in ,

Santai Ketahui Lokasi Sejarah Dalam Negara di TV1 dalam Kota Warisan Alam

Tahukah anda dimanakah letaknya 33 bahan atau lokasi bersejarah dalam negara yang merupakan tempat pertama atau mula-mula wujud di Malaysia? Antaranya di manakah zoo yang pertama dibuka? Di mana letaknya taman tasik yang terbesar? tempat tadahan hujan yang paling tinggi di Malaysia? dan penjara yang tertua di negara kita?

Persoalan ini akan terjawab dalam episod pertama program dibawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam program travelog pelancongan ekologi diberi tajuk “Kota Warisan Alam”. Program 13 episod ini menemui penonton mulai 1 Februari ini, setiap Isnin dan Selasa, pukul 1.30 petang di TV1.

Episod pengenalannya Naim ke Taiping meliputi Muzium Perak yang dibina pada tahun 1883, Muzium Kota Ngah Ibrahim, Bazar ‘Cross Street’, Zoo Taiping yang merupakan zoo pertama di Malaysia, Taman Tasik Taiping yang juga taman terbesar di Malaysia, Bukit Larut atau dulunya Bukit Maxwell iaitu tempat tadahan hujan paling tinggi di Malaysia dan Penjara Taiping (penjara tertua di negara kita). 

Hos...Naim Shamsol
Naim Shamsol selaku hos program

Seterusnya hos ke Kuala Kangsar yang terkenal dengan Labu Sayong dan laksanya yang menyelerakan. Di sini juga berdiri teguh sebatang pokok getah yang pertama kali ditanam di Perak dan berusia ratusan tahun.

Tidak ketinggalan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Menara Pavillion, Masjid Ubudiah antara masjid tercantik di dunia, Istana Kenangan atau Istana Kuning dan Istana Iskandariah. Di Ipoh pula mengunjungi Stesen Kereta Api Ipoh, Memorial Perang Perak, Tugu Memorial J.W.W. Birch, Kellie’s Castle di Batu Gajah, Kompleks Pasir Salak dan Menara Condong Teluk Intan.

Dari Perak beliau ke Negeri Di Bawah Bayu, iaitu Tawau, Sabah yang diberi gelaran “Bumi Peladang” kerana sebahagian besar muka buminya kawasan perladangan. Naim ke ‘Teck Guan Cocoa Village’ (ladang koko terbesar di Sabah), dan Monumen Loceng Belfry.

Kemudiannya Naim ke Kinabatangan yang menawarkan eko pelancongan dengan kepelbagaian flora dan fauna. Salah satu tarikan di sini ialah Gua Gomantong dan ke daerah paling hujung di Malaysia iaitu Semporna. Antara pulau-pulau yang dikunjungi Pulau Tatagan, Pulau Bohey Dulang, Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan.

Naim ke Tamparuli yang terkenal dengan jambatan gantungnya, terletak di daerah Tuaran. Di sini Naim berkunjung ke ‘Living Art Centre’, ‘Sabandar Leisure Rides’, Pekan Nabalu, Kota Belud seterusnya ke Ranau yang merupakan lokasi percutian tanah tinggi. Di sini beliau ke Taman Mata Air Panas Poring juga singgah di Kundasang yang menjadi tumpuan pendaki ke puncak Kinabalu.

Berikutnya di Kota Kinabalu, Sabah melawat Tugu Peringatan Malaysia, Padang Merdeka, Menara Jam Atkinson, Australia Place dan Tamu Jalan Gaya. Seterusnya beliau ke ‘Mari Mari Cultural Village’ mengadakan demontrasi memasak makanan etnik Sabah, membuat pakaian tradisional dari kulit kayu dan penternakan lebah kelulut. 

Ada juga perkongsian dengan hos Munawar di Selangor menjelajah Taman Botani Negara, Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Istana Bandar dan Muzium Insitu Jugra yang asalnya adalah rumah pasung di zaman penjajahan British. Munawar singgah juga di Pantai Morib, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Kota Raja Mahdi, Gedung Raja Abdullah, Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.

Munawar menuju pula ke Kuching, Sarawak dan ke Pasar Serikin di daerah Bau. Tarikan eko-pelancongan di daerah Bau adalah Gua Angin yang berusia lebih 60 juta tahun. Munawar juga memasuki Gua Pari-pari. Pekan Bau pernah digelar Pekan Emas Sarawak kerana aktiviti perlombongan emas di situ suatu ketika dahulu. Peninggalan lombong emas itu menghasilkan Tasik Biru.

Turut dikunjungi Kampung Budaya Sarawak, Pantai Damai dan ‘Kuching Waterfront’. Perjalanan diteruskan ke Bintulu, Bandar Serian, Saratok, Sarikei dan Sibu. Masih di Sarawak, Munawar ke Miri yang bersempadan dengan Negara Brunei yang terkenal dengan percutian alam semulajadi dan banyak lokasi menarik terutama khazanah hutan hujan tropika, gua, pantai dan air terjun yang menjadi tarikan pelancong.

Menarik kunjungan Munawar ke Pahang iaitu Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam juga di Kuantan sebelum ke Jeram Besu, Benta yang menyediakan sukan air. Dari Benta Munawar ke Sungai Lembing, Muzium Sungai Lembing dan tapak bekas lombong biji timah. Di Kuala Lipis banyak bangunan peninggalan kerajaan British. 

Munawar ke Kuala Terengganu pula mengunjungi Dataran Shahbandar iaitu ‘waterfront’, Pasar Besar Kedai Payang, Muzium Negeri Terengganu, Rumah Warisan Hj. Su, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Bukit Puteri dan Pantai Batu Buruk. Meneruskan perjalanan ke Tasik Kenyir dan menelusuri tasik dari Pengkalan Gawi.

Akhir sekali hos berada di Kelantan iaitu destinasi pertamanya adalah Istana Balai Besar di Kota Bharu, Tambatan D’Raja di tebing Sungai Kelantan dan ke Memorial Perang Dunia Kedua atau lebih dikenali sebagai Bank Kerapu oleh penduduk tempatan. Beliau turut mengunjungi Bank Pitis dan Padang Merdeka. 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Unit Drama TV RTM Terbit Drama Pendek Rantaian Berjudul A.I IN LOVE

Disahkan Positif Covid-19, Isteri Nafi Roy Meninggal Dunia