in

Senario Misteri Bamboo TV3

SENARIO BIKIN KECOH!!! GELAGAT LUCU MEMBONGKAR MISTERI KAMPUNG BULUH

Kumpulan Lawak popular, Senario berjaya mencipta fenomena di kalangan penonton TV3 sejak diperkenalkan pada tahun 1996. Walaupun sering bersilih ganti ahli-ahli anggotanya pada peringkat awal, populariti Senario tidak pernah pudar dan nama ini masih utuh di golongan peminat mereka yang gemar dengan lakonan Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet dan Wahid.

Tidak pernah mengecewakan kalangan peminat setianya dengan lakonan spontan dan lawak jenaka mereka, Azlee Jaafar berganding sekali lagi dengan rakan-rakannya, Mazlan Pet Pet dan Wahid dalam drama komedi bersiri, SENARIO: Misteri BamBoo yang akan disiarkan mulai 6 Disember 2011, setiap hari Selasa jam 10.00malam. Diterbitkan oleh Anniesafinas Hassan dari Primeworks Studios, drama komedi bersiri yang akan bersiaran selama 13 episod turut menampilkan Saiful Apek, Yassin, Ebby Yus, Ayu Raudhah, Sharifah Shahira, Acong Sweetchild, Bell Ngasri dan Kazaar.

Senario

Wak Dol (Azlee), Salih (Mazlan) dan Kassim (Wahid) cuba menyelesaikan kes pencurian yang sering berlaku di Kampung Buluh. Wak Dol ialah seorang bomoh yang sentiasa berfikiran kolot manakala Kassim ialah seorang tauke warung yang sudah kematian isteri. Salih pula ialah seorang pemuda yang bekerja sebagai seorang kerani yang agak penakut dan mempunyai seorang kekasih bernama Mimi (Ayu Raudah). Salih selalu mengaku dia seorang yang berani di depan Mimi padahal dia seorang yang agak penakut. Mimi selalu diganggu oleh dua orang samseng di Kampung Buluh, Jusuh (Yassin) dan Joned (Saiful Apek).

Kampung Buluh yang sentiasa aman digempur dengan kes-kes pencurian yang kerap berlaku. Puas penduduk-penduduk kampung cuba menangkap pencuri-pencuri tersebut tetapi malangnya semua usaha mereka gagal. Wak Dol kemudiannya membaca jampi dan memberitahu orang-orang kampung bahawa pencuri-pencuri tersebut bukan manusia tetapi toyol. Namun, orang-orang kampung tidak mempercayai wujudnya toyol di Kampung Buluh tanpa menyedari bahawa Joned dan Jusuh yang menjadi dalang di sebalik pencurian tersebut.

Belum selesai misteri kes pencurian, muncul pula masalah baru di Kampung Buluh. Mereka didatangi seorang lelaki yang mendakwa dirinya wakil dari syarikat hartanah yang mahu membeli tanah-tanah di kampung itu untuk mendirikan sebuah kilang. Ramai penduduk-penduduk yang tidak bersetuju untuk menjual tanah kerana sayang kepada tanah-tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Justeru, Joned dan Jusuh diupah untuk memujuk orang-orang kampung dengan apa jua cara pun. Malangnya, usaha Joned dan Jusuh juga menemui kegagalan. Kisah syarikat berkenaan yang hendak membeli tanah-tanah hilang begitu sahaja. Tiba-tiba, Kampung Buluh dikejutkan dengan hantu-hantu yang mula berkeliaran dan menganggu penduduk-penduduk di situ. Mereka mula hairan kerana selama ini tiada sesiapa yang pernah berjumpa atau diganggu oleh hantu-hantu. Mereka berpakat dan bermesyuarat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Apakah Wak Dol, Kassim, Salih dan Mimi berjaya menyelesaikan pelbagai kejadian misteri yang berlaku di Kampung Buluh? Bagaimana pula dengan muslihat jahat Joned dan Jusuh? Saksikan aksi lucu dan gelagat mereka di SENARIO: Misteri BamBoo mulai 6 Disember, setiap hari Selasa, jam 10.00malam, hanya di TV3!

Senario

Senario

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Poster Trailer Filem Suatu Malam Kubur Berasap

Ritzy Glitzy di Sungei Wang Plaza