in , ,

Sempena Hari Wanita Sedunia, airasia Meraikan Wanita Yang Menjadi Tonggak Utama

Meraikan kakitangan wanita yang memacu airasia sempena Hari Wanita Sedunia

airasia ditubuhkan pada 20 tahun yang lalu sebagai sebuah syarikat penerbangan, dan kini kami telah berkembang menjadi sebuah jenama perjalanan dan gaya hidup digital yang dibina oleh Allstars yang telah bekerja keras. Sepanjang penubuhan syarikat, kami telah memastikan peluang yang sama rata diberikan kepada kakitangan kami di mana jua, mendorong kepelbagaian di tempat kerja, dan memperkasa tenaga kerja dengan peluang yang luar biasa. Hari ini, kami berbangga untuk meraikan Allstars wanita kami yang telah memacu airasia menjadi sebuah jenama terkemuka.

Bangkit mendepani cabaran kesetaraan

Kapten Suwapich Wongwiriyawanich, AIrAsia X Thailand
Kapten Suwapich Wongwiriyawanich, AIrAsia X Thailand

Pada tahun 2009, airasia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asean yang mengambil juruterbang wanita iaitu Kapten Norashikin Onn, yang juga merupakan juruterbang komersial wanita pertama di Malaysia. Sejak itu, jumlah juruterbang wanita terus melonjak di seluruh Kumpulan AirAsia termasuklah Kapten AirAsia Indonesia Monika Anggreini, dan Kapten Suwapich Wongwiriyawanich, yang bermula sebagai kru kabin sebelum bertugas sebagai kapten wanita pertama yang mengendalikan pesawat Airbus 330 di Thailand.

Kami tetap komited untuk memastikan peluang yang sama rata bagi semua kakitangan dan Allstars wanita kami memainkan peranan penting di seluruh syarikat, bukan hanya sebagai juruterbang dan kru kabin tetapi juga sebagai jurutera dan perkhidmatan darat. airasia telah mengendalikan pasukan penerbangan dan perkhidmatan darat sepenuhnya oleh wanita, mengambil pegawai keselamatan wanita serta melakukan penyelenggaraan pesawat yang diketuai oleh Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen Putri Siti Nordiyana, dan pada tahun 2019, AirAsia Filipina meraikan Jurutera Robotik (RTS) wanita pertama mereka, Jerelyn Castillo.

Kini, airasia mempunyai lebih 200 juruterbang wanita dan lebih 230 jurutera wanita di seluruh kumpulan. Sebagai pelopor dalam mencabar keserataan gender, airasia berbangga memiliki salah satu nisbah juruterbang dan jurutera wanita tertinggi di rantau ini dengan hampir satu daripada 20 juruterbang dan hampir satu daripada 15 jurutera adalah wanita.

Bangkit mendepani cabaran kepimpinan

Aireen Omar, Presiden (airasia Digital) airasia Group
Aireen Omar, Presiden (airasia Digital) airasia Group

Kami sentiasa percaya untuk mendorong kepelbagaian yang lebih besar di tempat kerja dan langkah ini telah memberikan sumbangan yang besar dalam mewujudkan pemimpin wanita yang berkaliber di seluruh kumpulan.

Aireen Omar, Presiden (airasia Digital) airasia Group mula berkhidmat di airasia pada tahun 2006 sebagai Pengarah Kewangan Korporat. Pada tahun 2012, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad. Kini, Aireen bertanggungjawab untuk memimpin strategi digital airasia dan memacu inovasi untuk mengubah airasia menjadi sebuah syarikat global dan berasaskan data. Di bawah airasia Digital, Aireen juga menerajui barisan perniagaan airasia yang dipimpin oleh wanita, seperti Ketua Pegawai Eksekutif Ourfarm Lalitha Sivanaser dan Joanna Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Santan Group.

Transformasi airasia menjadi sebuah jenama gaya hidup bukanlah satu pencapaian yang mudah, tetapi Karen Chan yang mula berkhidmat di airasia pada tahun 2019 sebagai Ketua Pegawai Komersial Kumpulan telah berjaya mengubah airasia daripada hanya sebuah syarikat penerbangan kepada airasia super app – salah satu platform teknologi dan gaya hidup perjalanan berkembang paling pesat di Asean. Pada tahun 2019 juga Karen dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com memimpin Amanda Woo, Ketua Pegawai Komersial airasia super app dan Rose Lam, Ketua Komersial Perkhidmatan Tambahan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Veranita Yosephine
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Veranita Yosephine

Di bawah syarikat penerbangan pula, Tan Sri Rafidah Aziz merupakan Ahli Lembaga AirAsia X sejak tahun 2011 dan merupakan seorang pemimpin yang telah membuktikan bahawa wanita juga sama hebat. Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Veranita Yosephine adalah salah seorang daripada beberapa Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertama dalam industri penerbangan Indonesia; Celia Lao yang mula berkhidmat di airasia pada tarikh yang sama 8 Mac 2004 sebagai kakitangan pertama kami di China, kini mengetuai AirAsia Hong Kong dan Macao sebagai Ketua Pegawai Eksekutif; dan Sheila Romero, Naib Ketua Lembaga AirAsia Filipina, juga merupakan Pengerusi AA Holdings Inc., menjadikan beliau satu-satunya pemilik wanita bagi cawangan (AOC) AirAsia.

