saya tak tahu apa yang dialami adalah satu bentuk kemurungan.

Pada saya, kenapa saya perlu murung sedangkan saya ada Allah? Tidak relevan apabila kita ada agama, tetapi mengalami kemurungan, sedangkan boleh solat dan bersujud untuk mengadu,”

– Sharnaaz Ahmad

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur berjaya pulih daripada kesedihan. Sekiranya gagal mengawal perasaan pada ketika itu, mungkin sudah memilih jalan tidak betul seperti mengambil barang terlarang.

Namun, dedah Sharnaaz, dia bukanlah orang yang sebegitu, sebaliknya akan berjuang dan berusaha melawan untuk mendapatkan apa yang dikehendaki sejak kecil.

“Jika saya tidak menerima kenyataan, mungkin saya jadi tidak betul dan hisap dadah.

Tetapi, saya bukan jenis sedemikian, saya suka melawan untuk mendapatkan apa yang diingini. Orang kata cara saya kasar, saya tidak peduli kerana itu cara saya untuk memperjuangkan hak saya.

“Saya lakukan semua ini demi anak, Jebat Jayden. Biarlah, apa yang orang hendak kata, saya melawan untuk mendapatkan orang yang saya sayang. Ia juga satu kebanggaan untuk saya sebagai seorang bapa,”

– Sharnaaz Ahmad
Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siri HBO Original ROOM 104 Kembali Untuk Musim Ke-4

Susun Strategi, Sufian Suhaimi Cipta Lagu Semasa PKP