in ,

Sekitar Majlis Pra Tonton Filem Kala Malam Bulan Mengambang

Pada 27 Disember 2007, satu majlis pra tonton filem Kala Malam Bulan Mengambang telah diadakan di Golden Screen Cinemas, Mid Valley. Sebagaimana biasa, pra tonton anjuran Tayangan Unggul ini pastinya dihadiri oleh pelakon filem Kala Malam Bulan Mengambang seperti Umie Aida, Rosyam Nor, Corrinne Adrienne, Adam Corrie, Avaa Vanja, Kuswadinata, Bront Palarae, Sofi Jikan dan Mohd Hitler Zami. Cuma yang Budiey tak nampak ialah Farid Kamil dan David Teo.

Seawal jam 9.30 pagi, ketibaan ramai tetamu menanti lewat jam 10 pagi untuk pembukaan majlis yang dipengerusi oleh Dollah Canteq. Dimulakan dengan bacaan doa, ucapan oleh Cik Gayatri Su-lin Pillai selaku Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul. Seterusnya hadirin digeletek oleh jenaka ucapan dari pengarah KMBM, Mamat Khalid. Lebih kurang jam 10.40 pagi, tayangan filem bermula dan jam 12 tengahari tayangan filem berakhir. Disusuli dengan sidang media dan soal jawab dari media.

Antara orang-orang seni yang hadir ialah Ahmad Tarmimi Sarigar, Shuhaimi Baba, Saw teong Hin, Nanu Baharuddin, Azean Irdawaty dan ramai lagi. Majlis dipengerusikan oleh Dollah Canteq yang mengikut tema era 50-an. Siap bercakap dengan gaya zaman 50 an. Usaha mewujudkan filem hitam putih menagih usaha dua kali ganda dari tenaga kreatif. Ketika pengambaran, kreativiti pelakon dan krew mengelegak dengan idea-idea yang bernas. Budiey teruja dengan muzik latar yang dicipta oleh Jimmy Kamal yang saya kira pertama kali buat muzik untuk filem. Berdasarkan pengalamannya yang luas, Jimmy berjaya mencipta muzik jazz, blues yang jarang kita dengar sebelum ini.

Mengapa perlu ada filem noir di Malaysia? Minda penonton kita rasanya sudah terbuka untuk menerimanya. Penceritaannya terpaksa direka ‘out of the box’ bagi menjadikan filem ini lain daripada filem noir yang lain.

Budiey kira ramai yang tidak tahu genre filem noir. Noir berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud hitam dan noir sebenarnya bukanlah sejenis ‘genre’. Ia membawa perbedaan dari segi stail atau bentuk penyampaian filem itu sendiri. Filem jenis ini menekankan penceritaan berkaitan jenayah, gensterism, detektif dan misteri. Ia juga amat berbeda dari segi ton warna dan perwatakan sinikal.

Di dalam filem misteri komedi ini menampilkan penampilan artis dengan busana 50-an seperti kebaya ketat, kemeja kotak, tali leher, sarung tangan paras siku dengan gaya ala cabaret yang cukup menarik perhatian. dari segi muzik pula, KMBM menyelitkan lagu berentak tango, rumba, mambo dan lain-lain bagi menzahirkan keaslian latar masa pada zaman itu.

Penghasilan KMBM adalah filem tribute kepada seniman veteren dan bintang-bintang lagenda tanahair sejak dari Studio Ampas sehinggalah ke Studio Merdeka. Terdapat banyak sekali monolog untuk watak utama iaitu Rosyam Nor. Hero yang menggantikan tempat Allahyarham Hani Mohsin membawa karakter serius tetapi menggeletek jiwa penonton dengan komedi sentuhan Mamat Khalid. Rosyam memang bijak dalam mengintimidasikan watak P Ramlee dan Nordin Ahmad. Untuk Umie Aida pula, babak cintanya dengan Rosyam Nor terpaksa di pendekkan atas alasan durasi yang terhad. Mamat Khalid berpuas hati dengan lakonan Rosyam yang lebih dari apa yang diharapkan. Dan bagi Rosyam Nor adalah filem terbesar sepanjang kariernya sebagai pelakon.

Bagi Ava Vanja pula, filem ini adalah lakonan pertamanya dalam filem dan berbesar hati dapat bekerja dengan Mamat Khalid. Kuswadinata memegang watak Dr Rushdi; seorang pakar sejarah yang sedang menjalankan penyiasatan ke atas misteri sumpahan sebilah keris pusaka. Filem ini baginya dapat mengembalikan ingatan dan kenangan ketika zaman 50 an.

Bagi Budiey, usaha Soffi Jikan yang memegang watak Hitler harus diberi perhatian. Bukan senang untuk memegang watak yang memaksa beliau bertutur dan menghafal dalam bahasa Jerman. Lagi susah apabila proses dubbing memerlukan Soffi menghafal skripnya untuk kali ke-2. Filem ke-4 Soffi Jikan dengan Mamat Khalid ini adalah filemnya yang ke-20 sepanjang kariernya. Cuma ramai yang tidak kenal dengan Soffi Jikan. Saya ingat lagi wataknya yang menjadi kawan Que Haidar dalam filem Cinta begitu berkesan.

Bront Palarae pula teruja dengan filem noir dan tawaran sekali seumur hidupnya ini sukar untuk ditolak. Watak Karam Singh Walia untuk filem ini dibawa dengan gaya yang sangat berbeza. Bagi Budiey, ianya sangat lawak kerana ada Mamat Khalid bijak bermain dengan peribahasa.

Filem ini mungkin akan memenuhi kehendak penonton yang dahagakan filem yang berbeza. Ianya menarik golongan muda dan veteren untuk ke pawagam dan ianya didedikasikan untuk Hani Mohsin.

Menjawab pertanyaan media yang mengatakan filem ini ada unsur lucah, Mamat Khalid menolak dakwaan tersebut kerana sekiranya filem ini lucah sudah tentu tidak lulus tayangan. Lucah is a state of mind. Ianya bukan lucah tetapi fun thing.

Cabaran utama filem ini ialah dari segi penataan cahaya yang perlu diutamakan sebab filem noir agak susah untuk dijelmakan dalam bentuk filem. Di Malaysia setakat ini masih belum ada sample filem noir. Semua perancangan dibuat mengikut teori.

Jangan lupa serang panggung untuk menonton filem ini mulai 10 Januari ini

[tags]skrip filem, neo-noir, Umie Aida, Rosyam Nor, Corrinne Adrienne, Adam Corrie, Avaa Vanja, filem Kuswadinata, Bront Palarae, Sofi Jikan, Mohd Hitler Zam, Ahmad Tarmimi Sarigar, Shuhaimi Baba, Saw teong Hin, Nanu Baharuddin, Azean Irdawaty, Farid Kamil, David Teo, e entertainment tv[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Queer Eye For The Straight Guy Season 3 @ 8TV

Gambar Dato’ Siti Nurhaliza di Jeddah Mekah Tunai Haji