Antara wanita-wanita lain dalam jawatan pengurusan kanan di seluruh kumpulan termasuklah Pattra Boosarawongse, Ketua Pegawai Kewangan dan Anggota Lembaga AirAsia Thailand, AirAsia X Thailand dan AirAsia Filipina; dan Yap Mun Ching, Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation. Kami juga berbangga kerana mempunyai kakitangan wanita yang menerajui pelbagai jabatan seperti Azita Nazrene, Ketua Strategi Kewangan; Nik Adina Taty Nik Zainin, Ketua Komunikasi Kumpulan; Jay Loh, Ketua Perkhidmatan Korporat Teleport; Joanne Chin, Ketua Produk Teleport; dan Cherry Anne Mungcal, Ketua Media Sosial yang juga mengetuai pasukan wanita sepenuhnya di Malaysia.

Sejak tahun 2019, airasia telah meningkatkan peratusan wanita dalam posisi pengurusan daripada 15% kepada 24% pada tahun 2021. Kami berharap bahawa airasia akan terus menjadi contoh dan membuktikan bahawa setiap orang memiliki peluang yang sama rata untuk mengejar impian mereka. Kami percaya, gadis yang boleh melakukan apa sahaja akan menjadi wanita yang menerajui perbezaan.

Bangkit mendepani cabaran stereotaip

Catherine Goh, Pengurus Besar Santan
Catherine Goh, Pengurus Besar Santan

Sebagai sebuah syarikat digital yang diasaskan oleh sektor perjalanan, kami terus memperkasakan tenaga kerja kami dengan pelbagai peluang untuk perkembangan diri mereka dari segi profesional dan peribadi.

Pengurus Besar Santan Catherine Goh mula berkhidmat di airasia pada tahun 2015 dan telah menerajui beberapa jabatan daripada pengembangan produk, penjualan dan pemasaran, logistik, sistem penerbangan dan teknologi, kepada latihan kru di rantau ini. Beliau terus mencabar stereotaip gender dengan memimpin penjenamaan semula hidangan dalam penerbangan airasia kepada Santan dan kejayaan tersebut mendorong beliau untuk menerajui Santan, jenama hidangan dalam penerbangan pertama di dunia yang dikembangkan kepada sebuah restoran pada tahun 2019. Sejak itu, Santan telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 200 kakitangan termasuklah bekas kakitangan syarikat penerbangan yang terjejas akibat pandemik dan memasarkan produk peniaga tempatan di Santan Food.

Abby Yao, Allstars dan salah seorang graduan Redbeat Academy
Abby Yao, Allstars dan salah seorang graduan Redbeat Academy

Di samping itu, peluang untuk meningkatkan kemahiran terus tersedia di airasia dengan penubuhan Redbeat Academy yang diterajui oleh Aireen Omar. Di sini, Allstars dapat meningkatkan kemahiran diri dalam bidang teknologi dan menerapkan transformasi digital supaya mereka terus berinovasi dan berdaya saing. Pada tahun lepas, akademi ini telah mengadakan majlis graduasi pertama dengan 135 Allstars termasuk 42% graduan wanita dalam bidang analisis data, kejuruteraan dan saintis; kejuruteraan perisian; IT dan keselamatan siber; UI/UX dan lain-lain.

Dengan membuka peluang kepada Allstars kami untuk berkembang, ini bukan sahaja membantu kami mengekalkan bakat dan tenaga kerja dalam organisasi, malah memacu pertumbuhan ekonomi, menjana lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kehidupan mereka dan membantu banyak perniagaan lain secara tidak langsung.

Aireen Omar yang merupakan pengasas kempen #GirlsCanDoAnything kami berkata: “Selama bertahun-tahun, wanita telah membuktikan bahawa mereka sama atau lebih baik daripada lelaki dan kami telah menunjukkan kepada dunia bahawa kami berdaya tahan, berkebolehan, bijak serta mempunyai pelbagai kelebihan tidak bersandarkan rupa semata-mata. Anda pernah mendengar kami berkongsi tentang juruterbang, jurutera, pasukan keselamatan wanita dan sebagainya. Tetapi kami juga mempunyai wanita yang merupakan saintis data yang bijak, pengekod yang hebat, jurutera perisian, dan pakar keselamatan siber! Allstars wanita kami melakukan semua ini sambil menjadi seorang ibu, isteri, anak dan mempunyai autonomi untuk menguruskan kehidupan mereka.”

Tidak dinafikan antara Allstars terkuat kami adalah daripada golongan wanita. Selamat Hari Wanita Sedunia!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie ‘Tebus’ & ‘5 Hari Kita Bertemu’ Lakonan Reen Rahim di RTM

Hawaya Meraikan Kekuatan Wanita Melalui Kempen Sisters-In-Hearts