in , ,

‘SEMBUNYI’ Sentuhan Farouk Roman Memberikan Angin Berbeza Buat Here Comes July

Memperjuangkan muzik indie dan teguh mencipta karya sendiri bukan alasan buat kugiran Here Comes July (HCJ) untuk menolak karya komposer lain.

Hakikatnya, kugiran ini sentiasa terbuka untuk membawa angin berbeza dalam corak karya mereka. Demikian juga lagu pertaruhan terbaru mereka berjudul Sembunyi. Here Comes July yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Haiz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass), dan Irfan Ismail (dram) menyifatkan tugas melunaskan lagu ini bertujuan mencabar diri. Paling penting, mereka akui tertarik dengan aura tersendiri dalam Sembunyi yang sekali gus menyemarakkan semangat mereka.

“Sudah semestinya, mencipta lagu sendiri memberi makna yang lebih kerana inspirasi sewaktu menulis sesebuah lagu itu lebih terasa dekat di hati. Segala apa yang bermain dalam fikiran sekali gus dapat membantu dalam menterjemah perasaan lebih mendalam ketika menyanyikan lagu itu.

Here Comes July

“Bagaimanapun, kami melihat aura lagu Sembunyi ini agak menarik. Serta-merta ia terus berjaya menangkap hati kami sejurus mendengar melodinya buat pertama kali. Kredibiliti Farouk mempercantik melodi dan liriknya menjadikan ia menepati jiwa HCJ semestinya. Itulah menjadi faktor utama mengapa kami menyahut cabaran ini,” kata HCJ.

Sembunyi adalah runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu. Dia bergandingan dengan ramai pelakon popular termasuk Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim, serta Uchee Fukada.

HCJ mengakui Sembunyi sememangnya Sembunyi cukup berbeza dengan karya terdahulu yang pernah mereka hasilkan. Bagaimanapun, perbezaan itu semestinya dari sudut positif, di mana mereka dapat meletakkan diri dalam jiwa Sembunyi dan terlarut dalam keindahan melodi lagu ini sendiri.

“Secara keseluruhannya, Sembunyi memang dicipta sepenuhnya oleh Farouk. Namun, kami bertuah diberikan peluang ini di mana Farouk mengambil inisiatif untuk berusaha menyesuaikan lagu ini dengan konsep yang kami bawakan selama ini. Pada masa yang sama, Farouk membuka ruang untuk menyuntik idea melodi digabung dengan kreativiti HCJ,” kata mereka.

HCJ juga mengakui amat mengagumi keterbukaan Farouk. Walaupun komposer ternama, beliau tetap memberi peluang kepada band baru seperti mereka untuk berkongsi inspirasinya. Bahkan, Sembunyi juga berjaya mencetuskan inspirasi dalam diri mereka sendiri sehingga terbawa-bawa dalam perasaan.

“Keseluruhannya, melodi dan lirik Sembunyi ini bukan seperti biasa yang kita kerap dengar di radio. Ada sesuatu yang cukup istimewa berjaya disuntik dalam lagu ini. Ada perasaan riang, namun sedih, perasaan cinta, namun keseorangan, perasaan teruja namun risau dan takut. Ia bercampur-baur namun sangat unik.

Here Comes July

“Sewaktu kami menyampaikan lagu ini, kami dapat rasakan pelbagai perasaan ini berpadu dengan begitu sempurna meski dalam sebuah lagu sahaja. Kami berharap Sembunyi mampu membuka mata jejaka-jejaka dan gadis-gadis di luar sana untuk memahami apa maksud pergolakan perasaan tersembunyi yang semestinya berbeza buat setiap orang,” kata HCJ.

HCJ mula aktif sejak 2013 dan pernah membuat persembahan di Rantai Art Festival, Naib Johan Music’s Friends From Far Away Places, Unity Festival Malaysia, Push to Play Vol. 28, Merdekaraya Open Mic, LiveInIntun, Euphonious 2018, dan Cyber Fest. Terdahulu, mereka juga tampil dengan lagu Juwita yang menjadi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis.

‘Sembunyi’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Terima Anugerah Asean Inspiring Award Winner 2021

Netizen Tentukan Plot Twist ‘MIS TRES HERMANAS’ Malaysia Drama Bersiri ‘Hati Yang Dikhianati