in ,

Ragam Tiga Sahabat Yang Cuba Lari Ketika Hendak Berkhatan dalam Filem MASUK JAWI

Tidak dinafikan filem tempatan yang bergenre kanak-kanak boleh dikatakan agak kurang dihasilkan untuk penonton.

Bagaimanapun, ia bukan penghalang buat syarikat produksi Wandet Film Production untuk menghasilkan sebuah filem genre sedemikian.

Apa yang menariknya, filem bertajuk MASUK JAWI itu mengangkat kisah karenah kanak-kanak yang akan berkhatan (bersunat).

Penerbitnya, Wan Mahadzer Wan Abdullah atau lebih sinonim dengan Wandet berkata, idea untuk menghasilkan filem ini tercetus apabila mereka ingin mengembalikan nostalgia penonton sewaktu kanak-kanak.

Ragam Tiga Sahabat Yang Cuba Lari Ketika Hendak Berkhatan dalam Filem MASUK JAWI

“Memang tidak banyak drama atau filem yang memaparkan kisah nostalgia yang cukup dekat dengan hati penonton.

“Apatah lagi, proses berkhatan ini akan dilalui oleh semua kanak-kanak terutamanya lelaki dengan pelbagai ragam dan kami rasa ia satu kisah yang menarik untuk dipaparkan,” ujarnya.

Jelasnya, dalam filem berkenaan juga memaparkan majlis dan cara berkhatan mengikut adat tradisi lama yang dikenali sebagai ‘Masuk Jawi’.

MASUK JAWI mengisahkan ragam tiga sahabat iaitu Tat, Ery dan Shamim yang sudah empat kali melarikan diri daripada berkhatan.

Pelbagai helah yang telah dilakukan oleh tiga sekawan ini semata-mata untuk melarikan diri daripada berkhatan dengan pelbagai ragam sehingga menyebabkan huru hara dalam kalangan penduduk kampung.

Diarahkan oleh Che Mie, MASUK JAWI menampilkan barisan pelakon seperti Zainol Ismail, Fendi Seman, Zul Ghani, Amirul Rahman, Muhammad Daffie, Muhammad Haziman, Cik Hawa Fasha, Fiesha Sha, Nur Hanim, Anne Adorra, S. Azali dan Ropie.

Mengenai pemilihan para pelakon pula, Pak Wan memberitahu pihaknya turut membuat sesi ujibakat untuk membintangi filem berkenaan.

“Untuk filem ini kami memang mengutamakan bakat-bakat baru serta turut dibarisi pelakon yang lebih berpengalaman seperti Ropie, Fendi Seman dan Zainol Ismail.

“Kebanyakan pelakon yang dipilih juga berasal dari Kedah memandangkan 100 peratus dialognya menggunakan loghat utara,” jelasnya yang menyatakan lokasi penggambaran dibuat di sekitar Jitra, Kedah.

Berkenaan kos pula, Pak Wan menjelaskan keseluruhan kos untuk filem sulung terbitan syarikat berkenaan menelan belanja sebanyak RM350,000.

Sementara itu, Che Mie selaku pengarah pula mengakui ia memberi cabaran tersendiri ketika mengarahkan filem MASUK JAWI.

Jelasnya, biarpun berhadapan dengan beberapa kekangan termasuk situasi pandemic Covid-19 yang melanda sekarang ini, namun dia bersyukur apabila filem berkenaan dapat diselesaikan mengikut jadual.

“Antara cabaran utama adalah untuk membentuk karakter terutama sekali pelakon-pelakon baharu ini. Bagaimanapun, mereka semua telah memberikan komitmen yang terbaik dan ia serba sedikit membantu melancarkan proses penggambaran.

“Begitu juga dengan kekangan bajet untuk menyiapkan filem ini, tetapi saya faham dengan situasi sekarang kami tetap berusaha untuk hasilkan yang terbaik,” ujarnya.

MASUK JAWI akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 17 Jun 2021 dan untuk melanggan sila ke saluran 480 atau boleh juga boleh distrim di Astro Go atau On Demand.

Barisan Pelakon

Zainol Ismail                                       sbg      Pak Non 
Fendi Seman                                       sbg      Pak Fendi (Ayah Tat)
Zul Ghani                                            sbg      Pak Zul (Ayah Shamim)
Amirul Rahman                                  sbg      Tat
Muhammad Daffie                             sbg      Ery
Muhammad Haziman                        sbg      Shamim
Cik Hawa Fasha                                  sbg      Cik Yah
Fiesha Sha                                           sbg      Pembantu Cik Yah
Nur Hanim                                          sbg      Anim
Anne Adorra                                       sbg      Mak Shamim
Wahida                                               sbg      Mak Tat
Myra Azmi                                          sbg      Mak Ery
Badrul Munir                                      sbg      Tok Penghulu
Hafeezul                                              sbg      Zoe Kasam 
S. Azali                                                sbg      Abang Chot 
Ropie                                                   sbg      Tok Mudim

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Megat Rahim Guna Kuasa Dua Untuk Lebih Dikenali

Kehidupan Omar Sy Berubah Setelah LUPIN Popular & Trending di Netflix