in , ,

Nadia Brian, Syafie Naswip Bercinta Dalam Drama Bersiri SAPE DARI ITALI

Tarikan terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Selekta Prima sebuah drama bersiri “Sape Dari Itali” terbitan Bright Network Sdn Bhd yang buat pertama kalinya menampilkan gandingan pelakon utama Nadia Brian berpasangan dengan pelakon Syafie Naswip.

26 episod drama ini yang bersiaran mulai 23 Mac ini, setiap Selasa hingga Khamis, pukul 9.05 malam di TV2 turut dibintangi oleh Geoff Andre Feyaerts, Beego, Darlin, Syakilla Koriri, Julia Ziegler, Mahmud Ali Basha, Zarynn Min dan Sherry Merlis.

Nadia Brian, Syafie Naswip Bercinta Dalam 26 Episod Drama Bersiri “Sape Dari Itali” Di TV2

Ikuti perjalanan watak gadis dari Itali, Lisandra sedang menyiapkan tesis PhD mengenai ‘Pencemaran Air.’ Ibunya, wanita Itali yang telah berkahwin dengan lelaki dari Malaysia tetapi telah terpisah selama 27 tahun. Sebelum meninggal dunia ibunya meminta Lisandra mencari bapanya di Sarawak, Malaysia. Lisandra akur kehendak ibunya dan datang ke Malaysia. Namun dia tidak keseorangan apabila bekas kekasihnya Alexandro menyusulnya dengan alasan mahu memujuk Lisandra kembali kepadanya. Ternyata Alexandro kembali mengulangi kesalahannya curang dengan gadis lain dan akhirnya pulang ke Itali bila ditolak oleh Lisandra.

Sementara itu Zamani tinggal bersama ibu dan bapa tirinya. Zamani amat menyayangi ibunya tetapi tidak suka kepada bapa tirinya yang seringkali mendera ibunya. Bapa tiri Zamani adalah seorang pengedar dadah dan juga seringkali diupah untuk membuang bahan toksik kilang ke dalam sungai. Zamani bersahabat dengan Haris. Haris adalah seorang lelaki yang pandai ‘mengayat’ wanita. Lisandra pula sewaktu berada di chalet seringkali teringatkan ibunya terutama ketika beliau bermain Sape yang diberikan ibunya kepada dia.

Dalam usaha menyiapkan tesisnya, Lisandra telah terlibat dalam menyelesaikan masalah pembuangan bahan kimia bertoksik di sungai di Pantai Timur. Dia bertemu dengan Zamani dan mula berkawan. Hubungan itu juga disenangi oleh ibu Zamani, Haiza. Zamani membawa Lisandra yang ingin membeli batik ke butik Saharul. Saharul terpegun memandang wajah Lisandra yang mirip wajah isterinya dulu.

Haris pula sibuk dengan kilang arangnya mencari pelbagai helah untuk keluar dengan Sofia, model yang dipilih untuk mempromosi kilangnya. Sofia masih terus datang menggangu Haris mengenai kehamilannya dan terus mengugut akan membuat laporan polis. Haris sebenarnya mahu memikat Lisandra dan menggunakan Zamani sebagai orang tengah.

Lisandra tidak dapat memberi jawapan siapa yang mahu dipilih antara Zamani dan Haris. Dia lebih suka menyendiri. Alexandro pula masih mengganggu Lisandra dan memaksa Lisandra balik ke Itali bersamanya. Alexandro masih memujuk namun Lisandra terus menolak beliau. Masitah, bekas kekasih Zamani pula diekori dan diancam oleh suaminya. Suami Masitah (Hisyam) dicari along.
Haris dan Sofia masih berbincang mengenai kehamilan Sofia. Haris berjanji akan mengahwini Sofia seandainya DNA membuktikan anak itu adalah anak dia tetapi jika sebaliknya maka Sofia akan disaman. Haris yang satu ketika itu meminta Zamani untuk membantu beliau mendapatkan Lisandra telah memberitahu Lisandra mengenai hal ini. Lisandra kecewa dengan sikap Zamani dan marahkan Zamani. Haris juga turut marahkan Zamani kerana cuba mendapatkan cinta Lisandra. Zamani kebingungan.

Masitah pula memburukkan keadaan dengan menceritakan pada Lisandra yang jika diberikan peluang dia ingin kembali kepada Zamani. Dia menceritakan penyeksaan mental fizikal dilakukan Hisyam terhadapnya. Lisandra nasihatkannya membuat laporan polis dan juga menfailkan perceraian di pejabat agama. Masitah juga bercerita mengapa Zamani seringkali mengalah kepada Haris. Ini adalah disebabkan keluarga Haris banyak membantu Zamani dalam mencapai cita-citanya.

Saharul suami Shuhaila terkenang akan isterinya Safiah yang suka bermain sape ketika melihat Lisandra bermain sape. Dia ingin melihat sape Lisandra tetapi tidak diizinkan. Saharul ingin melihat tanda di sape tersebut kerana sewaktu dia menghadiahkan sape itu kepada Safiah sebelum Safiah meninggalkan beliau, Saharul telah meletakkan tanda pada sape tersebut.

Shuhaila teringat akan kisah lama dia dengan ibu mertuanya, ibu Shaharul. Mereka adalah punca Safiah meninggalkan Saharul semasa beliau mengandung. Namun, setelah meninggalkan Saharul, Safiah ada menghantar surat dan gambar Lisandra kepada Saharul tetapi semua dipulangkan semula oleh Suhaila dan ibu mertuanya. Shuhaila syak Lisandra adalah anak Saharul dan Safiah.

Lisandra kemudiannya telah diculik oleh Johan yang inginkan mendapatkan kembali ‘barang’ kepunyaannya yang diberitahu ada dalam simpanan Lisandra. Zamani dan Haris sibuk mencari. Mereka berbaik semula. Dalam masa yang sama Lisandra berjaya bolos dan cuba melarikan diri.

Polis tiba di tempat kejadian, tembak menembak berlaku. Zamani yang berada di sisi Lisandra minta Lisandra yang ditikam agar bertenang sehingga bantuan tiba. Saharul yang dimaklumkan mengenai peristiwa ini, ikut pergi ke hospital. Saharul diberitahu mengenai Lisandra memerlukan darah yang sama jenis. Doktor memberitahu darah Saharul adalah sama dengan jenis darah Lisandra.

Dalam masa yang sama Sara, Suhaila dan Alexandro minum bersama dan mereka berkomplot. Suhaila mesti pastikan Lisandra menjadi milik Alexandro untuk dibawa pulang ke Itali. Suhaila ke bilik Lisandra dan mendapatkan kotak-kotak berisi surat Safiah yang dihantar kepada Saharul tetapi dipos semula kepada Safiah oleh Suhaila dan ibu Saharul.

Akhirnya pihak Kedutaan Itali memberi pengesahan dan Lisandra dan Zamani akan bernikah. Lisandra berterus-terang tentang kisah silamnya dengan Alexandro namun Zamani tidak kisah menerimanya seadanya dan akan mengahwini Lisandra. Semasa hari pernikahan, Suhaila dan Alexandro telah menculik Lisandra hingga majlis pernikahan dibatalkan.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Eyza Bahra Lancar Album SUARA

TURBOGEL Taja Hadiah Untuk Party Budiey Satu Dekad