in

Roslin Hashim Saman Bekas Isteri

Pemain badminton negara, Roslin Hashim, 34, merancang mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Dia yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, hasrat berkenaan berikutan keinginan menuntut kembali haknya sepanjang melayari perkahwinan singkat itu. Menurutnya,saman berkenaan akan difailkan sejurus dia memperoleh surat pembatalan pernikahan yang kini belum dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini.

“Saya tidak berdendam dan marah dengan kemelut yang pernah menjadi isu besar sehingga membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya mahukan hak saya dikembalikan. Yang lepas biarlah lepas, namun saya tetap dengan pendirian itu tanpa dipaksa sesiapa,”katanya yang enggan mengulas secara panjang lebar.

Roslin berkata, surat pembatalan pernikahan sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu, namun dia pelik mengapa ia belum dikeluarkan walaupun perceraian mereka disahkan mahkamah pada awal Meil alu.

“Akibat kelewatan surat pembatalan pernikahan itu, saya terpaksa menangguhkan proses memfailkan saman terhadap bekas isteri,” katanya.

Sebelum ini, difahamkan mahkamah meminta Roslin menyerahkan dokumen perkahwinan sah untuk membolehkan proses mengeluarkan surat pembatalan pernikahan dibuat.

Bagaimanapun, ia tertangguh sementara berikutan dia hanya menyerahkan surat dokumen perkahwinan sementara kerana belum menerima dokumen asal yang diperlukan mahkamah.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya melalui peguam, menyerahkan dokumen itu untuk mempercepatkan proses mendapatkan dokumen pembatalan pernikahan tapi kecewa kerana ia belum dapat diselesaikan hingga kini,”katanya.

Ditanya sama ada keinginannya mendapatkan segera surat itu ada kaitan dengan hasrat untuk berkahwin kali kedua, Roslin enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada takdir Ilahi.

“Masih terlalu awal untuk membincangkan soal itu (perkahwinan kali kedua) kerana saya mempunyai banyak perkara mustahak lain yang perlu diuruskan saat ini,” katanya.

Kisah Roslin dan bekas isterinya,Faizah Mohamad, 32, pernah menjadi isu hangat apabila pemain badminton negara itu dikatakan tiba-tiba melafazkan cerai talak satu hanya selepas 12 hari mendirikan rumah tangga. Roslin yang melafazkan cerai di rumah bapa mentuanya di Puchong, dekat sini, mendakwa mempunyai alasan kukuh yang menyebabkan dia terpaksa melepaskan isterinya itu.

Bagaimanapun, Faizah mendakwa Roslin mengambil keputusan terburu-buru menceraikannya sedangkan kemelut melanda rumahtangga mereka sepatutnya boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Konflik berkenaan berakhir apabila Hakim Syarie Jamil Ahmad memutuskan lafaz cerai dibuat Roslin pada 11 Februari lalu adalah sah berdasarkan sumpah yang dibuat pemain badminton itu yang menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Quotes of The Day: Saya Tak Patah Semangat – Jamal Abdillah

Dokumentari Khas Syahadah Musim Lima