in ,

Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun, ‘Perak Man’ Kini Miliki Wajah

Jika anda masih teringat dalam buku teks sejarah tingkatan satu terdahulu pernah diceritakan kisah penemuan rangka manusia tertua berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak. Rangka manusia tersebut telah diberikan gelaran sebagai Perak Man.

Untuk pengetahuan anda, terkini Perak Man sudahpun mempunyai lakaran wajahnya yang sebenar menerusi kaedah 3D virtual reconstruction hasil tangan sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Cicero Moraes, seorang pakar reka bentuk 3D dalam bidang pembinaan semula wajah forensik dari Brazil. Difahamkan, lakaran wajah Perak Man tersebut dikatakan siap sepenuhnya pada 19 Januari lepas.

“Projek melukis lakaran 3D bagi wajah Perak Man ini tercetus sejak dua tahun yang lalu dan ia merupakan hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah,” jelas Dr Johari Yap, salah seorang penyelidik yang terlibat dalam projek ini serta pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM.

BeFunky-collage-6-4

Menurutnya lagi, proses awal dimulakan dengan melakukan imbasan CT terhadap rangka tengkorak Perak Man sehingga terbentuk data dalam imej 3D. Imej 3D tersebut kemudiannya dihantar kepada Moraes melalui e-mel untuk proses lakaran wajah Perak Man yang selanjutnya.

Jelas beliau lagi, maklumat seperti jantina, umur dan keturunan Perak Man diperlukan terlebih dahulu supaya lebih mudah untuk Moraes hasilkan tisu muka berdasarkan ketabalan purata mengikut kajian terdahulu.

“Setelah muka berjaya dibentuk, pihak kami berbincang pula mengenai tona warna mata, kulit serta rambut bagi Perak Man berdasarkan kaedah Antropologi Forensik.

“Berdasarkan kajian terdahulu, Perak Man ini dirujuk sebagai bangsa ‘Australo-Melanesia’ serta merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito. Maka tidak hairan, ciri-ciri fizikal orang asli Negrito didapati menjadi reka bentuk akhir muka Perak Man,” Dr Johari menambah.

Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun, ‘Perak Man’ Kini Miliki Wajah

Bagi yang belum mengetahui, Perak Man merupakan rangka manusia zaman batu era paleolitik yang hampir sempurna dijumpai di Asia Tenggara. Rangka ini berjaya ditemukan pada tahun 1991 lalu menerusi hasil penyelidikan Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM yang diketuai Prof Datuk Dr Zuraina Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Rangka Perak Man juga telah dikaji dan para penyelidik mengatakan bahawa ‘dia’ dilahirkan dalam keadaan cacat fizikal dikenali sebagai brachymesophalangia. Mayatnya dikuburkan dalam keadaan kaki bertemu dada seperti janin yang dikandung dalam perut ibu.

“Sungguhpun dilahirkan dengan kecacatan fizikal, rata-rata berpandangan bahawa berkemungkinan Perak Man masih mampu meneruskan hidupnya dengan cara berburu dan berkumpul secara momad.

“Mungkin juga Perak Man adalah seorang yang dihormati dalam kumpulannya, mungkin seorang dukun atau orang yang berpengetahuan dalam segala urusan berkumpulan dari segi cara pemburuan dan aspek lain gaya hidup seharian pada zaman Paleolitik,” seperti yang dikutip menerusi artikel jurnal kajian Perak Man.

Dengan teknologi abad ke-21 ini, Ia juga dapat dilihat membantu para pengkaji untuk memahami bagaimana cara budaya dan tingkah laku orang zaman batu pada masa lampau. Dr Johari juga berkata, tanpa usaha kerjasama Moraes, Jafri Malin serta empat orang lagi penyelidik, pastinya lakaran 3D wajah Perak Man ini tidak akan berjaya dihasilkan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Riuh Habis Bila Azwan Ali & Sharifah Shahirah Jadi Tetamu Warung Sepahtu

Pengarah drama AKU YANG KAU GELAR ISTERI Kecewa Babak Cucuk Kemaluan Dipotong