in , ,

Search Teruskan Perjuangan, Bakal Bergabung dengan Akim di Rockology Malaysian Tour 2021

Pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan rock legenda, Search, Mac tahun lalu, tidak mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan dunia seni.

Pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan rock legenda, Search, Mac tahun lalu, tidak mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan dunia seni.

Terbaharu, band itu bakal membuat persembahan pemanas badan atau ‘warm up showcase’ iaitu Rockology Malaysian Tour 2021 yang bakal berlangsung pada 10 April ini, jam 9 malam di Waronk Avenue, Melaka.

Menariknya, persembahan itu menampilkan kolaborasi Search yang diwakili oleh Din (gitar), Kid (gitar), Pae (dram) dan Galang (bassist) bersama penyanyi Akim Ahmad.

Biarpun tanpa kehadiran Amy yang dianggap antara tunjang utama kumpulan itu, namun nama dan legasi Search tidak akan mati.

Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim

Difahamkan ketiadaan Nasir selaku gitar bass Search pada persembahan ini disebabkan dia sedang sibuk menjalankan perniagaan baharu. Dia hanya akan terbabit pada persembahan akan datang.

Din yang mewakili Search berkata, dia berharap peminat akan terus menerima kehadiran dan memberikan sokongan pada setiap persembahan membabitkan Search selepas ini.

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya. Kami nak pengakhiran yang baik. Jadi, walaupun tanpa adanya Abang Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini. 

Ke mana saja pergi orang tanya mengenai Search. 

“Jadi, ini persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini bagi mengubat rindu peminat. Persembahan ini sangat penting, kerana ia permulaan buat Search kembali. Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa Abang Amy dan Nasir. 

“Bagi saya, Abang Amy tak ada ganti. Cuma, saya perlu ‘move on’ untuk teruskan legasi Search. Sebab peminat masih ada dan saya yakin dengan sokongan diberikan selama ini,” katanya.

Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim

Ditanya mengenai pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata pemilihan dibuat bersama pasukan produksi.

“Kami terlebih dahulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek. Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang.

“Cuma, kalau ditanya secara peribadi, pilihan pertama saya adalah Akim. Bagi saya, dia ada karisma tersendiri selain kredibiliti dimiliki yang mana dia boleh buat lagu. Pendek kata dia ada pakej. Jadi, beri dia peluang untuk buat persembahan bersama kami. Cuma, jangan  bandingkan dengan Amy,” katanya.

Sementara itu, Akim berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan bersama band legenda itu.

Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim

“Saya terharu dan teruja apabila dipilih untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini. Diakui, Search memang idola saya dari dahulu lagi. Apabila dapat menyanyi dan buat persembahan bersama, ia satu penghargaan buat saya. 

“Insya Allah, saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search jangan lupa saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan ada buat kami,” katanya.

Bagi penganjur dari Playmad Sdn Bhd, Abdul Rasyid Rahman atau dikenali sebagai Acid, persembahan itu sesuatu yang istimewa biarpun dirancang dalam tempoh yang singkat.

Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim

“Idea untuk membuat persembahan ini tercetus selepas saya menonton temu bual dan ‘Jam Session’ DJ Ismahalil Hamzah bersama Abang Din dan Abang Kid dari Search secara langsung di Facebook. Berdasarkan sambutan diberikan, saya yakin Search masih ada aura tersendiri.

“Jadi, saya terus menghubungi Abang Din untuk mengajaknya datang ke Melaka bagi mendengar cadangan saya. Malah, saya membawanya untuk melihat ruang acara di Waronk Avenue. Pemilihan Waronk Avenue sebagai ”Warm Up Showcase” Seach X Akim juga membuatkan pemiliknya Johari Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Ajo berasa amat teruja kerana ”Disinilah tempat  pemuzik-pemuzik dan karyawan tempatan boleh mempamer, menjual dan mengekspresikan karya mereka” katanya.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama Search selesai dan mereka bersetuju. Selepas berbincang dengan anggota Search yang lain, Abang Din menghubungi pihak pengurusan Akim untuk mendapatkan khidmat Akim sebagai penyanyi bagi menjayakan persembahan ini. Alhamdulillah, respons yang baik diterima daripada pihak Akim,” katanya.

Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim

Menurut Acid, jawapan persetujuan yang diberikan Akim membuatkan pihaknya teruja dalam menjayakan persembahan itu.

Lokasi persembahan itu boleh memuatkan 100 penonton berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi ‘meet & greet’ pada 10 April, jam 5.30 petang.

Persembahan berdurasi selama sejam itu bakal menyaksikan Search X Akim mempersembahkan lagu popular Search.

Rockology Malaysian Tour 2021 bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur (Jun), Perak (Julai), Penang (Ogos), Johor Bahru (September) dan lain-lain lokasi yang akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Great Launch of AminHayat Show

Ikan Laga Jadi Inspirasi Atilia Haron Lahirkan Koleksi Batik Buat Individu Aktif