in

Shangri La Hotel Kuala Lumpur Kemilau Kemewahan

Shangri-La Hotel Kuala Lumpur : Kemilau Kemewahan

oleh Shah Shamshiri

Pada kebiasaannya warga Lembah Kelang bersiar-siar di luar kota untuk menenangkan fikiran, namun pernahkah mereka terfikir untuk bersantai di ibukota demi mencari ‘ketenangan’ yang berbeza. Apatah lagi, sekarang kita sering terperangkap dengan tanggungjawab kerja serta tugasan sehingga kadang-kadang waktu untuk membeli-belah dan mencuba tempat-tempat makan terbaik di ibukota sendiri pun tiada.

Sungguhpun begitu, semua ini mampu berubah sekiranya anda cuba untuk bermalam di tengah kota Kuala Lumpur. Satu malam sahaja sudah cukup untuk menikmati kemudahan moden yang tersedia di ibu negara kita ini. Dan di manakah tempat yang paling sesuai untuk bermalam di KL kalau bukan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Bak namanya yang unik, hotel bertaraf lima bintang ini menawarkan gaya hidup eksklusif buat setiap para pengunjungnya. Ia tersergam indah di tengah-tengah kawasan paling meriah ibu negara iaitu di Jalan Sultan Ismail dan sangat berdekatan dengan jalan-jalan utama yang lain seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan P.Ramlee dan seumpamanya. Dengan lokasi strategiknya yang berdekatan dengan stesen monorel Bukit Nanas, ini memudahkan perjalanan ke pusat membeli-belah tersohor ibukota yang lain, seperti Suria KLCC dan Pavilion. Kedudukan hotel ini turut menepati citarasa ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Shangri La

Hotel yang menyediakan 662 buah bilik ini menampilkan suasana yang indah serta selesa buat para pengunjung. Ini termasuklah 101 buah suite mewah untuk mereka yang mahukan keistimewaan. Dilengkapi dengan, pusat kesihatan serta spa, dan sudah tentunya sebuah kolam renang yang hebat, hotel ini dikatakan memenuhi setiap kehendak penghuninya.

Ditambah pula dengan kemudahan lain seperti ruang-ruang mesyuarat dan dewan, hotel ini mampu menampung acara-acara tertentu. Tidak lupa juga, terdapat bilik-bilik khas bagi mereka yang menginap di bilik-bilik Horizon Club Executive dan Premier. Buat yang bermalam di bilik-bilik ini, mereka diberi keutamaan untuk mendaftar masuk di Club floor atau di bilik masing-masing tanpa perlu mendaftar di meja penyambut tetamu yang biasa. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh bersarapan, makan tengah hari serta menikmati makan malam di Horizon Club Lounge yang lebih eksklusif dan peribadi. Selain itu juga mereka diberi peluang untuk menikmati minum petang di lounge tersebut.

Hotel ini turut menyajikan hidangan terbaik di restoran-restoran terkemuka mereka yang terkenal di sekitar Kuala Lumpur. Ini termasuklah Restaurant Lafite yang bernuansa Perancis dan Eropah, restoran Jepun Zipangu, Lemon Garden Café, sebuah restoran keluarga yang beroperasi sepanjang hari bagi memenuhi keperluan selera pengunjung dan beberapa restoran lagi. Tidak kira sajian Asia atau barat, semuanya ada di Shangri-La Kuala Lumpur.

Buat yang suka berhibur dan bersantai pula, the Shangri-La KL menampilkan Arthur’s Bar & Grill, lokasi paling happening dan in di KL masa kini. Tempat ini sering mewarnai malam pengunjungnya dengan kehadiran DJ-DJ, serta kumpulan-kumpulan kugiran terkemuka. Ia juga menampilkan menu sajian enak dari barat yang bersesuaian dengan konsep seni reka dalamannya yang lebih menjurus kepada konsep tempat makan di Manhattan.

Jadi buat anda yang tidak pernah terfikir untuk mencuba bermalam di pusat kota, ini mungkin masanya. Dengan kemudahan pengangkutan awam seperti monorel di depan hotel dan pusat membeli-belah di setiap penjuru sebaik sahaja anda melangkah keluar, Shangri-La Kuala Lumpur pasti pilihan yang bijaksana.

Shangri La

Shangri La

Shangri La

Shangri La

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Iconic Vacation Club di Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa

SimplySiti Jawab Isu Tuduhan Berus Kosmetik SimplySiti dari Babi