in

Berita TV9 Menutup Tirai 2017 Dengan #Pulihkanharapan Kembali Ke Sekolah

“Mak, bila nak beli baju sekolah?.” Pertanyaan yang sukar dijawab oleh Nurul Farhanalif Abdul Rahim yang berusia 25 tahun. Soalan itu diajukan oleh anaknya Muhammad Alif Adnan Muhammad Zuki, yang akan memasuki darjah dua pada 2018, hampir setiap hari.

“Saya hanya dapat mengurut dada, memintanya bersabar. Saya kata, ibu tak dapat duit lagi. Tunggu ibu dapat duit, kita beli. Dah banyak hari dia tanya,” kata ibu muda itu ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Charok Kudong, Pendang, Kedah.

Pulihkan Harapan 3

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah peribahasa yang tepat untuk diungkapkan tatkala mengenang nasib mereka yang kurang bernasib baik. Namun sebagai komuniti yang bertanggungjawab, Bahagian Berita dan Hal-Ehwal Semasa TV9 mewujudkan siri laporan khas #PulihkanHarapan bermula tahun 2015. Program ini memaparkan siri laporan khas mengenai kesan banjir besar negeri-negeri Pantai Timur dan Utara.

Selain Adnan yang ketara gembira menerima baju dan seluar sekolah baru, 99 lagi murid darjah satu hingga enam turut menerima sumbangan meliputi pakaian seragam, kasut, stoking dan beg sekolah.

#PulihkanHarapan bukan sahaja merupakan laporan khas untuk siaran berita TV, malah Bahagian Berita TV9 turut terbabit secara langsung menerusi program khidmat masyarakat di lokasi yang dilaporkan.

Pada tahun 2015, program #PulihkanHarapan menyiarkan lebih 15 berita dan dua lintas langsung dari kawasan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. Daripada tinjauan ini, satu aktiviti Pulihkan Harapan iaitu penyampaian bantuan dan ceramah motivasi telah diadakan untuk mangsa banjir.

Pada Ogos 2015, Unit Berita TV9 dengan kerjasama Tabung Kemanusiaan Media Prima Berhad telah menyerahkan taman permainan yang telah diperbaharui dan ditambahbaik bernilai RM50,000 kepada komuniti Kuala Krai, Kelantan.

Tahun lalu, #PulihkanHarapan telah membawa kegembiraan kepada penghuni Rumah Perlindungan Nur Hati Ampang dengan penyerahan sebuah van bernilai RM120,000 telah untuk membawa anak-anak tidak bernasib baik ini ke sekolah.

Pada tahun ini, program ini kembali membawa keceriaan kepada penghidap Autisme di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti San Peng, Kuala Lumpur dengan sumbangan peralatan komputer dan duit raya kepada anak-anak istimewa ini. Program khidmat masyarakat ini turut meliputi sesi perkongsian bersama ibu bapa yang mempunyai anak penghidap autisme.

Sebagai salah satu cara meringankan beban yang terpikul di bahu, sumbangan turut diberikan kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak autisme dengan membayar sejumlah wang kepada kedai runcit berhampiran rumahnya secara bulanan agar sedikit sebanyak dapat meringankan beban beliau menanggung kos sara hidup yang besar.

Bagi program #PulihkanHarapan Kembali ke Sekolah, Berita TV9 mendapat tajaan daripada pemilik syarikat tudung bawal Aidijuma, Datin Norjuma Habib Mohamed bagi membeli kelengkapan sekolah.

Lima sekolah, dua di Kedah dan tiga di Terengganu, membabitkan lebih 350 murid menerima manfaat daripada program itu. Turut dibantu ialah 20 ibu tunggal dan 20 pelajar cemerlang Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR). #PulihkanHarapan Kembali ke Sekolah telah disiarkan sebanyak empat kali menerusi Berita TV9.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut, Sekolah Kebangsaan Alor Lintah, Besut, Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang, di Terengganu serta Sekolah Kebangsaan Charok Kudong, Pendang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Yan di Kedah.

Selain itu, Berita TV9 sekali lagi bekerjasama dengan Tabung Kemanusiaan Media Prima Berhad untuk membina Gazebo Ilmu di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja dan Sekolah Kebangsaan Alor Lintah. Dijangka siap awal tahun hadapan, projek ini bertujuan menyediakan persekitaran belajar di luar kelas bagi merangsang kreativiti dan motivasi murid.

Pulihkan Harapan 7

Pulihkan Harapan 6

Pulihkan Harapan 5

Pulihkan Harapan 4

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AiraAsia Sambut Dua Penerbangan Sulung Antarabangsa Ke Sarawak

Ini Yang Korang Akan Dapat Bila Pre-Order OPPO F5 Fattah Amin Special Edition