in , , ,

Secawan Kopi, Sejuta Inspirasi Dalam KUPPA KOPI V2

Secawan Kopi, Sejuta Inspirasi Dalam “Kuppa Kopi V2” Terbitan RTM Kuching di TV1.

Menampilkan hos yang juga anak jati kelahiran Kuching, Sarawak, Anding Indrawani, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Seksyen TV RTM Kuching menerbitkan program bual bicara belia di Sarawak diberi tajuk “Kuppa Kopi V2”. 

Disiarkan secara langsung mulai 21 Mei lalu setiap Selasa, pukul 4.00 petangmenerusi saluran TV1, saksikan juga ulangannya pada hari sama, pukul 11.00 malam di TV Okey (Astro 109). 

KUPPA KOPI V2 HOS ANDING

Sepanjang satu jam bersiaran secara langsung dari Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching, setiap episod siarannya mengetengahkan kupasan dan perbincangan topik segar yang pastinya dapat menyuntik semangat terutama dalam kalangan remaja. 

Ia antara lain berkaitan tentang kerjaya, topik sukan mahu pun minat golongan remaja yang boleh dikongsikan aspirasi kejayaannya dengan semua. 

Pemilihan topik menarik pernah dikongsikan dalam episod pengenalannya pada 21 Mei lalu berkaitan tentang ‘Bahasa Isyarat Malaysia’. Kupasan topik ini dilihat menyumbang kepada pendekatan kepada masyarakat dalam menyantuni golongan kurang upaya yang seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua. 

Lagi perkongsian menarik dalam tajuk ‘Pereka Kostum dan Abang Misi’ pada 11 Jun lalu. Perkongsian dua kerjaya berbeza yang jarang-jarang sekali diceburi golongan lelaki terutama melibatkan kerjaya seorang jururawat. Hakikatnya di hospital sememangnya memerlukan kakitangan lelaki yang dapat membantu dan menguruskan pesakit lelaki.  

Dalam tajuk ‘Sukan Rakyat & Komik Sarawak’ pula menonjolkan info berguna disampaikan panel undangan Muhamad Azwin bin Muhamad. Selain itu tetamu undangan yang hadir memeriahkan studio merupakan pelukis yang menggunakan nama Art of Wud yang menghasilkan komik Perrey yang dianggap sebagai “Komik Bahasa Melayu Sarawak Pertama Di Dunia”.

Komik karya Art of Wud ini mempunyai 100 halaman warna penuh dicetak di atas kertas 80 gram berkulit art card.

antara episod Kuppa Kopi

Komik ini menghidangkan isu tempatan berlaku dalam masyarakat di Sarawak yang “tidak dilihat oleh orang lain, tetapi dapat dilihat oleh beliau” dan dihidangkan mengikut perspektif ditanggapinya dalam bentuk sinikal.

Pada masa sama program ini juga pernah mengupas topik dalam tajuk ‘Hadrah dan Festival Seni & Muzik’ berkaitan kesenian tempatan yang unik dan mampu menarik perhatian serata dunia dengan keunikan yang ditonjolkan kepada semua. 

Terbaharu dalam tajuk ‘Motosikal Pembuatan Khas & Papan Selaju’ yang mengundang tetamu antaranya tiga orang atlet papan selaju Sarawak yang bercerita tentang pengalaman dan harapan mereka dalam pembangunan sukan papan selaju di Sarawak.

Ikuti banyak lagi tajuk menarik yang bakal disediakan kepada penonton dalam episod seterusnya di RTM.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Lagi Terengganulah Serlah Bakat Syafiq Farhain Sebagai Hos

Ketahui Status Halal Dalam Program MY HALAL